Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian berhubung peningkatan kes COVID-19 di beberapa daerah.  Peningkatan kes Covid-19 ini telah menjadikan beberapa daerah disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak Covid-19, KPM  memaklumkan semua sekolah yang telah disahkan sebagai zon merah oleh KKM akan ditutup.

Ia selaras dengan perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020, berhubung keputusan Kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan zon merah di seluruh negara.

Sehubungan itu, semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta di daerah Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah akan ditutup bermula 8 Oktober 2020 sehingga 23 Oktober 2020.

Ini akan melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di daerah Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di tiga (3) daerah di Sabah.

Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup.

Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.

Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.