IPOH - Kerajaan negeri hari ini melancarkan program ‘Perak Food Bank’ melibatkan sebanyak 111 sekolah rendah sekitar Kinta Utara dan Kinta Selatan di sini dalam usaha mengurangkan kadar pembaziran makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Wong May Ing berkata program perintis dengan kerjasama syarikat FFM Marketing Sdn Bhd yang menyumbangkan roti kepada pelajar sekolah rendah kurang berkemampuan itu dijangka dimanfaatkan lebih 33,000 pelajar.

"Pada hari ini, seramai 200 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Manjoi Satu dan Sekolah Kebangsaan Manjoi Dua terpilih antara sekolah terawal yang menerima sumbangan roti berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan itu di sini hari ini.

Beliau berkata ia bertujuan mengelak pembaziran akibat lebihan bekalan roti yang tidak terjual di premis-premis berhampiran.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak Khalid Tik dan pengurus FFM Marketing Sdn Bhd, Cheong Chee Leong.

Wong berkata program sumbangan roti itu akan dilaksanakan secara berkala oleh syarikat yang membekalkan roti berkenaan pada setiap hari Khamis kepada sekolah-sekolah terpilih secara berperingkat.

Selain itu, Wong berkata kerajaan negeri bersama KPDNHEP, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Ahli Dewan Belia Negeri Perak juga sedang merancang untuk menubuhkan projek ‘Food Bank’ untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup dalam golongan miskin, miskin tegar, ibu tunggal, orang kelainan upaya, rumah orang tua dan anak yatim.

Projek itu, katanya merupakan inisiatif peduli rakyat selain dapat meningkatkan kesedaran pengguna bagi menyediakan makanan sekadar yang perlu dan membantu pihak berkaitan seperti pasar raya dan hotel dalam pengurusan lebihan makanan secara sistematik.

"Kita sedang merancang untuk mengadakan kerjasama bersama pasar raya di sini dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta menjayakan program ‘Food Bank’ untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya. - Bernama

Artikel menarik:

Cikgu ada ke buat macam ni, tebang balak nak buat dewan sekolah? Jalan ke sekolah mandi selut

Murid Tahap Satu masih belum kuasai Matematik? Guru subjek ini kongsi tip untuk ibu ayah ikut

Murid lain sibuk bungkus makanan dan balik rumah, murid ini capai penyapu bersihkan dewan