MELIHATKAN kesungguh murid Tahap Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak dalam kejohanan merentas desa, pihak sekolah yakin mempunyai peluang cerah dalam Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah Hulu Perak yang diadakan pada 18 Januari ini.

Guru Penyelaras Tahun Enam, Ahmad Safarman Dollah berkata, murid Tahap Dua sekolah itu sangat berbakat dalam bidang sukan.

Justeru, medan merentas desa dijadikan platform untuk murid tonjolkan bakat.

“Pada kejohanan tersebut, pihak sekolah melihat kesungguhan murid berlari dengan harapan menjadi juara. Juara kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah ini akan berpeluang mewakili rumah sukan dan sekolah dalam Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah Hulu Perak,” katanya.

Cikgu Ahmad Safarman berkata, murid sememangnya mempunyai minat dan potensi yang berbeza.

Mereka seharusnya diberi peluang yang sama untuk mempamerkan bakat dalam setiap aksi sukan yang disertainya.

“Menerusi kejohanan ini, kita dapat melihat bakat murid sebagai satu khazanah sekolah yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.

“Justeru, besar harapan sekolah agar setiap program sebegini dapat melahirkan murid yang cergas, cerdas dan seimbang dalam bidang akademik dan sukan,” katanya.

Kejohanan Merentas Desa SK Kenering dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengisian program dimulakan dengan peserta bersarapan pada jam 7.20 pagi kemudian diikuti oleh bacaan Yasin dan Asma Al-Husna sebelum guru kelas mengambil rekod kehadiran murid.

Sesi senam sihat diadakan sebelum acara merentas desa murid Tahap Dua bermula dengan melibatkan laluan Kampung Malau sejauh 10 kilometer.

Bagi murid Tahap Satu pula, mereka terlibat dengan acara sukaneka.  

Pada jam 10.40 pagi, penyampaian hadiah merentas desa disampaikan oleh Guru Besar, Hizral Farezan Haron.

Acara merentas desa peringkat sekolah merupakan aktiviti tahunan sebelum sukan olahraga sekolah.

Acara ini ternyata menjadi medan mengasah bakat murid bagi melahirkan lebih ramai atlet.

Melalui kegiatan merentas desa yang merupakan acara tercatat dalam takwim tahunan sekolah, ternyata bukan sahaja membina stamina tetapi juga memperkaya kemahiran sosial, kepimpinan dan disiplin diri.

Murid bersama guru yang menjaga ‘check point’.

 Hizral Farezan menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang iaitu murid Tahun Dua, Zafli Izani Zulkifli.

Artikel Menarik:

Tujuh tugas yang perlu digalas oleh cikgu bila dilantik sebagai Ketua Panitia

Lapan tugas yang harus cikgu buat bila dilantik sebagai Guru Rumah Sukan

Cikgu wajib kendalikan 12 tugas ini sekiranya dilantik Guru Media