GERIK - KERAJAAN Perak menyambut baik kempen menggalakkan bekas pelajar dan persatuan alumni membeli alat pengimbas haba berteknologi tinggi untuk sekolah masing-masing.

Exco Pendidikan, Pembangu­nan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, usaha tersebut merupakan sesuatu yang baik untuk menggalakkan bekas pelajar menyumbang kembali kepada sekolah.

Menurutnya, dengan sumba­ngan berkenaan, pihak sekolah tidak perlu bergantung harap dana daripada kerajaan.

“Kita sangat galakkan bekas-bekas pelajar yang sudah berjaya ini membantu bukan sahaja untuk pembelian alat pengimbas haba berteknologi tinggi itu tetapi untuk perkara-perkara lain.

“Sumbangan dari luar seperti ini akan membantu meningkatkan prasarana sekolah selain memberi peluang kepada alumni berbakti,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, banyak perubahan dilihat di sekolah-sekolah yang menerima sumbangan daripada alumni masing-masing, sekali gus dapat dimanfaatkan oleh pelajar sedia ada.