Teluk Intan - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai golongan muda terutama pelajar sekolah untuk menjadi usahawan luar bandar bertepatan dengan strategi Program Tranformasi Minda Anak Muda.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik KPM, Datuk Kamel Mohamad berkata, usahawan merupakan nadi terpenting dalam pengukuhan sosioekonomi golongan Bumiputera bagi menjadikan pertumbuhan negara makmur dan lebih berdaya saing.

"KPM sebagai agensi pelaksana sedang giat melaksanakan pelbagai strategi dalam membangunkan kolej vokasional yang berasaskan pertanian untuk turut terlibat dalam industri keusahawanan dan pertanian.

"Enrolmen golongan muda untuk pendidikan dan industri berasaskan pertanian sangat rendah berbanding bidang kemahiran dan teknologi lain yang mana sehingga kini enrolmen di kolej pertanian di seluruh negara hanya 70 peratus berbanding dengan kapasiti yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Semarak Tani Kolej Vokasional Pertanian Kebangsaan di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan di sini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diadakan antara lain adalah memberi maklumat mengenai bidang pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan laluan kerjaya serta peluang pembelajaran peringkat tertinggi kepada pelajar dan masyarakat, membuka minda pelajar dan masyarakat kepada bidang keusahawanan pertanian yang berpendapatan tinggi serta melebarkan akses jaringan hubungan industri, keusahawanan dan pengajian tinggi. - Bernama