GERIK - Pepatah 'guru ibarat lilin yang sentiasa membakar diri' akan tetap relevan sepanjang zaman meskipun teknologi berubah dengan begitu pantas kerana sikap semulajadi seorang guru itu tidak akan pernah penat untuk berkorban dalam membantu memastikan kejayaan anak muridnya.

Begitulah kisahnya dengan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah yang tetap gigih memperuntukkan masa dan tenaga mengajar murid-muridnya walaupun cuma seramai dua orang.

"Dua murid ini ialah murid pemulihan khas dari sekolah saya sendiri dan mereka amat susah untuk menguasai 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Apabila mereka sudah lama tidak pergi ke sekolah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penguasaan itu menjadi sangat lemah kerana mereka langsung tidak belajar semasa tidak hadir ke sekolah dan masa terbuang begitu sahaja.

"Oleh itu, saya mengambil inisiatif mendaftar sebagai sukarelawan #Changemaker Murid Cicir Covid-19, Negeri Perak di bawah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib murid-murid tercicir kerana Covid-19 dan menggunakan modul yang diberikan oleh NGO ini supaya mereka dapat menguasai 3M," katanya.

Menurut Cikgu Ahmad Safarman lagi, beliau mula mengajar dua murid berkenaan pada awal Mac lalu, selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa atau penjaga untuk menerangkan dan menandatangani borang persetujuan.

"Kedua-dua murid Tahun Empat ini belajar selama sejam, dua kali seminggu. Murid menunjukkan minat yang baik memandangkan program ini tidak pernah didedahkan kepada mereka, apatah lagi pembelajaran itu dibuat secara santai di mana saya menjadikan tapak perkarangan masjid dan pondok sebagai lokasi untuk mengajar mereka.

"Sudah tentunya setiap tugas mengajar ada cabaran tersendiri. Seperti yang sedia maklum, murid ini adalah murid pemulihan, jadi tahap kesukaran amat tinggi untuk mendidik mereka dalam menguasai kemahiran 3M tetapi berbekalkan modul yang diberikan seperti buku cerita, saya dapat merangka dan membuat aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan tersusun mengikut jadual yang telah diberikan," katanya kepada GPS Bestari.

Selain itu, Cikgu Ahmad Safarman berkata, beliau turut berdepan cabaran untuk menarik minat murid-murid berkenaan setiap kali pertemuan sehingga mendorongnya untuk mempelbagaikan lagi aktiviti mengikuti kreativiti agar mereka tidak pernah jemu dan hadir untuk kelas pada minggu berikutnya.

"Cabaran daripada komuniti juga tidak boleh dipandang ringan apabila ada ibu bapa yang turut berharap agar anak mereka mendapat layanan yang sama dan terpilih dalam program sebegini.

"Sering kali mereka bertanya, tidak ada lagikah guru yang datang untuk mengajar anak-anak mereka secara sukarela tetapi setakat ini, saya cuma boleh mengajar dua murid saja dan berharap supaya lebih ramai warga pendidik tampil membantu murid sebegini walau dimana mereka berada," katanya.

Artikel menarik

Kelas terbuka berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, tenang dan mendamaikan

KPM cadang guna teknologi PPVC untuk projek pembinaan sekolah tambahan