IPOH - Kementerian Sumber Manusia akan memperbanyakkan promosi mengenai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui program-program jangkauan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.

Menterinya M Kula Segaran berkata usaha di bawah pelaksanaan Program Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) yang dilancarkan hari ini bertujuan menarik minat lebih ramai golongan muda melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.

Beliau berkata SkillsMalaysia 2.0 adalah aspirasi kementeriannya untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan berintegriti melalui TVET.

"Pelancaran ini adalah wajar dengan mengambil kira perkembangan teknologi, khususnya Industri Revolusi 4.0 bagi era pasca 2020 yang mana kewujudan banyak pekerjaan baharu yang memerlukan kombinasi pengetahuan teknikal, analitis dan kemahiran berinteraksi," katanya.

Kula Segaran berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran SkillsMalaysia 2.0 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Kula Segaran berkata SkillsMalaysia 2.0 bukan bertujuan untuk mewujudkan persaingan antara agensi yang melaksanakan TVET, sebaliknya ia merupakan platform bagi mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak dalam memperkasakan bidang kemahiran di negara ini.

Selain itu, Kula Segaran turut melahirkan harapan agar sektor swasta dapat mengambil peranan lebih proaktif dalam melatih tenaga mahir yang diperlukan oleh industri melalui program-program TVET yang dijalankan secara ‘in-house’ kepada pekerja-pekerja sedia ada serta bakal pekerja di syarikat masing-masing.  

"Pihak swasta juga disaran memberi sumbangan penajaan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar dalam bidang TVET kerana ini mampu menarik minat lebih ramai pelajar sekolah untuk menyertai program TVET," katanya.

Bagi memastikan golongan minoriti mendapat peluang dan akses TVET, Kula Segaran berkata kementerian sedang merangka program peningkatan kemahiran jangka pendek bagi Orang Asli melibatkan penduduk di 27 kampung sekitar Cameron Highlands dengan sasaran melatih 1,200 peserta dalam pelbagai bidang kemahiran bermula 2020.

Katanya usaha itu bertujuan meningkatkan kemahiran masyarakat Orang Asli agar mampu mengusahakan perkhidmatan dan perniagaan dalam bidang kemahiran bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Pada majlis itu, Kula Segaran turut mengumumkan pelantikan selebriti Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU selaku Ikon TVET Kementerian Sumber Manusia sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi promosi dalam bidang TVET.

"Kejayaan beliau selama tiga dekad dalam industri seni dan hiburan, penghasilan lagu, video muzik dan filem, harus dijadikan inspirasi dalam mempertingkatkan kemahiran," katanya. - Bernama

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain