Terpilih mewakili sekolah dalam sukan pelayaran di bawah Program Pembangunan Sukan MSSPK Tahun 2020, Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini, memberi satu pengalaman baru buat Siti ‘Izzatussofiyyah Mohd Riza.

Murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Kenering itu berkata, pengalaman menyertai sukan pelayaran yang diadakan di PLKA KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut itu adalah pengalamannya yang pertama.

“Sangat seronok dan pelbagai cabaran menarik yang perlu saya lalui sepanjang program ini.

“Walaupun ini aktiviti lasak, namun saya dan kawan-kawan tetap kuat dan bersemangat untuk meneruskan sehingga tamat program,” katanya.

Aktiviti sukan pelayaran itu diadakan pada 21 hingga 24 September lalu dan melibatkan 32 peserta dari sekolah rendah dan menengah seluruh negeri Perak.

Sukan Pelayaran Bawah 14 Tahun ini diuruskan oleh lapan orang pegawai dari sekolah rendah dan menengah yang dipilih Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Penginapan peserta adalah di Pusat Ko-Kurikulum, Pulau Pangkor.

Sementara itu, salah seorang guru Tahun Enam, Cikgu Ahmad Safarman berkata, dia berbangga kerana muridnya terpilih dalam program tersebut.

“Bangga dan kagum kerana Siti ‘Izzatussofiyyah dipilih mewakili sekolah dalam aktiviti lasak ini.

“Walaupun dia murid perempuan, namun dia sudah buktikan yang dia juga boleh. Begitu juga dengan adiknya, Siti ‘Izzatuddhuha Mohd Riza, seorang murid Tahun Satu. Siti ‘Izzatuddhuha juga berjaya mewakili sekolah untuk sama-sama belayar di lautan,” ujarnya.

Dalam pada itu, GPS Bestari mendapatkan sedikit pandangan daripada Guru Besar SK Kenering, Hizral Farezan Haron berkenaan penglibatan muridnya dalam acara itu.

“Pihak sekolah akan menyokong apa sahaja program murid terutama yang terpilih mengharumkan nama sekolah.

“Lagi pun program yang berlangsung ini telah mematuhi Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Standard Operating Procedure (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan menangani isu penularan wabak Covid-19.

“Diharapkan murid-murid sekolah ini akan diberi lebih banyak pendedahan tentang sukan yang jarang-jarang diketengahkan kepada mereka suatu hari nanti,” ujarnya.

Artikel menarik

Ini cara paling seronok belajar Sejarah - Guru ini kongsi enam tip skor A subjek ini

Cikgu-cikgu jangan patah semangat ya, kali ini Cikgu Rauf kongsi tip kekal semangat belajar di rumah