PERAK - Universiti Pendidikan Sultan Idris  (UPSI) memulakan langkah tahun 2020 bagi  merealisasikan  agenda 'UPSI The Next Level' dan 'UPSI Global,'   dengan mengadakan  perjanjian persefahaman dengan Nottingham Trent University (NTU), England, semalam

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohammad  Shatar Sabran berkata,  dengan termeterainya perjanjian itu UPSI akan memastikan guru-guru lepasan universiti itu  akan memasuki pasaran peringkat antarabangsa  selain peringkat nasional yang dilihat semakin  terhad.

UPSI  akan memasarkan guru lepasan universiti itu ke persada antarabangsa.

Selain sekolah antarabangsa dalam negara, UPSI turut mensasarkan graduan ke sekolah swasta dalam dan luar negara, seperti Australia, United Kingdom mahupun negara jiran.

“UPSI akan memastikan graduan memenuhi beberapa kriteria utama seperti kemampuan menguasai bahasa Inggeris. Selain  memiliki sijil pentauliahan kualiti  graduan hasil  kerjasama dengan NTU yang akan membantu meningkatkan kualiti graduan UPSI. 

"Menerusi program mobiliti atau kursus jangka pendek akan membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan di luar negara,” ujarnya.

Tambah beliau, penekanan terhadap latihan akan diberikan supaya pensyarah  mempunyai  nilai tambah dengan kemahiran luar biasa menerusi pendedahan antarabangsa, sekali gus mampu melaksanakan pedagogi terkini sesuai dengan pengajaran abad ke-21 (PAK21).

Katanya lagi, UPSI juga akan bekerjasama dengan NTU bagi menganjurkan kursus jangka pendek untuk guru, pentadbir sekolah, dan mereka yang sedang belajar di universiti awam mahupun institut perguruan.

“Menerusi kolaborasi ini, UPSI akan mengadakan program profesional  sarjana dan doktor falsafah yang akan diubahsuai untuk keperluan UPSI yang bertujuan pelajar pascasiswazah diterima peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, UPSI mendapat pengesahan daripada NTU untuk program pendidikan di negara ini khususnya UPSI agar graduan diterima  oleh majikan luar negara  termasuk England.   

Artikel lain:

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020