IPOH - Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  yang diraikan Jumaat minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji
Mohd Taib berlangsung unik dengan kibaran bendera gergasi negeri.

Guru sekolah berkenaan,  Ahmad Zaimy Mohd Yatim berkata, sambutan keputeraan  kali ini agak istimewa berikutan kejayaan Perak menjuarai  final Piala Malaysia
2018, 27 Oktober lalu.

Menurut Ahmad Zaimy yang juga krew bagi kelab penyokong  siber yob4ever.com, kibaran bendera gergasi berkenaan  sekali gus menggambarkan sambutan  berganda yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan kali ini.

“Sambutan tahun ini  agak istimewa kerana warga sekolah menyambut dua dalam  satu. Satu Keputeraan  Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kami sayangi.

“Sambutan kedua pula adalah berhubung kejayaan  pasukan bola sepak Perak menjuarai Piala Malaysia,”  katanya.

Menurut Ahmad Zaimy  bendera tersebut merupakan bendera yang berkibar di Stadium  Shah Alam pada malam  final tempoh hari dan dibawa khas oleh e-fans  www.yob4ever. com.

Untuk rekod, Perak muncul  juara Piala Malaysia 2018 setelah menewaskan Terengganu  4-1 menerusi penentuan  sepakan penalti setelah terikat 3-3 setelah tamat  masa permainan 90 minit termasuk masa tambahan. 

Sementara itu Ahmad Zaimy berkata, pemasangan bendera berkenaan adalah hasil saranan pengetua sekolah berkenaan, Mohd Rizal Mohd Yusof.

Katanya, kibaran bendera bersaiz gergasi itu diyakini  akan memeriahkan lagi kedua- dua sambutan keraian berkenaan. 

“Inilah kali pertama kami  menaikkan bendera sebesar ini di sekolah. 

“Ternyata, ia menjadikan warga sekolah amat teruja  menyaksikan kibaran bendera tersebut,” katanya.