TAPAH - Pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diingatkan supaya berpada memohon dana daripada kerajaan negeri bagi menjalankan program berkaitan pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan sektor pendidikan dan tidak mempunyai halangan untuk menyalurkan dana sekiranya menerima permohonan daripada sekolah mahupun NGO.

"Setakat hari ini (semalam) kalau surat yang saya dapat berkenaan pendidikan sama ada daripada NGO atau pihak sekolah saya tak pernah tolak kerana kita mengutamakan pendidikan bagi kemajuan anak negeri ini.

"Tapi tolonglah minta berpada-pada. Kadang-kadang saya tengok kita terlalu memikirkan majlis sampai ada yang minta peruntukkan untuk cenderamata sahaja sudah RM5,000.

"Pernah satu permohonan saya dapat ada tulis bayaran peramal cuaca bila tanya mereka peramal cuaca ini siapa mereka jawab bomoh," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Student Exam Kit 2018 di Sekolah Menengah Sains Tapah, semalam.

Menurut Ahmad Faizal sikap terlalu mengutamakan protokol dan menjaga tetamu kehormat hingga membazir wang perlu dielakkan pihak sekolah serta NGO.

"Jangan belanja RM10,000 kami beri tapi RM5,000 beli macam-macam sebab nak bagi kepada VIP. Itu saya tak berapa kenan, ubah 'style' walaupun majlis rasmi tapi berpada dengan pentingkan tujuan memperkasakan pelajaran pelajar.

"Kalau program saya tak payah makan berhidang saya tak mahu semua tu, lebih baik saya makan sekali dengan pelajar, 'best', saya rasa muda," katanya.

Ahmad Faizal turut memaklumkan sektor pendidikan akan menjadi perhatian khusus dalam bajet negeri tahun hadapan berikutan ia merupakan pelaburan masa panjang dalam memastikan anak negeri ini mendapat pendidikan sempurna.

Sementara itu, seramai 1,542 pelajar sekolah rendah dan menengah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia bagi Dun Chenderiang menerima set alat tulis yang disampaikan oleh Ahmad Faizal.