Tidak sia-sia pasukan Orkestra Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu mempertaruhkan lagu Spain, yang diberi nafas baru dan lagu Hati, OST filem Hati Malaya, apabila berjaya meraih Anugerah Perak dalam pertandingan Orkestra Pop Patriotisme 2019 peringkat kebangsaan di Dewan Panggung Budaya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Menariknya, kumpulan orkestra yang mempunyai 62 pemuzik itu dianggotai pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima, serta tidak mempunyai kemahiran asas dalam bidang muzik pada mulanya. Namun berjaya memukau juri dan penonton dengan persembahan yang mempersonakan.

Berkat kesungguhan, serta minat mendalam, mereka berjaya mengharungi segala cabaran, seterusnya menjadi pelapis kepada pemuzik profesional.

Mengulas kejayaan dan rahsia kemenangan diraih kumpulan itu, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Razi Daud berkata, ia tidak semudah yang disangka, malah memerlukan usaha serta komitmen yang tinggi.

Tambahnya lagi, Anugerah Perak yang diperoleh kumpulan tersebut merupakan pengiktirafan berharga yang di terima sekolah.

“Pihak sekolah merasa berbangga atas kejayaan yang dicapai oleh kesemua pemuzik, sehingga berjaya menarik perhatian juri ketika pertandingan itu berlangsung,” katanya.

Pertandingan Orkestra Pop Patriotisme 2019 yang berkonsepkan Festival Orchestra Pop Patriotik tersebut, merupakan sebuah pertandingan orkestra antara sekolah menengah di Malaysia. Dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Razi Daud berkata, kejayaan itu tidak akan diperoleh tanpa sokongan daripada pihak pengurusan sekolah. Sokongan padu pengetua sekolah, sedikit sebanyak menyuntik semangat pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan.

“Ia sebagai usaha dan komitmen sekolah untuk terus memelihara seni muzik di mata dunia. Selain mengangkat landskap masyarakat setempat melalui inspirasi menghidangkan lagu lama yang diolah semula agar lebih segar, menarik, sesuai dengan peredaran masa,” katanya.