IPOH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini yang berusia 70 tahun berjaya memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi kategori sekolah menengah, baru-baru ini.

Pengetuanya, Rogayah Shukor berkata pihaknya sentiasa mengamalkan 3R (guna semula, kurangkan, kitar semula) dalam aspek penjagaan tandas sejak 10 tahun lepas bagi menjaga standard kebersihan yang tinggi.

"Usia sekolah sudah 70 tahun jadi fizikal tandas memang tidak nampak begitu menarik dengan struktur bangunan yang sudah lama, jadi saya meminta para pelajar sentiasa mematuhi penggunaan tandas dan tidak melakukan sebarang perbuatan vandalisme di dalam tandas supaya tidak nampak kotor dan kekal bersih.

"Sudah tentu saya sebagai pengetua berasa gembira atas kemenangan ini hasil usaha warga SMK Raja Perempuan kerana ini merupakan kali pertama sekolah ini menyertai pertandingan tersebut dan tidak sangka meraih tempat ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil dan Plak Pemenang bagi pertandingan berkenaan yang disampaikan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Bahari.

Sekolah Kebangsaan Meru Raya di sini turut meraih tempat ketiga bagi kategori sekolah kebangsaan dalam pertandingan tersebut yang diadakan bersempena Hari Tandas Sedunia disambut pada 19 Nov setiap tahun.

Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya berkata sejak 2012, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mencalonkan sebanyak 64 calon melibatkan 11 kategori tandas awam terbaik di sekitar bandar raya Ipoh untuk dipertandingkan dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berkata daripada 64 calon, sebanyak 28 telah memenangi pertandingan tersebut dan kejayaan itu merupakan kesinambungan usaha berterusan untuk memastikan tahap kebersihan tandas awam dalam kawasan pentadbiran MBI berada pada tahap bersih, selesa dan selamat kepada pengguna tempatan dan pelancong.

“Kesedaran tanggungjawab kebersihan tandas awam perlu dipupuk dari usia awal pelajar sekolah supaya ia menjadi satu budaya setelah mereka dewasa. Tanggungjawab penjagaan kebersihan perlu dipikul oleh semua pihak terutama masyarakat setempat,” katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Projek lima sekolah wakili Malaysia ke luar negara, The School Toilet Project antara saingan sengit!

Idea guna aplikasi Edpuzzle buat pelajar seronok nak belajar. Cikgu Ismail lega!