PARIT BUNTAR  - Sebanyak 91 buah sekolah di daerah Kerian ditutup hari ini berbanding 71 buah sekolah pagi tadi bagi memastikan para pelajar tidak terdedah dengan jerebu yang melanda di kawasan itu.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri berkata daripada jumlah itu, 69 buah adalah sekolah kebangsaan manakala 22 lagi sekolah menengah yang melibatkan 30,188 orang pelajar.

"Penutupan sekolah ini sebagai langkah memastikan pelajar tidak terdedah dengan jerebu,”katanya pada sidang media selepas mengedarkan 500 topeng penutup mulut di sekitar Pekan Kuala Kurau di sini, hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga 11 pagi, empat kawasan di Perak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (141), Pegoh Ipoh (129) dan Seri Manjung (196), Taiping (189).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar penduduk di negeri ini tidak terdedah kepada jerebu untuk satu tempoh yang lama kerana ia boleh membahayakan kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit asma dan sebagainya.

"Kerajaan negeri juga sentiasa memantau keadaan jerebu yang melanda negeri ini. Penduduk semua hendaklah menggunakan topeng penutup mulut bagi mengelak jerebu yang lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus meminta para nelayan yang turun ke laut supaya berhati-hati kerana mereka terdedah dengan bahaya pada musim jerebu.

"Kalau boleh nelayan elak daripada turun ke laut dan lakukan kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan,” katanya sambil menambah kebanyakan nelayan darat di kawasan Bagan Datuk, Bagan Panchur dan Pangkor tidak turun ke laut sejak beberapa hari lalu kerana jarak penglihatan terhad kerana jerebu. - Bernama

Baca:

Murid tak datang duduk UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

Projek baik pulih sekolah daif di Sarawak bermula sejak 5 Ogos

Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup

Sarawak tunggu dana Persekutuan bagi latih 3,000 guru ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar