Tanjung Malim: Seorang guru, Ismail Muhamad Zain yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River di sini secara sukarela Februari lepas, menerima pengiktirafan sebagai Ikon Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) dari Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Beliau yang juga bekas pelajar UPSI dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak itu menerima pengiktirafan berkenaan dalam satu majlis penyampaian sijil penghargaan di Kampus Sultan Azlan Shah, di UPSI.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan Ismail sebagai Ikon AKSB dilihat amat tepat kerana usaha bekas pelajar tersebut telah memberi impak kepada masyarakat.

“Usaha cikgu Ismail yang murni perlu dijadikan contoh, ketika kita sibuk dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan masing-masing, beliau dengan rutin hariannya membersihkan Sungai Balun yang merupakan nadi dan sumber kepada kehidupan kepada masyarakat.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan sijil penghargaan AKSB dapat memberi inspirasi kepada seluruh warga dan alumni UPSI di seluruh negara dan setiap mahasiswa mahupun alumni sentiasa digalakkan untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, semalam.

Sementara itu, Ismail, 40, yang merupakan guru Penyelaras Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Seri Besout, Sungkai, berkata, beliau berasa gembira dan syukur dengan pengiktirafan daripada pihak universiti.

“Alhamdulillah, langsung tidak menyangka usaha kecil saya telah mendapat perhatian ramai pihak apatah lagi sampai ke pengetahuan pihak Istana Negeri Perak.

“Kita semua telah dididik dan cakna terhadap kepentingan sungai dalam kehidupan seharian, maka dengan menjaga kelestariannya adalah galasan yang perlu sama-sama kita pikul,” katanya.

Pada 14 Februari lepas, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah yang terperangkap di dalam Sungai Balun.

Kisah Ismail juga mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang menzahirkan titah penghargaan terhadap usaha beliau. --- BERNAMA