Kerana kemalangan di Jalan Nyabau, Bintulu, Zairi terus berubah sikap.

Dia yang dulunya seorang yang menghormati orang tua, kini mula bersikap baran.

Paling di marahnya apabila Ustaz Malik hadir ke rumah untuk merawat Zairi.

Menurut cerita, Jalan Nyabau, Bintulu sememangnya ada penunggu.

Sesiapa yang melalui jalan tersebut, akan diganggu oleh 'sesuatu' yang menyeramkan.

Kak Zai, ibu kepada Zairi cuba mendapatkan bantuan daripada Ustaz Malik iaitu seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di sebuah sekolah rendah di Sarawak.

Kata Ustaz Malik, dia berusaha merawat Zairi dengan ilmu yang ada namun yang menyembuhkannya hanyalah Allah SWT.

Ikuti kisah seram Ustaz Malik menerusi laman facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami.  

 

 

**********

 

 

PENUNGGU JALAN NYABAU

Pagi tadi saya sedang menikmati sarapan bersama isteri dan anak-anak di Restoren An Najah.

Ketika sedang menikmati makanan di sini, saya sempat bercerita dengan isteri berkenaan dengan pengalaman merawat pesakit suatu ketika dulu.

Sekitar dalam setengah jam bercerita, tiba-tiba saya teringat akan pengalaman merawat pesakit yang diganggu di Jalan Nyabau, Bintulu.

Sepertinya sudah beberapa kali saya menerima panggilan kecemasan berkenaan dengan beberapa orang pesakit yang telah diganggu di Jalan Nyabau, Bintulu. Jalan Nyabau ini bermula dari masuk ke simpang kiri jalan lama Bintulu-Miri.

Melalui UPM, Nyabau Water Treatment Plan, Hospital Bintulu hinggalah kawasan lampu isyarat menuju ke Kidurong. Lebih kurang begitulah sekitar laluan kawasan Jalan Nyabau ini.

Saya masih teringat suatu ketika dahulu saya telah menerima panggilan telefon dari seorang makcik.

“Assalamualaikum. Ni Cikgu Malik ke?”

“Ya kak. Ni siapa?”

“Saya Kak Zai. Ada benda saya nak minta tolong cikgu. Sekarang.”

“Kalau sekarang minta maaf kak. Sebab saya tengah mengajar. Kalau malam ni Insya-Allah saya free.”

Kebetulan pada masa tu saya masih mengajar di SMK Baru sebagai cikgu sandaran. Jadi saya tidak dapat untuk memenuhi permintaan Kak Zai.

“Owh..Jadi kalau sekarang kakak nak mintak tolong tak dapat ek?”

“Tak dapat kak. Kalau perlu kakak hantar anak kakak pergi ke hospital dulu. Manalah tahu kalau sakit anak kakak tu sakit biasa-biasa.”

“Cikgu, kami baru balik dari Hospital Nyabau. Sekarang kami dah di rumah. Anak saya tak berhenti-henti meracau lepas balik dari hospital cikgu.”

“Sebenarnya apa yang berlaku pada anak kakak?

“Macam ni cikgu. Minggu lepas anak kakak dan kawannya dalam perjalanan pergi ke Kidurong untuk menghadiri majlis hari jadi. Mereka bergerak keluar dari rumah selepas solat isyak. Rumah kakak kat kampung je. Jadi mereka mula-mula menggunakan jalan Desa Damai dan keluar mengikuti jalan lama Bintulu-Miri. Kemudian mereka masuk ke simpang Jalan Nyabau.”

“Pada awalnya tiada apa yang berlaku. Tetapi apabila sampai ke suatu tempat, mereka melihat seorang perempuan pertengahan umur sedang memimpin tangan seorang budak lelaki lebih kurang berusia lapan tahun tiba–tiba sahaja melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan. Mereka tiba-tiba muncul dari kawanan tiang lampu di tengah jalan tu.”

“Oleh kerana perempuan dan budak tersebut tiba-tiba sahaja keluar melintasi jalan, jadi mereka tiada pilihan. Mereka tidak dapat mengelak dan terpaksa menekan brek sekuat hati lalu melanggar perempuan dan budak tu.”

 

(Gambar Sekadar Hiasan).

 

“Akibat dari perlanggaran tersebut, bahagian hadapan kereta anak kakak hancur remuk. Seolah-olah mereka telah melanggar tembok dinding besi yang kukuh. Kecederaan yang menimpa anak kakak agak teruk juga cikgu. Kepala anak kakak telah terhantuk di cermin kereta bahagian hadapan sehingga cermin tersebut pecah.”

“Banyak darah yang mengalir dari kepala anak kakak. Ketika itu anak kakak tidak menggunakan tali pinggang keledar. Kawan anak kakak cuma cedera ringan sahaja. Cuma lebam-lebam sahaja akibat dari hentakan dahinya ke arah ‘dashboard’ kereta. Walaupun kawan anak kakak menggunakan tali pinggang keledar.”

“Selepas itu mereka tidak sedarkan diri. Mereka telah dibantu oleh pemandu kereta lain yang kebetulan berada di belakang mereka dan menyaksikan sendiri kejadian tersebut menelefon ambulan supaya mereka dapat dibawa ke Hospital Nyabau. Kebetulan Hospital Nyabau cuma berjarak tidak sampai dua kilometer dari tempat mereka kemalangan.”

“Dari handphone anak kakaklah mereka telah berjaya untuk menghubungi kakak. Kakak terus bergegas ke hospital selepas mendapat tahu apa yang terjadi pada anak kakak. Sesampainya di hospital kakak berjumpa dengan pemandu kereta yang telah menyelamatkan anak kakak. Ketika itu kakak masih teringat lagi apa yang pemandu itu katakan kepada kakak.”

“Assalamualaikum kak. Kakak ni ibu Zairi ke? Minta maaf kak. Tadi saya terpaksa buka beg duit Zairi untuk mengambil IC dia. Nurse yang minta. Saya juga terpaksa buka handphone anak kakak untuk cari nombor telefon yang boleh dihubungi. Kebetulan ada nama ‘mak’ kat situ. Jadi saya cuba untuk hubungi no kakak. Alhamdulillah dapat.”

“Terima kasih banyak-banyak nak. Ya nak. Kakak mak Zairi. Zairi kat mana sekarang? Macam mana keadaan dia?”

“Alhamdulillah kak. Dia ok dah sekarang. Tadi dia meracau-racau sekejap. Tapi doktor telah berikan dia ubat. Sekarang dia tengah tidur kak. Dia ada di dalam wad.”

 

Kemalangan

“Boleh kakak tahu kenapa anak kakak boleh kemalangan ni? Dia bawa laju ke?”

“Tak adalah kak. Dia tak bawa laju. Kebetulan kereta saya berada di belakang dia. Sebab itu saya tahu dia bawa laju atau tidak. Rasanya dalam 60 km sejam je kak.”

“Lepas tu. Kenapa si Zairi ni boleh kemalangan?”

“Itulah yang saya hairan kak. Semasa dalam perjalanan tadi saya lihat tiada yang pelik berlaku pada kereta anak kakak. Sehinggalah lebih kurang dua km lagi untuk sampai ke Hospital Nyabau saya lihat kereta mereka menekan brek dengan kuat seperti sedang berusaha untuk mengelak sesuatu.”

“Selepas itu kereta anak kakak seperti telah melanggar sesuatu kerana kereta mereka berhenti secara tiba-tiba. Kereta mereka berhenti bukan kerana mereka telah habis menekan brek tetapi kereta mereka berhenti kerana telah melanggar sesuatu. Itu yang saya perhatikan dari arah belakang.”

