PASIR SALAK - Kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM465,000 untuk Program 'Seronok ke sekolah 2021' bagi membantu keluarga pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang berkemampuan menyediakan keperluan persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata seramai 3,100 pelajar sekolah akan mendapat manfaat menerusi peruntukan itu.

Dr Wan Norashikin berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Majlis Masyarakat Penyayang Negeri Perak akan memilih 50 pelajar terdiri daripada anak yatim, asnaf dan kurang bernasib baik di semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima bantuan tersebut.

"Barangan kelengkapan ini termasuk baju, tudung, kasut, stokin dan beg sekolah diberikan kepada pelajar terpilih dan bantuan akan disampaikan bermula hari ini sehingga 16 Januari depan yang diuruskan oleh JKM dan Pejabat Daerah di daerah masing-masing.

"Bantuan kelengkapan sekolah ini diharap dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan apatah lagi ketika ini ramai yang hilang pekerjaan atau pendapatan disebabkan pandemik COVID-19 selain bantuan ini memberi galakan kepada pelajar mempertingkatkan prestasi akademik mereka," katanya.

Dr Wan Norashikin bercakap kepada pemberita selepas perasmian Program 'Seronok ke sekolah 2021' yang disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah berkata pihaknya akan mengkaji secara terperinci pemberian pelitup muka percuma kepada setiap pelajar di negeri ini dan ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri - BERNAMA

Artikel menarik

Covid-19: Mangkin perubahan corak pembelajaran baharu dalam talian

Sultan Kedah berkenan sumbang tv pintar, komputer riba, kemudahan Astro tv kepada sekolah terpilih