SABAK BERNAM - Pertubuhan Suara Rakyat Prihatin Sabak Bernam (Perhati) menyediakan kira-kira 30 makanan percuma setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad kepada anak-anak bersekolah.

Pengerusinya, Mohd  Khairulnizam Mohamad Samsuri berkata, program minggu kedua itu dilaksanakan di Restoran Dapur Pak Tam, Taman Perdana, di sini.

Menurutnya, program pemberian makanan percuma  bermula dari jam 7 hingga 7.45 pagi itu memasuki hari kelapan  sejak pelancarannya, 8 April lalu.

“Kita masih belum mencapai  sasaran iaitu 30 murid sekolah dan saya jangka dengan adanya hebahan di media termasuk media  sosial hasrat ini dapat  direalisasikan.

“Malah, sepanjang perlaksanaan  program ini, jumlah mereka yang dapatkan makanan percuma  semakin meningkat,” katanya, di sini. 

Mohd Khairulnizam berkata,  tujuan program itu dilaksanakan bagi memudahkan  ibu bapa membekalkan  sarapan pagi kepada anakanak sebelum ke sekolah.

“Sesiapa saja boleh mendapatkan sarapan percuma  tanpa mengira latar belakang,  asalkan anak-anak ini dapat bersarapan pagi,” katanya.

Menurutnya, program itu secara tidak langsung meringankan kos dan  tanggungan perbelanjaan ibu bapa. 

“Kita menyediakan  makanan berharga antara RM2 hingga RM3 sehari  termasuk air mineral,” katanya. 

Katanya, pihaknya  dijangka meneruskan program pemberian  makanan percuma sehingga  Ramadan ini.

“Jika ada permintaan  terhadap program ini, kita akan meneruskan program  ini sehingga akhir tahun ini.

“Malah, kerajaan pada tahun  depan akan menggunakan hasil daripada cukai gula bagi menyediakan  sarapan percuma dan sihat kepada murid sekolah rendah,” katanya.