GERIK - Pelancaran program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, berjalan dengan baik walaupun hanya dilancarkan dalam kelas Tahun Enam Akasia.   

Dengan tema ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’, program NILAM berjaya dihadiri semua warga sekolah di dalam kelas masing-masing.

Guru Besar SK Kenering, Hizral Farezan Haron memuji program berkenaan kerana ia merupakan satu pendekatan untuk mengatasi masalah-masalah yang menghalang penyuburan tabiat membaca.

“NILAM ini akan dilaksanakan bermula Januari hingga Oktober depan.

“Justeru, saya berharap program NILAM ini dapat melahirkan murid yang suka membaca dan seterusnya menggalakkan warga sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca,” katanya.

Terdahulu, NILAM merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang pernah dan sedang dijalankan di sekolah dengan memberikan pengiktirafan yang sesuai kepada murid.

Program yang diketahui Setiausaha, Cikgu Saribani Ibrahim (Guru Perpustakaan dan Media) dan Penolong Setiausaha, Cikgu Masnita Mohd Yusof (Penyelaras Nilam), menyediakan pelbagai program menarik sepanjang ia berlangsung.

Antaranya, aktiviti JOM Baca 10 minit, penyampaian Hadiah Pembaca Terbanyak 2021 dan Hadiah PRA “Saya Sudah Pandai Membaca’.

Artikel menarik

Kakak tidak pernah makan chicken chop, saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu? Mulianya hati murid ini

Program SUPER tingkat fokus pelajar sekolah secara maya