PADANG BESAR – Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak setahun yang lalu memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat termasuklah golongan mahasiswa apabila ada di antara mereka yang berdepan masalah kewangan apabila pendapatan keluarga turut terjejas.

Selain itu, mahasiswa turut berdepan kesulitan apabila mengikuti kuliah secara atas talian sekali gus menyebabkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi antara universiti yang mengambil pendekatan membenarkan mahasiswanya pulang ke kampus.

Memahami kesulitan dihadapi mahasiswa yang terkesan dengan pandemik Covid-19 itu, Majlis Penghuni Kolej Kediaman Uniciti Alam (MPKKUA) UniMAP menganjurkan misi Food Bank bagi meringankan beban mahasiswa di kolej kediaman berkenaan.

Yang Dipertua MPKKUA, Muhamad Syafiq Kasim berkata, Food Bank itu diadakan sebagai usaha memudahkan mahasiswa mendapatkan makanan dan mengurangkan pergerakan keluar dari kolej kediaman.

"Tambahan pula banyak kedai makan tidak beroperasi di kawasan kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menyebabkan pelajar sukar mendapatkan makanan.

"Pada semester lepas, lebih 500 orang pelajar pulang kolej kediaman secara berkala dan program seumpama ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakan-rakan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pengetua Kompleks Perumahan Uniciti Alam, Dr Wan Azani Mustafa (kiri) meluangkan masa mengagihkan makanan kepada pelajar.

Muhamad Syafiq berkata, MPKKUA membahagikan sumbangan bagi misi Food Bank itu kepada dua fasa dengan setiap fasa berlangsung selama tiga hari.

“Fasa satu dijalankan kepada pelajar diploma manakala fasa dua kepada pelajar ijazah dengan juadah seperti nasi berlauk, nasi lemak, mi goreng dan biskut antara makanan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengetua Kompleks Perumahan Uniciti Alam, Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim berkata, program berkenaan turut mendapat perhatian pensyarah dan kakitangan UniMAP yang menyumbang makanan dan wang tunai.

Ujarnya, misi itu akan diteruskan MPKKUA pada setiap semester untuk meminimumkan pergerakan keluar kampus dan bagi mendidik para pelajar berjimat serta membantu mereka yang memerlukan.

“Sesungguhnya, saat kita memberi pasti kita kehilangan sesuatu, namun disebalik itu, sesuatu yang lebih besar menunggu kita suatu hari nanti,” katanya.

Artikel menarik

Kakak tidak pernah makan chicken chop, saya nak bagi dia rasa. Boleh cikgu? Mulianya hati murid ini

'Iman satu-satunya anak perempuan saya' - Ibu sebak anak dapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh