IPOH - Empat murid sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK) (C) di Gopeng disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan  mulut (HFMD).

Mangsa terdiri daripada  seorang murid lelaki tahun satu dan tiga murid perempuan pra sekolah.

Exco Kerajaan Negeri, A  Sivanesan berkata, kesemua mereka dilaporkan mula menunjukkan tanda awal HFMD antara 3 hingga 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun menurutnya, tiada mana-mana mangsa yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut. 

“Mereka kini dikuarantin di rumah masing-masing, keadaan dalam sekolah adalah terkawal dan tiada penutupan sekolah dibuat setakat ini.

“Kes ini juga berada dalam pemantauan rapi Jabatan Kesihatan, satu taklimat telah  diadakan di sekolah untuk menerangkan langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak wabak menular,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, laporan awal menyebut, terdapat lapan murid dikenalpasti  menunjukkan tanda dijangkiti, namun hanya empat disahkan HFMD.

“Pemeriksaan lanjut masih lagi dilakukan jabatan bagi  mengesan kemungkinan-kemungkinan lain,” katanya. Difahamkan, dua mangsa masing-masing murid lelaki Tahun Satu belum disahkan HFMD, namun dikuarantin di rumah atas nasihat doktor.

Sementara dua lagi melibatkan  murid perempuan tahun satu dan murid lelaki pra sekolah telah pulih serta  kembali mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

Sementara itu tinjauan di  sekolah berkenaan, semalam mendapati Jabatan Kesihatan  mengadakan pertemuan dengan guru dan Ahli Majlis Daerah Kampar (MDK).

Sesi penerangan berlangsung hampir satu jam itu  menekankan aspek kebersihan dan soal jawab.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Dun Teja menerima  banyak aduan penduduk yang menyatakan kebimbangan  terhadap penularan wabak itu, sejak  akhir-akhir ini.

Pegawai Khas Adun Teja Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali berkata, aduan itu antara  lain khuatir dengan kesihatan anak mereka di sekolah.

“Kita harap jabatan membuat  sesi penerangan sama kepada ibu bapa agar pengesanan  awal dapat dibuat di rumah,” katanya.

Ahmad Tarmizi turut menyarankan semua sekolah  mengambil langkah-langkah  pencegahan awal dengan melakukan pengesanan dan meletakkan sanitasi tangan di pintu masuk sekolah atau bilik darjah.