“Selepas itu saya meluru keluar untuk membantu kereta anak kakak. Sesampainya di hadapan mereka saya sempat untuk memanggil-manggil keduanya dan mereka menjawab dan meminta tolong kepada saya. Lalu saya menelefon ambulan untuk datang. Yang peliknya pada ketika itu juga saya cuba untuk mencari apa benda yang mereka langgar.”

“Sepertinya mereka telah melanggar sesuatu yang besar. Paling tidak pun mereka telah melanggar lori atau bas yang bertentangan arah. Tetapi masakan mereka berlanggar dengan lori kak. Kalau tak memang lori itu ada kat situ. Bahagian hadapan kereta mereka telah hancur remuk hingga hampir mengena bahagian hadapan penumpang.”

“Saya berusaha mencari siapa atau apa yang mereka langgar. Tetapi tiada kesan darah dan sebagainya, apa lagi tubuh badan manusia. Mungkin juga orang yang mereka langgar tu terpelanting ke tepi. Tetapi sudah puas saya mencari tetapi tidak ada kesannya. Saya sempat memikirkan apa yang sebenarnya berlaku. Kesan perlanggaran itu sangat teruk. Tetapi kita tidak tahu apa yang mereka langgar.”

“Saya risau juga kalau-kalau mereka melanggar sesuatu yang kita tidak nampak kak. Selepas ambulans datang dan membawa mereka ke hospital, sempat juga saya mencari di bahagian semak kalau-kalau ada orang yang mereka langgar. Tetapi seingat saya memang tiada orang yang melintas jalan ketika kejadian itu berlaku.”

“Risau juga kakak dengar. Anak kakak ni kemalangan satu hal. Mereka melanggar apa tu satu hal pulak. Tapi kakak faham nak. Memang Jalan Nyabau ni macam tu. Dari dulu dah. Dulu mana ada orang nak pakai Jalan Nyabau ni. Cuma sekarang je orang dah berani. Selepas ada lampu di sepanjang jalan.”

“Baiklah kalau macam tu kak. Saya nak balik dulu. Isteri dan anak saya sedang menunggu di dalam kereta. Tadi mereka ada bersama saya. Oleh kerana anak kami merengek nak tidur jadi saya minta isteri saya untuk menunggu di kereta sahaja.”

“Baiklah nak. Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak nak. Tak dapat kakak nak membalas jasa anak. Allah sahaja yang dapat membalasnya nak.”

“Tak ada apa-apalah tu kak. Memang kebetulan saya berada kat situ kak. Jadi saya bantu apa yang patut. Nanti kalau kakak nak jumpa dengan anak kakak, kakak masuk kat wad lelaki. Saya lupa katil berapa kak. Nanti kakak boleh tanya nurse kat situ ok. Saya balik dulu kak. Assalamualaikum.”

“Baiklah nak. Terima kasih banyak-banyak. Waalaikumsalam.”

“Selepas itu kakak pergi wad lelaki. Selepas bertanya kepada nurse yang ada di situ, kakak terus cari di mana katil anak kakak. Alhamdulillah akhirnya kakak berjumpa dengan anak kakak. Kakak lihat anak kakak sedang tertidur. Kepalanya berbalut. Di sebelah katil anak kakak adalah katil kawannya sendiri.”

“Kakak sempat bertanya kepada doktor yang kebetulan mengambil alih kes anak kakak tadi. Menurut doktor anak kakak dan kawannya stabil. Cuma hentakan kuat pada kepala anak kakak serta trauma mungkin menyebabkan anak kakak meracau dan menjerit. Doktor tu bagi tahu kakak supaya ikhtiar cara lain jugak sebab menurut doktor tersebut seperti ada sesuatu yang pelik.”

“Doktor tu Islam ke kak?”

“Bukan ustaz. Doktor tu orang cina.”

“Owh..”

“Dua tiga hari lepas tu anak kakak dan kawannya dibenarkan balik. Selepas balik ke rumah ada dua tiga kali jugak anak kakak meracau ketika tidur. Tapi sekarang semakin kerap. Sekarang ni hampir setiap masa anak saya meracau cikgu.”

“Saya faham kak. Insya-Allah malam nanti saya datang.”

“Alhamdulillah. Baiklah cikgu. Kalau macam tu malam ni kakak mintak tolong cikgu untuk tengok-tengokkan keadaan anak kakak. Kalau setakat meracau kakak tak kisah cikgu tapi anak kakak ni mula menjerit-jerit. Malu juga didengar jiran sebelah cikgu. Nasib baik mereka faham. Merekalah yang mencadangkan supaya mintak tolong kat cikgu. Cikgu pandai buang-buang hantukan?”

“Hantu mana pulak yang saya pernah buang kak? Saya ni penakut.”

“Betullah kot apa yang kawan kakak bagitau kakak.”

“Pasal apa kak?”

“Bagi tahu pasal cikgulah.”

“Kenapalah dengan saya?”

“Cikgu ni penakut. Hahaha..”

“Itu saya setuju kak. Hahaha..”

“Baiklah cikgu. Malam nanti cikgu datang ok. Nanti saya tunggu cikgu di depan Surau Darus Salam Kampung Baru. Lepas tu kita berangkat sama ke rumah kakak.”

“Baiklah.”

“Jumpa malam ni cikgu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam kak.”

Pada malam tersebut selepas solat isyak dan solat sunat dua rakaat, saya berdoa kepada Allah agar diberikan keselamatan dan perlindungan untuk keluarga saya dan keluarga Kak Zai. Juga seluruh umat Islam.

 

Perjalanan ke rumah Kak Zai

Saya menaiki motosikal EX5 hitam saya. Motosikal kenangan sewaktu mengajar di SMK Baru Bintulu. Motosikal saya satu-satunya yang ada tengkorak ‘steel’ dan mata tengkorak tersebut bertukar menjadi merah menyala ketika saya hidupkan ‘high beam’ motosikal saya.

Mengalahkan motosikal pelajar. Tengkorak itu saya beli semasa menghadiri temu duga sebagai pensyarah di UiTM Kota Samarahan.

Motosikal saya telah lama saya jual. Ketika itu saya sudah menikah dan mempunyai kereta sendiri. Motosikal itu dibeli oleh seorang pelajar yang belajar di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu. Seorang perempuan. Bertudung labuh dan seorang aktivis. Saya pun tak tahu kenapa pelajar tersebut minat dengan motosikal EX5 saya.

Memandangkan saya jarang menggunakannya jadi saya jual kepadanya dengan harga yang dia tawarkan pada ketika itu iaitu RM1500.00. Cuma yang tinggal sekarang adalah helmet saya sahaja. Helmet SGV hitam.

Hadiah pemberian pelajar SMK Baru sendiri semasa hari jadi saya pada tahun 2006. Saya masih ingat. Pada helmet itu ditulis perkataan Ustaz Rock. Itu penilaian mereka.

Saya bukan Rock totok kerana kadang kala saya suka melayan lagu dangdut nyanyian Rhoma Irama dengan lagu ‘Malam Terakhir’nya, juga Basofi Soedirman dengan lagu ‘Tidak Semua Laki-Laki’ dan juga lagu Meggy Z yang bertajuk ‘Sakit Gigi’.

 

“Putus lagi cintaku,

Putus lagi jalinan kasih sayangku dengannya,

Cuma karena rupiah lalu engkau berpaling muka,

Tak mau menatap lagi,

Kecewa kecewa hatiku,

Terluka karena cinta..

 

Lagu ini jugalah yang saya nyanyikan ketika dalam perjalanan ke rumah Kak Zai setelah sebelumnya saya mulakan dengan lafaz Taawwudz, Basalah. Surah Al-Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul.

