Menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai pendidik selama 21 tahun, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Cikgu Nurul Aina Abu Sohot tidak sesekali menyangka akan dipilih menerima Anugerah Ikon Guru Bahasa dan Seni Budaya serta Pingat Penghormatan Guru Daerah Hilir Perak bagi Tahun 2020

Anugerah bersempena Majlis Anugerah Hari Guru 2020 tersebut disampaikan Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak, Mohamed Shafie Abd Karim.

Cikgu Nurul Aina berkata, beliau bersyukur atas anugerah yang diterima dan menyifatkan kejayaan manis itu sebagai hadiah istimewa sepanjang 21 tahun perkhidmatannya sebagai guru.

“Saya memang tidak sangka dipilih menerima anugerah ini dan bersyukur dengan usaha selama ini dalam mendidik anak murid tanpa rasa jemu dihargai oleh pihak PPD Hilir Perak.

“Anugerah ini memberi suntikan semangat untuk saya terus berusaha gigih memastikan kecemerlangan anak bangsa dan pada masa sama ia menjadi inspirasi untuk saya berikan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Untuk perkongsian, Cikgu Nurul Aina merupakan jurulatih kegiatan seni berbahasa di Daerah Hilir Perak.

Satu perkara bersejarah sepanjang beliau menjadi jurulatih Pasukan Pantun SMK Abdul Rahman Talib, pasukannya telah menjadi Johan dan Naib Johan Negeri Perak masing-masing selama dua tahun, tempat ketiga selama lima tahun manakala johan peringkat daerah selama sembilan tahun berturut-turut.

Lebih manis lagi, pasukannya turut melakar kejayaan Naib Johan Peringkat Kebangsaan pada 2018 dan Johan Kebangsaan Pesta Pantun Antarabangsa Menara Condong 2017.

Rahsia kejayaan Cikgu Nurul Aina membimbing pasukan pantun sekolahnya sehingga berjaya menempa pelbagai kejayaan adalah sesuatu yang cukup mengagumkan.

Kegigihan beliau inilah yang menjadi azimat kejayaan yang wajar dicontohi oleh para pendidik di mana prinsip dipegang untuk melatih murid umpama belakang parang diasah lagikan tajam.

Tidak ada istilah gagal tanpa berusaha dengan gigih, keyakinan untuk berjaya pasti akan membuahkan hasil yang menggembirakan.

Di samping itu, beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti koakademik Pantun dengan bertindak menjadi jurulatih pasukan Forum Remaja, Pidato Diraja, Bicara Berirama Sekolah Menengah dan juga Penulisan Kreatif Sajak.

Ketika pendemik Covid-19 pada tahun lalu, beliau juga telah berjaya membimbing anak muridnya menjadi Johan Deklamasi Sajak Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).