IPOH - Remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ditawar masuk ke program pelapis kebangsaan dan dibenarkan kekal berlatih di sini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selain Muhammad Azeem, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah turut ditawarkan program sama bagi membolehkan MSN menyelia dan memantau perkembangan remaja berumur 15 tahun itu.

"Untuk sementara, kita biarkan Azeem berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini di bawah pengawasan jurulatihnya dan kita akan memantau daripada situ.

“Kalau ikut program pelapis kebangsaan, pangkalan Muhammad Azeem adalah di Bukit Jalil tapi kita tumpukan di sini sesuai dengan keadaan dia untuk ambil Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)," katanya selepas mengadakan pertemuan di SMK Gunung Rapat yang merupakan sekolah sukan negeri di sini semalam.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu adalah bapa Muhammad Azeem, Mohd. Fahmi Tajuid dan Muhammad Amir Izwan Tan.

Ditanya sama ada diberi tawaran lain termasuk menjalani latihan di luar negara, Ahmad Shapawi berkata, perbincangan ada dibuat namun pihaknya sentiasa mencari pilihan serta pandangan lain bagi keselesaan remaja istimewa itu.

Dalam pada itu, Muhammad Azeem ketika ditemui berkata, beliau terkejut dengan perkhabaran tersebut dan menganggap ia sebagai impian menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana saya tidak menyangka akan sampai ke tahap ini dan di usia saya ini saya dapat menjadi pelapis itu merupakan pencapaian yang membanggakan.

Saya tidak berasa tekanan dan saya akan lakukan seperti biasa dan fokus saya lakukan latihan untuk kejohanan terdekat ini iaitu di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Indonesia selepas Hari Raya Aidilfitri ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amir Izwan Tan berkata, beliau akan meneruskan jadual latihan Muhammad Azeem seperti biasa iaitu tujuh sesi selama lima kali seminggu.

"Latihan akan dilakukan seperti biasa cuma akan ada penambahbaikan dengan bantuan daripada Institut Sukan Negara. Selepas bulan Julai latihan akan dihentikan untuk beri peluang kepada Muhammad Azeem fokus kepada PT3," katanya.

Muhammad Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Johor, bulan lepas. - Bernama

ARTIKEL LAIN:

'Mana ma dan abah?' - Murid SK Kuang ini tak tahu ibu ayah dan dua adik meninggal (8 foto)

'Apa yang saya reti masak saya masak untuk lima adik' - murid tahun enam terpaksa jadi ibu, ayah

Guru mohon doakan kesembuhan dua beradik murid SK Kuang

Tular kisah Ibu bapa Cina hantar anak ke tahfiz, ini cerita sebenar Mike ketika sekolah

'Pelajar Cinta pertama dan adiwira saya' - Cikgu Yasmin buat Menteri Pendidikan kagum dan bangga