Sepanjang perjalanan ke rumah Kak Zai tiada apa-apa yang berlaku. Lagipun jarak di antara rumah saya ke rumah Kak Zai lebih kurang 1 km sahaja.

Sesampainya saya di rumah Kak Zai, saya disambut oleh beberapa orang lelaki di luar perkarangan rumah.

“Assalamualaikum cikgu. Sila masuk. Kak Zai ada kat dalam.”

“Waalaikumsalam bang. Terima kasih.”

Ketika melangkah masuk saya perhatikan sudah ramai orang menunggu di ruang tamu. Kesemua mata memandang saya dengan wajah yang agak kelihatan berseri. Mungkin tetamu yang bertandang ini adalah keluarga Kak Zai.

Perasaan sugul itu juga jelas kelihatan pada wajah mereka. Mungkin melihat keadaan anak Kak Zai ketika itu sedang terbaring kaku di tengah ruang tamu.

Ketika melangkah masuk ke dalam rumah dan memberi salam, tiba-tiba muncul seekor riang-riang (Kalau Bahasa Melayu Sarawaknya dipanggil dengan istilah beringin dan dari segi Bahasa Vaienya pula dipanggil dengan gelaran ‘nginget’). Riang-riang tersebut bersaiz besar dan betul-betul hinggap di hidung saya.

Berkali-kali juga saya cuba untuk menghalaunya tetapi oleh kerana tangannya berbulu-bulu serta tajam jadi mudahlah riang-riang tersebut mencengkam wajah saya. Perasaan malu timbul pada ketika itu juga.

 

Siapa perempuan tua dan anaknya yang dijumpai oleh Zairi? (Gambar Sekadar Hiasan).

 

Mana tidaknya. Ramai juga tetamu yang datang tersenyum tersipu-sipu dan tersengih. Tapi saya simpan perasaan malu itu supaya boleh saya ceritakannya pada masa sekarang. Hahaha..

Selepas berjaya menggenggam dan mengalih riang-riang tadi dari terus bermain di wajah saya, saya berjalan ke pintu masuk dan mencampakkan riang-riang tersebut keluar. Kemudian saya kembali ke ruang tamu dan bersalam mesra dengan mereka.

Selepas bersalam dan mengambil tempat duduk, saya berbual-bual kosong dengan tetamu yang ada. Sambil menunggu Kak Zai. Sedangkan anaknya sedang terbaring lemah di atas lantai.

Tidak berapa lama kemudian Kak Zai keluar dari ruang belakang dan memberi salam kepada kami.

“Assalamualaikum cikgu. Minta maaf. Kakak solat isyak kejap tadi.”

“Waalaikumsalam kak. Tak apa. Saya pun baru datang jugak. Bersama dengan riang-riang tadi. Hahaha..”

Tetamu yang ada di situ ketawa mendengar apa yang saya katakan. Tetapi Kak Zai pula cuma tersengih-sengih tanpa mengetahui apa yang berlaku.

Selepas mengambil tempat duduk, kami pun berbual-bual kosong sebentar sebelum Kak Zai menjelaskan hajatnya.

“Ustaz, beginilah keadaan anak saya Zairi. Baru je Zairi ni tidur cikgu. Dari lepas asar hinggalah maghrib tadi dia mengamuk, menjerit, menangis, menyanyi dan bercerita dengan menggunakan bahasa yang kami tidak faham cikgu. Sempat juga Si Zairi ni tersedar tadi tapi dia minta untuk dihantar ke Jalan Nyabau tu. Katanya mak budak tersebut ingin berjumpa dengannya.”

“Owh..Begitu. Kesian jugak dengan Si Zairi ni kak.”

“Itulah cikgu. Sebab itulah kakak mintak cikgu ubatkan Si Zairi ni. Kakak tak tahu macamana lagi nak mintak tolong. Ada jugak jiran-jiran yang mencadangkan supaya kakak pergi berjumpa dengan bomoh. Hampir-hampir sahaja kakak setuju cikgu. Itulah. Kalau jiwa dah risau. Apa lagi yang menjadi mangsa adalah anak sendiri. Kalau bukan kerana ada sedikit iman, sudah tentu saya minta pertolongan kat bomoh tu cikgu.”

 

Zairi sering meracau setelah kemalangan di Jalan Nyabau, Bintulu. (Gambar Sekadar Hiasan).

 

“Alhamdulillah kak. Nasib baik Kak Zai masih memilih jalan yang benar walaupun Allah uji dengan ujian yang berat ini.”

“Cikgu, kakak benar-benar berharap agar cikgu boleh tolong tengok-tengokkan anak kakak.”

“Insya-Allah kak. Lepas ni kita boleh mula.”

Kemudian saya mula mengambil tempat. Saya duduk di sebelah atas kepala Zairi. Ketika itu ramai penonton mula mengambil tempat. Mungkin mereka takut akan terlepas sesuatu yang menarik.

 

Memulakan rawatan

Saya sebenarnya tidak selesa dengan keadaan seperti ini. Kehadiran penonton yang ramai sebenarnya tidak membantu sebenarnya. Malah akan lebih membuka aib pesakit.

Bahkan keadaan seperti ini nanti akan lebih menjadi seperti suatu pesta. Apa lagi pada ketika itu ramai penonton mula memenuhi ruang tamu, pintu masuk dan di tingkap-tingkap rumah Kak Zai.

Kebetulan pula rumah Kak Zai ini cuma setingkat sahaja.

Selepas itu saya mulakan rawatan saya dengan bermunajat kepada Allah. Saya cuma berdoa di dalam hati agar Allah memberi perlindungan kepada kami ketika itu.

Selepas itu saya mula bacakan Taawwudz dan Basmalah. Selepas itu saya mula beristighfar.

 

“Astagh firullahal azhim. Alladzi laa ilaha illa huwal haiyyul qayyum wa atubu ilaih..”

“Astagh firullahal azhim. Alladzi laa ilaha illa huwal haiyyul qayyum wa atubu ilaih..”

“Astagh firullahal azhim. Alladzi laa ilaha illa huwal haiyyul qayyum wa atubu ilaih..”

 

Dengan tidak semena-mena, anak Kak Zai iaitu Si Zairi tiba-tiba melompat dan terus duduk di sebelah saya. Pada ketika itu saya dalam keadaan tidak bersedia.

Ingin juga rasanya untuk menjerit terlolong dan berlari keluar. Tetapi apakan daya. Malu juga diperhatikan orang nanti.

Penonton yang pada mulanya ramai dan bersesak-sesak tadi mula hilang satu persatu. Mungkin juga takut melihat keadaan Kamil. Saya pun juga takut. Sama seperti yang lain.

Cuma saya tidak ada daya untuk melarikan diri. Takut-takut Si Zairi nanti akan mengejar saya sampai ke rumah.

Saya cuba untuk mengawal rasa takut. Tetapi debaran jantung saya semakin pantas. Dengan tidak semena-mena Si Zairi mula bersuara.

“Marilah kawan-kawanku. Hadirlah kalian ketika aku menyeru kamu. Kerana apabila kaum kita dizalimi oleh manusia, maka pada ketika itulah dendam perlu dibalas dengan kematian. Hahaha..”

Apabila mendengar Zairi berbicara seperti itu, saya semakin takut. Para tetamu yang masih menunggu tadi tiba-tiba mengambil keputusan untuk balik ke rumah masing-masing.

 

Hilang

Ada yang berlari, ada yang berjalan pantas, ada yang tiba-tiba mahu ke kedai membeli susu anak dan ada yang tiba-tiba hilang di dalam kepekatan malam.

