Pandemik Covid-19 dorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bangunkan modul permohonan menjalankan penyelidikan penyelidikan di makmal, bengkel, studio atau ruang kerja khusus menerusi aplikasi  Sistem Research Integrated Management System (RIMS).

      Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, serangan wabak Covid-19, menyaksikan pengendalian aktiviti penyelidikan, perundingan, pengkomersilan dan penerbitan (4P) di Institusi Pengajian Tinggi turut  terkesan termasuk UPSI.

       “Bagi memastikan aktiviti 4P dapat dilaksanakan dengan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, modul RIMS membantu pelajar pascasiswazah mod penyelidikan, pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan/Ijazah Sarjana Muda yang menjalankan projek penyelidikan dan pelajar latihan industri serta staf penyelidikan termasuk pembantu penyelidik siswazah (GRA), pembantu penyelidik (RA), pembantu penyelidik (RAS), enumerator dan graduate intern (GI),”katanya.

      Beliau berkata kehadiran penyelidik ke makmal, bengkel, studio atau ruang kerja khusus dipantau menerusi permohonan yang dikemukakan oleh ketua penyelidik atau penyelia masing-masing.

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

       “Kehadiran pelajar dan staf penyelidikan dikawal selia melalui sistem RIMS demi memastikan pematuhan terhadap had kapasiti ruang yang telah ditetapkan. Jika bilangan pengguna melebihi had kapasiti yang ditetapkan, permohonan tidak dapat diproses dan ketua penyelidik atau penyelia perlu membuat penjadualan semula permohonan,” katanya.

       Mohammad Shatar berkata, semua pelajar atau staf penyelidikan perlu membuat pengisytiharan kesihatan melalui sistem RIMS sehari sebelum aktiviti penyelidikan dijalankan.

Sebaik sahaja mendapat notifikasi kelulusan, sebelum melaksanakan  aktiviti penyelidikan, penyelidik perlu mengimbas suhu badan dan mengemukakan notifikasi kelulusan kepada pengawal keselamatan di pintu masuk kampus.  

        “Modul  RIMS ini dibangunkan untuk mengawal selia pematuhan SOP dalam melaksanakan aktiviti kerja lapangan (field work) sama ada di dalam atau luar UPSI,”jelasnya.

Menurut beliau, sistem berkenaan bertujuan untuk  mengembalikan momentum aktiviti penyelidikan dengan pematuhan kepada SOP yang telah ditetapkan walaupun berhadapan ancaman virus Covid-19 yang entah bila akan berakhir.