KUALA LUMPUR - Penyakit myokimia yang kini dihidapi oleh Irfan Wafiy Idham Wazir, 12,  boleh mengganggu tumbesaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu jika tidak mendapat rawatan sewajarnya, kata seorang pakar perubatan.

Menjelaskan mengenai penyakit myokimia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Omar berkata gangguan tumbesaran adalah antara kesan jangka masa panjang selain gangguan emosi kepada kanak-kanak itu disebabkan ketidakupayaan yang dialami ekoran gangguan saraf.

"Penyakit Myokimia bukanlan satu penyakit baharu di negara ini, ia merupakan istilah perubatan untuk penyakit berkaitan gangguan saraf sama ada saraf pusat mahupun saraf lain yang menyebabkan pergerakan otot berlaku tanpa kawalan.

"Contohnya kita mungkin pernah mengalami masalah mata atau otot mula bergerak-gerak atau menggeletar, ini juga boleh dikatakan sebagai penyakit myokymia disebabkan gangguan sistem dalam otak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.'

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Betis saya sakit seperti kena cucuk' - Calon UPSR mangsa pencemaran Sg Kim Kim kini derita Myokimia]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Myokimia berlaku akibat tekanan otot' - Profesor Hamidon Basri]

[ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga saman RM5 juta: Pakar percaya calon UPSR hidap myokimia akibat pencemaran Sungai Kim Kim]

Dr. Zainal berkata ia juga boleh berlaku kepada anggota badan yang lain termasuk kaki dan tangan, bergantung kepada punca gangguan saraf.

Dr. Zainal, yang juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, berkata mengikut jurnal perubatan terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan penyakit Myokymia itu berlaku antaranya ketumbuhan di otak atau saraf-saraf lain selain masalah pengambilan kafein yang berlebihan.

Mengenai kes melibatkan Irfan Wafiy, pakar perubatan itu berkata: "Ia memerlukan ketelitian pakar sepenuhnya untuk melihat sama ada gangguan saraf itu berlaku setempat atau di beberapa tempat pada anggota badan yang lain.

"Ujian darah juga perlu dilakukan untuk melihat jika ada keracunan toksik selain ujian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer),” katanya.

Pakar di Hospital Sultan Ismail sebelum ini dilaporkan telah melakukan pelbagai prosedur termasuk MRI bagi mengenal pasti punca kaki murid Tahun Enam itu menggeletar sebelum dia disahkan positif mengalami penyakit myokymia setelah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. - Bernama