Tinggallah beberapa orang sahaja yang masih bertahan. Iaitu saya, Kak Zai dan dua orang ayah saudara Zairi iaitu adik kepada Kak Zai.

Saya terfikir juga untuk mencari alasan pada ketika itu. Agar saya boleh balik cepat-cepat sebelum saya memulakan rawatan.

Tetapi apabila mengenangkan hajat orang belum tertunai, jadi saya batalkan niat saya untuk balik. Kerana inilah perjuangan dakwah yang saya pilih medannya.

Saya mula membaca Surah Al Muawwizatain iaitu Surah Al Falaq dan An Naas.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. Dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Muslim meriwayatkan dalam Shahihnya dari ‘Uqbah bin ‘Amir, ia berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidakkah kamu memperhatikan ayat-ayat yang diturunkan malam ini, di mana sebelumnya tidak ada ayat-ayat seperti itu, iaitu, “Katakanlah, Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai Subuh (fajar), dan ‘Katakanlah, Aku berlindung kepada Rabbnya manusia.” (Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ahmad, At Tirmidzi dan An Nasa’i. At Tirmidzi menyatakan bahwa hadis tersebut hasan sahih)

Kemudian saya berserah segalanya kepada Allah. Saya tahu pada ketika inilah Allah mahu menguji sejauh mana keyakinan saya kepada Allah.

Selepas itu secara tiba-tiba Zairi menoleh kepalanya sambil memandang ke arah saya. Matanya yang merah serta berair memandang saya dengan senyuman.

Kemudian Zairi meletakkan kedua tangannya pada tikar getah yang menutup lantai kayu rumah mereka.

Zairi tetap memandang ke arah saya. Saya pula meneruskan bacaan Surah Al Muawwizatain tadi sambil memandang ke hadapan. Saya tidak berani untuk menoleh.

Ketika itu suasana sangat hening dan sepi. Cuma terdengar bunyi deruan angin yang masuk ke dalam rumah mereka lalu menghasilkan bunyi yang menyeramkan. Bunyi tersebut seolah-olah bunyi orang yang sedang berbisik-bisik.

Selain dari bunyi angin yang perlahan yang berbisik-bisik, kesunyian malam tersebut juga diganggu oleh bunyi sesuatu.

‘Krek..Krek..Krek..Krek..Krek..’

Saya tidak pasti dari manakah arah bunyi tersebut. Tetapi saya yakin bunyi tersebut sangat dekat. Untuk menghilangkan rasa takut, saya cuba untuk mencari bunyi arah tersebut.

Saya berharap agar bunyi tersebut cumalah bunyi-bunyi cengkerik atau serangga-serangga lain.

Bunyi tersebut saya dapat dengar secara jelas. Sepertinya cuma sebelah saya sahaja. Tempat Zairi duduk. Kerana perasaan ingin tahu sangat menebal pada diri, lalu saya toleh juga ke arah Zairi.

 

Berhadapan dengan Zairi

Semasa saya menoleh ke arah Zairi, ternyata Zairi sudah mula duduk dalam keadaan ingin menerkam saya. Bunyi krek-krek tadi ternyata terhasil dari bunyi kukunya yang mencakar perlahan tikar getah pada lantai rumah mereka.

Tikar getah itu saya lihat sudah terkoyak dan Zairi menekan kukunya ke atas lantai kayu itu pula. Dari situlah terhasilnya bunyi krek-krek tersebut.

Sedangkan kuku Zairi saya lihat mula hancur dan darah-darah segar mula keluar dari celahan jari jemarinya.

Melihat keadaan tersebut saya berusaha untuk mengubah cara duduk saya agar lebih bersedia. Manalah tahu kalau-kalau Zairi akan bertindak agresif.

Belum sempat lagi untuk saya mengatur kedudukan cara duduk saya. Tiba-tiba Zairi menjerit dan melompat ke arah tengkuk saya dan saya jatuh tersembam ke atas lantai. Dahi saya hampir-hampir menyentuh lantai.

Tetapi Alhamdulillah. Saya sempat menghulurkan lengan kiri saya untuk dijadikan alas sebelum kepala saya sempat menyentuh lantai.

Ketika saya jatuh tersembam di atas lantai, Zairi tiba-tiba berdiri di samping saya sambil meletakkan kakinya ke atas kepala saya.

Terasa begitu hina ketika diperlakukan seperti itu oleh Zairi pada ketika itu. Hahaha..Sempat juga beberapa kali Zairi memijak-mijak kepala saya.

Seingat saya itulah kali pertama semenjak saya mula merawat pada tahun 2004 saya diperlakukan seperti itu ketika merawat pesakit.

Dalam keadaan gawat seperti itu saya cuma mampu untuk melindungi diri saya dari terus dipijak oleh Zairi. Selepas itu kedua orang bapa saudara Zairi bertindak memegang dan cuba untuk menahan Zairi dari terus menyerang saya.

Salah seorang bapa saudara Zairi mula memarahi Zairi dan mencarut. Banyak kata-kata kesat keluar dari mulutnya. Saya dapat menangkap maksudnya.

Bapa saudara Zairi menyumpah-nyumpah Zairi kerana memperlakukan saya seperti itu.

Sedangkan syaitan yang berada di dalam badan Zairi terus menerus ketawa kepuasan sehingga menimbulkan kemarahan kedua bapa saudaranya.

Selepas keadaan terkawal saya terus duduk dan memperbetulkan baju saya. Kak Zai saya lihat menangis semahu-mahunya.

Saya cuma tersenyum. Sedangkan Zairi terus ketawa kepuasan. Kedua bapa saudara Zairi pula saya lihat sedang melayan perasaan marah.

Mungkin mereka marah dengan sikap kurang ajar Zairi kepada saya. Itulah yang saya rasakan.

“Cikgu, cikgu tak apa-apa ke. Mintak maaf cikgu. Anak buah saya ni bertindak kurang ajar kat cikgu. Harap cikgu maafkan dia cikgu.”

“Insya-Allah tak ada apa-apa tu bang. Itu bukan kehendak Zairi dan itu bukan Zairi yang bertindak seperti itu tadi.”

“Ye ke cikgu? Lepas tu kalau bukan Zairi siapalah yang lakukan semua ni?”

“Ini semua permainan syaitan. Syaitanlah yang merasuk dalam tubuh badan Zairi dan menggunakan badan Zairi untuk melakukan itu dan ini dan melakukan apa sahaja termasuk apa yang abang lihat tadi.”

“Owh..Jadi yang tadi tu bukan Zairi ke cikgu?”

“Bukan bang. Cuma jasad sahaja Zairi tetapi jiwanya ditahan dan dikuasai oleh syaitan, lalu syaitan menggunakan jasad Zairi untuk mengamuk seperti tadi.”

“Patutlah perangai Zairi ni benar-benar berlainan. Tak sama seperti sebelum ini. Sebab Zairi adalah seorang anak yang sangat-sangat menghormati orang tua. Sebab itulah kami terkejut dan marah apabila Zairi bertindak seperti itu tadi.”

“Tak apalah bang. Asalkan abang paham apa yang berlaku sudah. Itu lebih penting.”

“Cikgu, syaitan dalam badan Zairi tu tak marah kat saya ke? Dia tak berdendam dengan saya ke? Atau ikut saya balik ke rumah dan mengganggu tidur saya nanti.”

“Hahaha..Takdelah bang. Selagi kita percaya dan berserah segalanya kepada Allah kita akan sentiasa dilindungi Allah. Adapun gangguan yang mengganggu, kita akan rasakan bahawa ini adalah suatu bentuk kasih sayang Allah kepada kita dan Allah mahu kita memahami bahawa ada makhluk lain selain kita yang sama-sama menghuni alam ini.”

