IPOH - KERAJAAN negeri Perak hari ini melancarkan pertandingan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kreatif Dalam Talian sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan peringkat negeri, sebagai penghargaan kepada para guru.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata menerusi pertandingan itu para guru boleh menghantar bahan-bahan yang digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dinilai.

Lebih 700 orang guru di Perak menggunakan pelbagai kaedah bagi menyediakan bahan PdPc untuk kegunaan murid sepanjang tempoh PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac.

"Bagi kawasan bandar yang mempunyai capaian internet yang bagus guru-guru menyediakan bahan pembelajaran secara dalam talian manakala di luar bandar kira-kira 50 peratus mereka menyediakan secara 'hard copy'.

"Sebagai contoh ada sekolah di luar bandar yang gurunya memberi latihan kemudian diberikan kepada ketua kampung dan sebagainya untuk diedar kepada pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis PdPc Kreatif Dalam Talian sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat negeri di sekolah Kebangsaan Simpang Pulai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razman berkata pertandingan itu melibatkan empat kategori iaitu Prasekolah, Pendidikan Khas, sekolah Rendah dan sekolah Menengah, dengan hadiah utama setiap kategori adalah RM3,000 dan tarikh tutupnya bulan hadapan.

Ditanya mengenai kekurangan ruang kelas untuk murid pada 15 Julai ini, Razman berkata isu itu tidak timbul kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Pendidikan yang baharu adalah satu meter bahu ke bahu.

"Sebelum ini arahan adalah satu meter meja ke meja, dan berdasarkan saiz kelas hanya mampu memuatkan antara 18 hingga 20 pelajar, namun dengan SOP baharu jarakan satu meter bahu ke bahu, maka saiz kelas boleh menampung sehingga 30 orang jadi masalah kekurangan bilik darjah tidak timbul," katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai ini.

BERNAMA