SERI ISKANDAR - Karnival Bahasa yang dianjurkan oleh SMK Seri Iskandar dilihat dapat  meningkatkan penguasaan terhadap kemahiran seperti membaca, menulis, bertutur, berkemahiran meneroka dan mencari maklumat.

Selain menanamkan kecintaan terhadap bahasa rasmi Negara di samping tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris.

SISC + PPD Perak Tengah, Siti Fatimah Zainol berkata, karnival bahasa yang berlangsung selama dua minggu itu dilihat dapat merealisasikan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu (BM) dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (BI).

“Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kita tidak bercakap dalam Bahasa Inggeris, antaranya ialah kita takut cakap salah. Justeru, dasar tersebut dapat menggariskan strategi melibatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca dan sesuai menjadi bahasa ilmu dan bahasa perpaduan ke arah melahirkan Negara Bangsa berlandaskan prinsip 1 Malaysia,”ujar beliau ketika melancarkan karnival bahasa di SMK Seri Iskandar baru-baru ini.

Menurut Siti Fatimah, sementara Bahasa Inggeris pula adalah bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai oleh semua murid supaya kelak mereka mampu bersaing, sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Tambahnya, objektif utama karnival tersebut adalah untuk menjadikan PdPc Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang menyeronokkan di sekolah.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya Beri Makna Kata/ Istilah, Sahiba, Teka Silang Kata dan Seni Dan Bahasa, tidak ketinggalan, Bengkel Teater KOMSAS untuk pelajar tingkatan 2.

“Tidak hairanlah melalui aktiviti-aktiviti ini, pelajar akan mendapat input-input menarik dan bermanfaat, pada masa sama membantu mereka dalam peperiksaan kelak,”ujarnya.

Siti Fatimah ketika melancarkan Karnival Bahasa SMK Seri Iskandar

Siti Fatimah serta barisan pentadbir sekolah melawat sudut bahasa yang diusahakan oleh guru-guru bidang bahasa SMK Seri Iskandar