Saya sempat memerhati Zairi pada ketika itu. Yang mana dia sedang terbaring dan ditahan oleh kedua bapa saudaranya. Selepas itu saya kembali meneruskan perbualan saya.

“Cuma satu pesan saya bang. Apabila kita berhadapan dengan syaitan seperti ini, mereka akan sentiasa mencuba untuk mempermainkan dan menimbulkan rasa marah pada diri kita sehinggakan mereka mampu untuk menakluk jiwa kita. Maka pada ketika itulah sebenarnya kita benar-benar telah menjadi mainan syaitan. Oleh kerana itu Rasulullah mengajar kita adab untuk berhadapan dengan makhluk seperti ini.”

Sabda Rasulullah SAW;

Suatu ketika seorang sahabat mengekspresikan sakit hatinya dengan memaki syaitan apabila haiwan tunggangan Rasulullah S.A.W tersandung. “Celaka syaitan”.

Rasulullah SAW yang kebetulan mendengarnya menasihati, “Jangan berkata celaka syaitan kerana jika kamu berkata seperti itu, syaitan menjadi angkuh dan berkata: Dengan kekuatanku akan ku buat dia jatuh. Ketika kau berkata, Bismillah, syaitan akan menjadi sekecil lalat”. (HR Riwayat Ahmad)

Diriwayatkan dari Abu Malih dari seorang lelaki, dia berkata, “Ketika aku di bonceng Nabi SAW tiba-tiba unta beliau tergelincir. Serta-merta aku katakan, “Celakalah syaitan.” Lalu beliau bersabda, Jangan kamu katakan, ‘Celakalah syaitan’, sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan berkata, “Demi kekuatanku”. Akan tetapi ucapkanlah “Bismillah,” sebab jika kamu ucapkan lafaz tersebut, syaitan akan mengecil hingga sekecil lalat.” (Sahih, HR Abu Dawud [4982])

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.A.W beliau bersabda, “Janganlah kalian mencela syaitan tetapi berlindunglah kepada Allah dari kejahatannya,” (Silsilah Ahadaits ash Shahihah [2422])

“Owh..Barulah saya faham. Terima kasih cikgu atas perkongsian ilmu ini.”

“Sama-sama bang.”

Saya jawab sambil tersenyum. Kemudian saya memandang Kak Zai. Air matanya mula mengering. Tapi kerut kerisauan masih lagi terpampang pada wajahnya.

 

[ ARTIKEL BERKAITAN: Ternampak kelibat menakutkan depan rumah..Ustaz Malik terus diganggu

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerana 'cintanya' kepada Putera Raja Air.. pelajar lepasan SPM ini akhirnya disahkan sakit jiwa

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kisah seram di sebuah sekolah di Bintulu..Siapa Cikgu Amin yang sebenarnya..]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Berkain sarung tanpa baju, siapa pakcik tua yang tegur Ustaz Malik pada malam itu?

 

Angin

Angin dingin yang berbisik- bisik tadi masih lagi terbunyi. Tapi kali ini deruan angin sedikit kuat berbanding tadi. Kak Zai bingkas bangun dan menuju ke muka pintu sambil memerhati langit.

“Kenapa angin boleh bergerak kuat malam ni? Hari cerah je. Tanda-tanda nak hujan pun tak ada. Pelik. Macam ada sesuatu yang aneh.”

Saya tidak menjawab persoalan yang dihulurkan oleh Kak Zai. Memang saya perasan ada sesuatu yang pelik. Masakan tidak. Deruan angin mula masuk ke dalam rumah Kak Zai. Pergerakan angin tersebut seperti suatu rombongan.

Angin itu datang dari arah jalan besar di tepi jalan. Kemudian masuk ke lorong kecil menuju dan masuk ke dalam rumah Kak Zai. Angin itu bergerak-gerak di ruang tamu dah akhirnya hilang begitu sahaja.

 

(Gambar Sekadar Hiasan).

 

“Hahaha..Kemarilah kawan-kawanku. Apa perlu untuk kita lakukan pada manusia-manusia ini? Merekalah yang membunuh keturunan kita sewenang-wenangnya sahaja. Kita rasuki mereka dari arah mana sahaja kelemahan yang nampak pada tubuh badan mereka. Kita rasuki mereka. “

“Kita bergerak melalui urat-urat mereka. Rosakkan segala sendi-sendi mereka. Tinggal dan rosakkan urat yang mengalir di kepala mereka. Biarkan mereka akan menjadi gila selamanya dan biarkanlah agar mereka tahu apa itu penyesalan selepas mereka mengganggu makhluk seperti kita. Hahaha..”

Dengan tidak semena-mena kawasan di sekitar rumah tersebut menjadi ‘blackout’. Rasanya mungkin sekampung-kampung terputus bekalan elektrik.

Pada awalnya saya tidak dapat memerhati wajah Kak Zai, kedua-dua bapa saudara Zairi dan Zairi sendiri.

Tetapi entah kenapa pada ketika itu rumah Kak Zai seperti penuh dengan penghuni-penghuninya. Bunyi suara orang berbual-bual, ketawa, menangis, mendengus, bunyi lolongan anjing kesedihan tiba-tiba menguasai ruang tamu.

Di dapur pula kedengaran bunyi meja bergerak-gerak dan dialihkan ke sana ke mari, juga bunyi pintu dibuka dan ditutup.

Begitu juga di atas atap rumah mereka. Seperti dilanggar sesuatu dan kedengaran seperti orang berlari ke sana dan ke mari. Tetapi atap dan siling tidak juga runtuh akibat dari hentakan kuat tersebut.

Kelihatan kesemua mereka ketakutan seperti saya. Cuma mereka tidak tahu yang saya juga mempunyai perasaan takut. Lebih kurang seperti mereka.

Tetapi saya berusaha untuk tidak menampakkan ketakutan saya walaupun beberapa kali juga saya rasakan bahu saya dicuit oleh seseorang yang bersembunyi di sebalik pintu bilik yang tertutup di belakang saya.

Selain itu juga cuping telinga saya hampir sejuk kerana beberapa kali seperti ditiup dari jarak dekat. Cuma saya tidak mengambil endah apa yang berlaku. Agak kasar juga gurauan mereka pada kali ini.

Tetapi kalau perkara seperti ini berlaku kepada orang yang mempunyai perasaan takut yang melampau serta tidak dapat mengawal ketakutannya dan lupa pada Allah, maka pada ketika itulah syaitan itu akan merasuk pada dirinya.

Selepas itu saya cepat-cepat meminta mereka membaca Surah Kursi. Sebelum Kak Zai sempat membacanya Kak Zai memandang ke arah dapur dengan wajah ketakutan.

Saya cuma dapat melihat sedikit sahaja wajah Kak Zai kerana keadaan malam yang gelap dan kelam kabut.

“Cikgu, apa tu cikgu. Macam ada perempuan merangkak ke arah kita. Tu dari arah dapur tu cikgu.”

Adoi..Pada masa segenting ini jugalah ‘perempuan’ itu muncul dari arah dapur yang sangat gelap. Saya cuba juga untuk memerhatikan ke arah dapur yang gelap gelita tersebut. Memang saya tidak dapat mengecam sesuatu.

Cuma sepertinya ada suatu pergerakan yang pada mulanya seperti kabus berwarna kelabu. Saya amati juga pergerakan kabus itu yang bergerak perlahan menuju ke arah kami. Tepatnya ke arah Kak Zai.

