Sekolah Kebangsaan Sungai Kepar, Perak dipilih sebagai wakil Daerah Kerian ke peringkat Negeri Perak dalam Pertandingan Patrol Denggi 2019.

Pasukan yang melibatkan 10 orang guru dan 40 orang murid ini, adalah terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga tahun 6, termasuk murid-murid Pendidikan Khas sekolah itu.

Penolong Penyelaras Patrol Denggi Sukep, SK Sungai Kepar, Cikgu Norhazwani Khamis berkata, program kerjasama syarikat Sanofi Pasteur, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bersedia meluaskan capaiannya ke seluruh negara, seterusnya bermatlamat meningkatkan kesedaran murid sekolah mengenai bahaya demam denggi.

Menurutnya, saban tahun pelbagai inisiatif telah kerajaan jalankan bagi membasmi penularan kes-kes demam denggi, antaranya adalah melalui Program “Patrol Denggi” yang dianjurkan.

Setakat ini Patrol Denggi Sukep telah menjelajah ke beberapa tempat seperti ‘Movie Animation Park Studio (MAPS), Taman Rekreasi Gunung Lang, Kilang Ubat Nyamuk Fumakilla di Seberang Prai, Winners Bowling Center dan Taman Tasik di Taiping.

Ia sebagai usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat luar tentang pentingnya membasmi nyamuk aedes. Antara program yang dilaksanakan adalah, gotong-royong, pameran, ceramah, kuiz, persembahan sketsa, nyanyian dan edaran flyers.

“Pasukan Patrol Denggi Sukep, SK Sungai Kepar juga turut membuat penggambaran dan khidmat komuniti di beberapa tempat peranginan di daerah Kerian, seperti Gunung Semanggol, Bukit Merah Laketown Waterpark, Bukit Merah Clubhouse, dan Jambatan Kereta Api Bukit Merah.

“Antara program yang dijalankan adalah, membuat persembahan sketsa dan nyanyian berkenaan denggi di Majlis Penutup Pesta Pantun Peringkat Negeri Perak dan Pertandingan Guru Inovatif Daerah Kerian,”katanya.

Sempena hari guru yang dijalankan di MYDIN, Parit Buntar sebelum ini, Patrol Denggi Sukep juga turut terlibat meneruskan Misi Gempur Denggi dengan membuat persembahan dan mempamerkan maklumat denggi kepada umum.

Menerusi, temubual antara Video Editor Patrol Denggi Sukep, Cikgu Noor Aifa Abd.Halim dan Pengarah Urusan MYDIN Wilayah Utara, Dato Dr. Saduruddin Gulam Hussain, dapat disimpulkan maklumat bahaya denggi ini harus disebarkan ke seluruh masyarakat, agar demam denggi dapat tangani segera.

Jelasnya lagi, usaha pencegahan denggi harus dipertingkatkan, termasuklah memberikan kesedaran kepada umum secara terus dicorong-corong radio. Katanya, perkara paling penting adalah mengadakan gotong-royong bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat serta komuniti mengenai aspek pencegahan denggi.

“Denggi Patrol Sukep SK Sg Kepar juga turut dijemput sebagai tetamu di Perak FM. Penyelaras Patrol Denggi Sukep, Cikgu Hamidah Tajuddin bersama Penyelaras Persembahan, Cikgu Mohd Shahirwan Abu Bakar dan seorang lagi murid, Nurul Atikah Akma Abu Bakar  berkongsi tentang kesedaran membasmi nyamuk aedes kepada pendengar.  

“Malah, murid-murid juga turut didedahkan dengan aktiviti gotong royong bersama komuniti setempat, misalnya membersihkan kawasan Surau Darul-Taqwa, Kampung Tersusun, Simpang Empat Semanggol dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nurul Iman, Teluk Medan. Selain membasmi tempat pembiakan larva nyamuk aedes, melalui pengasapan, gotong-royong tersebut juga adalah sebagai persediaan bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba,”katanya.

Sementara itu, Guru Besar, SK Sungai Kepar,  Mohamad Sofian Ahmad berkata, pelaksanaan program ini diharap dapat mendidik murid dan orang ramai untuk cakna berkenaan bahaya wabak demam denggi seterusnya bersatu menyokong pasukan Patrol Denggi Sukep dalam Misi Gempur Denggi membanteras nyamuk aedes.