PARIT BUNTAR - Konsep pembelajaran santai dalam simulasi haji cilik menyebabkan 'haji' dan 'hajah' cilik teruja menyertainya meskipun terpaksa berpanas selama beberapa jam.

Walaupun proses haji mengikut rukun haji sebenar berdasarkan modul ditetapkan, namun proses simulasi itu dilaksanakan bersesuaian dengan kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Simulasi Haji Cilik Daerah Kerian 2018, Mohd Noor Mohd Radzi berkata, program julung kali dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Tadika Swasta Kerian di Kerian dan Perak disertai 120 peserta dari sembilan tadika.

"Kesemua peserta terdiri 4 hingga 6 tahun sudah diajar di tadika masing-masing oleh guru diwajibkan menyertai taklimat pembimbing Haji Cilik yang ditetapkan.

"Ketika proses simulasi, guru pembimbing akan mengajar apa yang perlu dilakukan oleh peserta Haji Cilik di setiap 'checkpoint' yang dilalui," katanya.

Kata beliau, keperluan untuk mengajar simulasi haji ini telah termaktub dalam Ko-Kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan (KSPK).

"Proses pembelajaran pula di tadika mengambil masa tiga hingga empat minggu, bermakna sebelum simulasi, anak-anak sudah diajar secara terperinci," katanya pada Program Simulasi Haji Cilik Daerah Kerian 2018 di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Mohd Fisal mewakili Pegawai Daerah Kerian, Abd Wahid Ramli.

Mohd Noor berkata, simulasi itu menjadi praktikal terbaik kepada anak-anak kerana di setiap 'checkpoint' adalah proses pembelajaran berterusan menyeronokkan.

Menurutnya, dalam simulasi ini, peserta Haji Cilik diperkenalkan dengan beberapa 'checkpoint', bermula dengan ibrah (lelaki lengkap berihram dan perempuan bertelekung), wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah, melontar tiga Jamrah, bertahallul, saie dan tawaf serta simulasi korban.

"Di sini berlaku proses pembelajaran kepada anak-anak dalam keadaan mereka bersantai, mereka bergerak ke setiap 'check point' sambil bermain santai, dari situ sedikit sebanyak mereka tahu proses haji.

"Malah di setiap 'checkpoint' ada ibrahnya, sebagai contoh saie iaitu ibrah dari kisah Nabi Ismail dan Siti hajar, simulasi korban ibrahnya pengorbanan Nabi Ibrahim dan sebagainya," katanya.

Mohd Noor berkata, simulasi itu turut menjawab kepada gambar, video atau rakaman mengenai ibadah haji yang hanya didengar dan dilihat oleh peserta Haji Cilik sebelum ini.

"Program ini memberi impak positif kepada peserta kerana jika kita mengajar mengenai solat lima waktu, mereka dapat lihat ia dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga di rumah tetapi ibadah haji mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika tidak mencubanya sendiri.

"Ada juga segelintir ibu bapa mengaitkan ibadah haji dengan orang dewasa dan warga emas sahaja tetapi simulasi ini mengubah persepsi mereka bahawa anak-anak juga berpeluang menunaikannya," katanya.

Malah kata beliau,  ibu bapa perlu memberi semangat dan membantu anak-anak menabung seawal usia sebagai usaha menggalakkan mereka menunaikan haji atau umrah.

Sementara itu, seorang peserta dari Tadika Kasih Ummi, di sini, Muhammad Abrar Khairil Anwar berkata, dia teruja menunaikan rukun Islam kelima itu walaupun program itu sekadar simulasi dengan replika Kaabah.

"Saya bercita-cita untuk ke Makkah bersama kedua ibu dan ayah saya. Pengalaman kerja haji seronok sangat. Sebelum datang ke sini, cikgu sudah ajar di sekolah dan di sini cikgu ajar sekali lagi," katanya.

 

Mohd Noor(duduk kiri) bersama Mohd Fisal (duduk tengah) dan tenaga pengajar tadika terlibat dalam program Simulasi Haji Cilik Daerah Kerian 2018.

Sebahagian peserta haji cilik teruja melakukan tawaf.

Haji cilik ceria selepas menyempurnakan ibadah haji masing-masing