Lama-kelamaan kabus tersebut semakin dekat. Bentuk kabus itu akhirnya bertukar menjadi seorang perempuan. Sama seperti apa yang dikatakan oleh Kak Zai tadi.

Kak Zai pula sudah tidak seperti tadi. Cuma kaku seperti batu sambil pandangan matanya tetap terarah kepada perempuan tersebut.

Saya tidak tahu kenapa pada saat-saat seperti ini perempuan itu perlu wujud. Kenapa tidak ketika elektrik masih ada tadi. Dapatlah juga saya lihat wajahnya dan selepas itu bolehlah kami berlari keluar beramai-ramai.

Perempuan itu kemudian merangkak perlahan-lahan menuju ke arah kami. Pada ketika itu saya cuba untuk membaca Surah Yasin ayat ke 9 sebagai ikhtiar untuk berlindung dari syaitan ini dari datang ke arah saya.

“Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula) dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.” (Surah Yasin: 9)

Saya membacanya dengan kuat serta berulang kali. Dengan harapan kedua bapa saudara Kamil mendengarnya, mengetahui ayat tersebut dan bersama-sama membacanya berulang kali.

Mereka sepertinya mengetahui apa yang berada di dalam hati saya. Kedua-dua mereka memandang saya lalu membaca surah tersebut berulang kali dengan suara yang kuat.

Kedua-dua mereka hafal ayat ini kerana pada dasarnya masyarakat Melayu kita sering membaca Surah Yasin ini pada malam Jumaat tetapi sebainya yang dianjurkan adalah Surah Al Kahfi.

Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a, dari Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Barang siapa membaca surat Al Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dan Baitul ‘atiq.” (Sunan Ad Darimi, no. 3273. Juga diriwayatkan oleh An Nasai dan Al Hakim serta disahihkan oleh Al Albani dalam Shahih At Targhib wal Tarhib, no. 736)

Kak Zai pula kelihatan masih lagi kaku. Wajahnya terus memandang ke arah dapur sedangkan perempuan yang merangkak tadi tetap bergerak dan semakin lama semakin dekat dengan Kak Zai. Sepertinya Kak Zai sudah terpukau atau telah dirasuk oleh syaitan-syaitan.

Akhirnya perempuan itu betul-betul berhenti di hadapan Kak Zai. Saya tidak dapat memerhatikan apa yang dilakukan oleh perempuan tersebut kepada Kak Zai.

Cuma dari pandangan yang tidak jelas, nampak juga sedikit sebanyak bentuk wajahnya.

 

Berhadapan dengan perempuan yang berkepala hancur

Mukanya pucat kebiruan. Tetapi kepalanya seperti telah hancur. Matanya sudah tidak ada di sebelah kanan sedangkan di sebelah kiri bola matanya terjatuh hingga ke paras dagu dan bergerak ke kiri dan ke kanan ketika perempuan itu berjalan menuju ke arah Kak Zai tadi.

Cuma urat-urat kecil berwarna biru dan merah yang menahan agar mata tersebut tidak terjatuh.

Rahang di bahagian atas perempuan itu pula sepertinya sudah tercabut dan beralih ke atas bahagian telinga. Sukar untuk saya lihat bagaimana wajah sebenarnya. Sebelah tangannya hancur dan kedua belah kakinya telah terputus.

Selepas itu perempuan itu bergerak merangkak ke arah kaki Zairi. Lalu memandang Zairi dengan wajah kemarahan dan dendam.

“Rasakanlah apa yang telah kami rasakan dahulu. Hahaha..”

Perempuan itu kemudiannya bertukar perlahan-lahan kembali menjadi kabus berwarna kelabu lalu hilang di dalam samar-samar kegelapan.

“Cikgu, perempuan tu dah hilang. Dia seperti tidak melihat kita. Siapa tu cikgu?”

“Saya pun tak tahu. Tapi mungkin perempuan inilah yang merasuk Zairi. Syukur Alhamdulillah Allah melindungi kita.”

Tidak lama kemudian elektrik kembali bernyala. Suasana kembali terang seperti biasa.

“Cikgu..Cikgu..Bangun.”

Saya terdengar seperti suara seseorang memanggil nama saya. Lalu saya membuka mata saya sambil menggosok-gosokkan kedua belah mata saya. Ternyata saya tertidur. Bila masa saya tertidur pun saya tidak tahu.

Kemudian saya memandang ke arah sekeliling. Tetamu kembali ramai dan meriah seperti mula-mula tadi. Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Tetamu yang hadir cuma ketawa kecil dan tersenyum melihat tingkah laku saya.

“Cikgu tertidur tadi. Kami tak sampai hati nak kejutkan cikgu. Tetapi apabila dengkur cikgu semakin kuat jadi saya terpaksa kejutkan cikgu jugak.”

Jelas bapa saudara Kamil kepada saya sambil tersenyum.

“Minta maaflah bang. Saya pun tak perasan apa yang berlaku. Mungkin terlalu penat jadi saya tertidur.”

“Tak apalah cikgu. Kalau cikgu nak teruskan tidur cikgu dulu. Kami boleh tunggu.”

“Tak. Tak apalah. Saya minta maaf. Mana Si Zairi tadi?”

“Ada tu cikgu. Masih terbaring lagi.”

Saya memandang ke arah Zairi yang terbaring. Buat masa sekarang Zairi cuma terbaring lesu tanpa ditahan oleh sesiapa. Cuma Kak Zai yang masih duduk di sebelah Zairi sambil mengelap air matanya.

Apa yang berlaku pada saya tadi saya juga tidak tahu kenapa. Semuanya mungkin petunjuk dari Allah. Bagaimana kesemuanya ini berlaku saya serahkan kepada Allah sahaja. Biarlah menjadi rahsia untuk diri saya selamanya.

Selepas itu saya mula duduk di sebelah Zairi. Saya perhatikan wajah Zairi. Wajahnya tenang seperti orang yang sedang tidur tetapi nafasnya naik turun naik turun seperti orang yang kepenatan berlari.

Saya mulakan dengan membaca Taawwudz dan Basmalah. Kemudian diikuti dengan Surah Al-Fatihah, lima ayat pertama dan dua ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah. Disusuli dengan Surah Kursi yang dibaca berulang-ulang kali.

Dengan tidak semena-mena Zairipun menjerit tetapi suaranya bertukar menjadi suara seorang perempuan tua.

 

Berdialog dengan Jin

“Hahaha..Kenapa kamu mengganggu aku? Apakah kamu tidak tahu aku siapa?”

“Kamu hamba Allah. Sama seperti aku. Cuma kamu memilih untuk menzalimi manusia atas alasan yang bodoh.”

“Kamu katakan sebagai alasan yang bodoh? Kamu tahu tidak apa yang mereka lakukan suatu ketika dulu kepada aku?”

“Apa yang mereka lakukan?”

“Suatu ketika dahulu ketika aku bersama anak aku melintas jalan, mereka telah melanggar aku. Aku tercampak ke tepi. Wajahku hancur. Tanganku hancur dan kedua kakiku terputus. Sedangkan anak aku meninggal dunia akibat dari perlanggaran kuat tersebut. Selepas itu anak aku mati di dalam dakapan aku.”

“Sedangkan orang yang melanggar itu berlalu begitu sahaja tanpa meminta maaf dariku. Aku berusaha mencari orang tersebut dah akhirnya aku bersua lagi dengannya. Aku menanti dengan sabar. Setiap malam aku akan menanti di Jalan Nyabau ini untuk mencarinya. Akhirnya dia datang menyerah diri. Dia kembali melalui jalan ini. Aku kenal benar dengan sosok dirinya itu.”

