Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan memeriksa baki 1,118 kantin sekolah berasrama sebelum penghujung tahun ini bagi memastikan para pengusaha mematuhi kebersihan dan keselamatan makanan di kantin serta dapur asrama sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata pemeriksaan itu bertujuan mengelakkan kejadian keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan selain mengekang penularan COVID-19.

Setakat ini, sebanyak 138 kantin sekolah telah diperiksa iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, katanya pada  Operasi Pematuhan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Kantin sekolah di sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering dekat sini, hari ini .

Menurut Ahmad Saidi, sebanyak dua kes keracunan makanan dilaporkan di Perak setakat ini  pada tahun ini, lapan kes pada 2019 dan 14 kes pada tahun sebelumnya.

Ahmad Saidi berkata tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diambil terhadap pengusaha kantin yang didapati melanggar undang-undang.-BERNAMA