IPOH - Seramai 34,150 pelajar melibatkan 250 sekolah Menengah di Perak terlibat dengan pembukaan semula sesi persekolahan bermula 24 Jun ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata daripada jumlah itu seramai 28,813 merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 3,847 adalah pelajar tingkatan enam atas.

"Selain itu, 456 pelajar bakal menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 1,034 calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM)," katanya pada sidang media Simulasi Pengurusan Pembukaan Semula sekolah Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini hari ini.

Razman berkata para pelajar terlibat akan diarahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pergerakan di sekitar sekolah.

BERNAMA