“Selepas itu aku mengekorinya. Dia pergi ke suatu tempat. Aku mengikuti sahaja di mana dia pergi. Hinggalah ketika dia ingin kembali pulang ke rumahnya. Aku tetap mengekorinya sehingga dia kembali menyusuri jalan ini. Ketika dia melintasi betul-betul berhampiran dengan tempat aku dan anak aku dilanggar olehnya suatu ketika dahulu, lalu aku rasuki dirinya. Dia tidak sedar. Tangan aku tahan dan kakinya juga begitu. Sehinggakan dia terus menekan minyak keretanya.”

“Dan akhirnya keretanya tidak dapat dikawal. Sedangkan akal fikirannya telah aku kuasai agar dia tidak tahu apa yang berlaku. Hinggalah pada suatu tempat keretanya membelok ke arah kiri dan terjunam ke bawah dan lalu dia pengsan. Aku masih tidak berpuas hati. Ketika dia dibawa ke hospital dan dirawat, aku masih lagi merasuk jiwanya. Akhirnya setelah dia sembuh sekalipun fikirannya masih juga aku kuasai dan aku selalu merasuk dirinya. Akhirnya dia menjadi gila. Hahaha..”

“Tetapi keluarga membawanya berubat dengan kamu dan kawan-kawan kamu. Kamu semua mengajarkannya untuk solat dan membaca al-Quran. Juga membaca zikir untuk perlindungan diri. Kami kepanasan ketika itu. Ada juga kawan aku yang mati terbakar disebabkan oleh kawan-kawan kamu terus menerus membaca al-Quran pada ketika kawan-kawan aku cuba untuk bertahan. Akhirnya kami keluar dari badannya dan dia sembuh.”

 

Dendam

“Tetapi dendam aku belum berakhir lagi. Kami mula mengganggu manusia-manusia yang lalai yang menggunakan jalan ini. Ramai yang telah menjadi mangsa kami. Begitu juga dengan lelaki ini. Hahaha..Dan selepas ini akan ada yang yang menjadi mangsa kami, iaitu penunggu Jalan Nyabau. Hahaha..”

“Apa yang kamu katakan seolah-olah kamu adalah seorang manusia. Tetapi aku tahu kamu adalah syaitan sebenarnya.

“Memang. Kami bukan manusia. Kami adalah golongan jin yang tinggal di sebelah hutan di Jalan Nyabau ini.”

“Kalau begitu itu bukan salah manusia. Itu salah kamu. Dan kerana kebodohan kamu, kamu jadikan manusia sebagai mangsa kejahatan kamu.”

“Kenapa kamu berkata demikian? Tidak cukupkan kezaliman yang dilakukan oleh lelaki yang melanggar aku dulu? Meninggalkan aku dalam keadaan hancur dan menyebabkan kematian pada anakku? Apakah itu masih tidak cukup? Apakah kejadian ini bersifat kemanusiaan pada pandangan kamu? Patutlah ramai manusia yang menjadi mangsa kebodohan mereka sendiri.”

“Kalau begitu kamu lagi bodoh.”

“Kenapa kamu mengatakan sedemikian? Ini bukan kesalahan kami. Salahkah aku membalas kejahatan dengan kejahatan?

“Masalahnya kamu adalah golongan jin. Dalam bentuk asal kamu, kamu tidak nampak pada pandangan mata kasar kami.”

“Mustahil. Kita sama-sama makhluk yang berkongsi alam ini. Masakan itu juga kamu tidak tahu.”

“Wahai golongan jin. Kami tidak dapat melihat kamu dalam bentuk asal kamu. Itulah kenyataannya. Golongan kamu juga adalah termasuk makhluk Allah yang diciptakan untuk beribadah. Sama seperti manusia. Rasulullah diutuskan untuk menyampaikan Islam kepada kaum kamu, juga kepada manusia. Makhluk seperti kamu banyak diceritakan di dalam Al-Quran dan juga hadis-hadis sahih.”

“Cuma saja, kaum kamu berada di alam yang tak dapat dijangkau oleh mata manusia walaupun kamu mampu untuk melihat kami. Namun dalam wujud asli kamu, kami kaum manusia tidak dapat melihat golongan kamu. Tetapi dengan izin Allah manusia boleh melihat kamu tetapi bukan dalam wujud aslinya, iaitu ketika bangsa kamu menjelma menjadi manusia atau haiwan.

Dalam suatu hadis Rasulullah menjelaskan;

“Ketika perang Badar syaitan datang kepada pasukan musyrikin dalam wujud seorang laki-laki bernama Suraqah bin Malik. Oleh kerana itu turunlah ayat:

“Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusiapun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan Sesungguhnya saya ini adalah pelindungmu”. (Surah Al Anfal: 48)

Tetapi saat itu, Allah Ta’ala turunkan malaikat untuk menolong pasukan mukminin, maka larilah syaitan berbentuk Suraqah bin Malik itu.

Tak ada seorang pun yang mampu melihat bangsa kamu dalam wujud aslinya kecuali para Nabi. Cuma selain Nabi, manusia mampu melihat bangsa jin ini ketika mereka menjelma menjadi manusia atau haiwan. Itupun dengan izin Allah. Firman Allah;

“Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. (Surah Al A’raf: 27)

“Janganlah kalian (langsung) membunuh ular (di dalam rumah), kecuali setiap ular yang terpotong (pendek) ekornya dan memiliki dua garis di punggungnya, karena ular jenis ini dapat menggugurkan kandungan dan membutakan mata. Maka bunuhlah ia.” (HR. Muslim No. 2233)

Dalam suatu hadis lain;

“Wajib bagi kalian (membunuh) anjing hitam legam (Al Aswad Al Bahim) yang memiliki dua titik, sebab itu adalah syetan.” (HR. Muslim No. 1572)

Berkata Imam An Nawawi Rahimahullah:

“Makna Al Bahim adalah hitam legam. Ada pun dua titik adalah difahami dua titik yang telah dikenal berwarna putih di atas dua matanya. Ini adalah kesaksian yang telah diketahui.” (Al Minhaj Syarh Shahih Muslim, 5/423)

“Tidak. Aku tidak percaya. Kamu pembohong.”

“Terserah kamu. Itu bukan urusan saya. Tetapi urusan kamu, kamu mesti keluar dari badan lelaki ini tanpa syarat.”

“Hahaha..Kalau aku tidak mahu keluar, jadi apa tindakan kamu.”

“Kalau kamu tidak keluar, aku berlepas diri dari kezaliman kamu dan Allah sendiri yang akan menyiksa kamu nanti.”

“Baiklah. Semoga Allah melaknat kamu hingga ke hari kiamat.”

“Hahaha..Melaknat aku? Hahaha..Hari Kiamat? Hahahahaha..”

 

Mukjizat al-Quran

Selepas itu saya mula membaca beberapa ayat al-Quran;

“Dan Kami turunkan dari al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al Israa: 82)

“Hai jamaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Kepada kamu, (jin dan manusia) dilepaskan nyala api dan cairan tembaga maka kamu tidak dapat menyelamatkan diri (daripadanya). Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Ar Rahman: 33-36)

“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. Dialah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al Hasyr: 21-22)

“Sudah..Sudah..Hentikan bacaan kamu. Aku akan keluar. Aku akan keluar. Aku berjanji.”

“Kejujuran itu ada pada diri kamu. Sekiranya kamu ikhlas bacaan al-Quran ini tidak akan menyakiti kamu. Bahkan menjadi petunjuk kepada kamu.”

“Baiklah..Baiklah..Aku sudah tidak tahan. Selepas ini aku akan keluar dan aku berjanji aku tidak akan mengganggunya lagi. Juga manusia-manusia lainnya. Cuma aku tidak dapat memberi jaminan.”

