LAHAT- Seramai 4 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan dinobat Tokoh Kanak-kanak pada Hari Kanak-kanak 2018, yang lalu.

Mereka yang terpilih ialah Muhammad Haziq Rahman Shafawi (tahun 5) dan Sharifah Nur Azizah Datuk Syed Mohd Ali Saipuddin (tahun 5) bagi kategori tahap 2.

Bagi kategori tahap 1, dianugerahkan kepada Muhamad Hamizan Hafirdzi (tahun 2) dan Siti Marina Tun Qusha juga tahun 2.

Muhammad Haziq dipilih kerana murid ini pernah mewakili daerah dalam kejohanan softball, mewakili sekolah dalam MTAQ Kategori Hafazan Peringkat Daerah pada 2017 dan 2018, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, komited dengan tugas yang diamanahkan, sentiasa mendapat tempat pertama bagi setiap peperiksaan dan sebagainya.

Bagi Sharifah Nur Azizah pula, murid ini sering mewakili daerah dalam pertandingan bicara berirama, tempat kedua Pertandingan Scrabble Sekolah Kluster Peringkat Daerah, mewakili sekolah dalam Pertandingan Story Telling 2018 dan seorang yang rajin membantu guru serta rakan.

Muhamad Hamizan dan Siti Marina pula dipilih berdasarkan kecemerlangan dari segi akademik dan mempunyai sahsiah yang baik.

Setiap tokoh menerima hadiah berupa jam tangan, kelengkapan sekolah, set alat tulis, plak dan sijil, jambangan bunga dan coklat.

Setiausaha Hari Kanak-kanak 2018, Zaihassira Zainuddin berkata, program bertujuan meraikan kanak-kanak sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia.

“Anugerah ini juga bertujuan menghargai sumbangan dan peranan kanak-kanak di sekolah, mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak serta melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisiplin serta berinovasi,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya acara senamrobik, persembahan badut, acara sukaneka padang dan mewarna.

Turut diadakan, acara dewan, persembahan silat, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah untuk semua aktiviti hari kanak-kanak.

Istimewanya program tersebut, terdapat pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk murid-murid sekolah tersebut.

Selain itu, enam murid turut tersenarai untuk menerima penghargaan bagi Anugerah Murid Baik.

“Besar harapan saya agar program ini dapat diadakan setiap tahun sebagai membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

 

 Tokoh Kanak–kanak Tahap 2, Muhammad Haziq Rahman dan Sharifah Nur Azizah.

 

Tokoh Kanak-Kanak Tahap 1, Muhamad Hamizan dan Siti Marina.

 

Murid ini yang membuat persembahan Tribute P Ramlee berjaya mencuit hati penonton.

 

Persembahan murid tahun 5 yang bertajuk 'Assalamualaikum Ustazah'.

 

Nyanyian solo persembahan murid tahap 1.

 

Murid ini menyertai acara membawa bola dalam kon dalam sukaneka yang diadakan sempena sambutan Hari Kanak-kanak.

 

 Badut turut dijemput untuk menghiburkan murid SK Pengkalan.

 

 Anugerah Murid Baik turut diwujudkan untuk menghargai kanak-kanak.

 

Zaihassira