PADANG BESAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah wujud keperluan menyediakan guru terlatih bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal insan cemerlang di peringkat global.

Baginda bertitah keperluan itu amat penting bagi melahirkan pelajar berprestasi tinggi yang mampu meneruskan pengajian di 10 universiti terkemuka dunia.

"Dengan penguasaan Bahasa Inggeris, mereka boleh menjadi pakar rujuk serta menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa asing.

"Bukan itu sahaja, bahkan mereka boleh menjadi ahli sains bertaraf ‘Nobel Laureate’ serta usahawan di peringkat global yang dapat membina negara bangsa," titah baginda ketika berangkat merasmikan program Titian Kasih Mega di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri di sini hari ini. - Bernama