“Jaminan apa itu?”

“Jaminan bahawa bangsa-bangsa jin lain di sekitar jalan tersebut tidak akan mengganggu manusia lagi. Aku juga tidak kenal mereka. Tetapi mereka tinggal di perkampungan mereka sendiri di tepi hutan jalan itu. Saban hari mereka memerhatikan manusia yang melalui jalan tersebut. Bahkan mereka lebih ganas lagi dari kaum-kaum jin yang lain di sekitarnya.”

“Ya. Aku faham. Cuma aku minta selepas ini jangan kamu yang mengganggu. Yang lain biarkan saja. Cuma pesankan kepada mereka kalau-kalau ada saudara kami yang diganggu lagi seperti ini, maka tidak susah untuk mencari mereka dengan izin Allah. Satu lagi. Mereka bukan berhadapan dengan kami tetapi mereka berhadapan sendiri dengan Allah. Kami sudah berlepas tangan dengan masalah ini.”

“Baiklah..Baiklah. Keluarkan aku sekarang.”

“Kamu keluarlah sendiri. Bagaimana kamu masuk maka begitulah caranya kamu keluar.”

“Baik..Baik.aku masuk melalui hidungnya dan aku akan keluar melalui mulutnya.”

“Dengar. Aku akan bacakan Surah Kursi dan kamu akan keluar semasa Surah Kursi itu dibaca. Sekiranya kamu masih ada lagi di dalam badan lelaki ini, maka kamu akan kami bakar dengan ayat al-Quran.”

“Percayalah. Selepas ini aku dan seluruh penduduk kampung kami akan keluar dan tidak akan kembali lagi.”

“Kita lihat bagaimana nanti.”

Selepas itu saya minta Kak Zai untuk menyediakan baldi. Kemudian saya bacakan Surah Kursi berulang kali. Zairi yang terbaring pada ketika itu tiba-tiba muntah. Agak banyak juga.

Saya teruskan bacaan saya sehinggalah Zairi berhenti muntah dan sedar dengan sendirinya.

Saya kemudiannya memandang ke wajah Zairi. Matanya berkelip-kelip beberapa kali sambil memandang ke arah saya.

“Assalamualaikum. Siapa nama kamu?”

“Waalaikumsalam bang. Saya Zairi.”

“Apa perkara terakhir yang kamu ingat Zairi?”

Zairi memandang saya. Kemudian melemparkan pandangannya ke arah luar rumah.

“Perkara yang terakhir yang saya ingat adalah saya sedang memandu kereta bersama kawan saya. Sesampainya di Jalan Nyabau saya rasakan seperti ada sesuatu yang pelik. Saya melihat ramai orang yang keluar berpusu-pusu dan menunggu di tepi jalan. Pemandangan ini sangat pelik bagi saya. Saya cuba untuk bertanya kepada kawan saya tetapi mulut saya bagaikan terkunci.”

“Selepas itu saya teruskan perjalanan saya seperti biasa. Semasa memandu saya juga melihat sesuatu seperti pontianak yang berterbangan rendah di hutan tepi jalan. Banyak juga jumlah mereka. Mereka memandang saya dan saya juga memandang ke arah mereka. Saya tidak tahu kenapa saya tidak merasa takut ketika itu.”

“Kerana merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena, saya cuba untuk memandu dengan berhati-hati. Tetapi ntah kenapa saya tidak dapat mengawal keadaan. Badan yang kaku. Akhirnya ketika melalui jalan tersebut tiba-tiba seorang perempuan tua dan mungkin anak atau cucunya melintas jalan.”

“Mereka terus memandang saya dan sedikit pun mereka tidak mengelak atau menjerit. Oleh kerana jarak kereta saya sudah terlalu dekat dengan mereka, maka saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa melanggar mereka berdua.“

“Tetapi semasa kami melanggar perempuan tua dan anak tersebut, kami seperti melanggar sebuah batu yang besar. Dan kepala saya terhempap ke arah cermin kereta. Sebelum pengsan saya sempat untuk meminta tolong.”

“Tiba-tiba saya lihat perempuan yang kami lihat tadi berjalan ke arah kami sambil tersenyum wajahnya sangat menakutkan. Kepalanya pecah, rahang giginya beralih ke atas pipinya. Sebelah matanya hilang dan sebelah lagi bergantungan di pipi. Begitu juga dengan dengan tubuh badannya. Hancur remuk. Saya tidak dapat untuk berbuat apa-apa melainkan berserah diri sahaja.”

 

Kepulan asap

“Selepas itu saya lihat perempuan itu bertukar menjadi seperti kepulan asap. Saya batuk beberapa kali. Kepulan asap itu kemudiannya masuk melalui hidung saya dan selepas itu saya tidak tau apa yang berlaku hinggalah sekarang. Saya baru sedar setelah agak lama saya tertidur.”

“Sekarang kamu jawab apa yang cikgu tanya ok?”

“Baik cikgu.”

“Macamana perasaan kamu sekarang?”

“Rasa lapang cikgu.”

“Pandangan mata kamu?”

“Makin jelas rasanya.”

“Badan terasa berat atau ringan?”

“Semakin ringan.”

“Ada tak kamu rasa seperti seolah-olah terlepas dari sesuatu bebanan?”

“Ya cikgu. Saya rasa seperti terlepas dari bebanan.”

“Ok. Soalan terakhir. Ada tidak kamu rasa diperhatikan oleh seseorang sekarang?”

“Dah tak ada cikgu. Sebelum ni memang ada.”

“Alhamdulillahlah kalau begitu. Kemungkinan gangguan pada kamu telah hilang. Cuma pesan cikgu lain kali sebelum keluar rumah bacalah beberapa ayat al-Quran yang kamu hafal sebagai ikhtiar perlindungan diri dan berserah segalanya kepada Allah sebelum pergi ke mana-mana.”

“Baiklah cikgu.”

Kemudian saya memandang ke arah Kak Zai dan kedua orang bapa saudara Zairi.

“Kakak dan abang ada apa-apa soalan tidak?”

“Setakat ni tak ada cikgu. Nanti kalau ada apa-apa kakak akan hubungi cikgu.”

“Baiklah kalau begitu. Lepas ni saya nak minta izin balik ke rumah.”

“Baiklah cikgu. Terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah melindungi cikgu dari segala bahaya.”

“Amin. Terima kasih semua. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam cikgu..”

Selepas itu saya pun bersalam dengan kesemua penghuni rumah. Saya hidupkan enjin motosikal dan segera meninggalkan kawasan rumah mereka. Sepanjang perjalanan saya teringat kembali akan kes yang menimpa Zairi.

Memang sebelum ini ada beberapa orang yang dirasuki ketika melalui jalan tersebut. Saya juga pernah ditanya oleh seseorang;

“Ustaz, apa betul di kawasan Jalan Nyabau ini keras?

Saya jawab begini.

“Terserah bagaimana penilaian kamu serta iman kamu. Makhluk yang dinamakan jin ini memang tinggal bersama kita dan menghuni bumi yang sama. Cuma mereka tidak nampak. Bagi saya Jalan Nyabau ini sama sahaja dengan jalan-jalan yang lain. Tidak ada misteri sebenarnya. Cuma dengan iman yang lemah sahaja kita yakin yang golongan jin ini akan sentiasa mengganggu kita dan kita merasakan yang mereka berada di tempat-tempat yang tertentu.”

“Jadi ustaz, ustaz pernah atau tidak berhadapan dengan pengalaman yang pelik di sana?”

Saya cuma tersenyum.

 

Ustaz Malik

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami