Norma baharu mendorong sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan demi memastikan pelajar tidak tercicir dan dapat mengikuti serta menghabiskan silibus sesuatu mata pelajaran.

Kekangan yang biasa didengari pastinya dari segi kekurangan peranti untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian ini terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Menyedari kepentingan itu, Ahli Parlimen Kangar, Perlis, Noor Amin Ahmad mengambil inisiatif melaksanakan kempen mengumpul dana RM500,000 bagi menyediakan sekurang-kurangnya 500 peranti yang boleh digunakan pelajar khususnya di Parlimen Kangar.

Tambah beliau, sebagai ahli Parlimen Kangar, isu pelajar tercicir sentiasa menjadi perhatiannya kerana mereka adalah pelapis pemimpin negara pada masa hadapan.

“Sekiranya mereka (pelajar) tidak mendapat pendidikan yang baik, apatah lagi tercicir daripada pendidikan, negara kita akan berdepan dengan masalah yang lebih besar dan meluas pada masa akan datang.

“Bagi permulaan ini, saya telah mendapat 100 sokongan (pledge) bantuan daripada kenalan lama termasuk sumbangan peribadi,” katanya.

Menurut Noor Amin, kempen tersebut akan berlangsung selama dua bulan bermula semalam hingga 31 Mac depan.

“Saya berharap orang ramai dapat membantu, malah penerima dan penjaga pelajar akan diwajibkan mengikuti kursus asas penggunaan serta penjagaan peranti yang akan dibuat oleh Pusat Khidmat kami.

“Setinggi penghargaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah sudi membantu persediaan kempen ini, berikrar memberikan sokongan, telah dan akan menyumbang kepada kempen ini.

“Semoga segala bentuk sumbangan ini akan membantu mencapai objektif memastikan pelajar terpilih tidak ketinggalan dalam pendidikan dan menjadi bahagian amal kepada semua yang terlibat,” katanya.

Bagi pelajar yang ingin memohon bantuan tersebut, boleh terus ke pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kangar atau mengisi borang di atas talian melalui capaian https://forms.gle/b1noPFwkyTzwNFp78.

Di samping itu, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kangar turut menyediakan khidmat capaian wifi percuma sekiranya pelajar-pelajar mempunyai keperluan untuk memuat turun bahan-bahan pengajaran atas talian. Untuk perkhidmatan ini, pelajar-pelajar boleh berhubung dengan Pusat Khidmat.

 

Penyerahan sumbangan boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah ini:

1) Sumbangan wang untuk membeli peranti baru (Anda Derma – Kami Beli)

Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kangar

Bank Muamalat (09010003101719)

2) Bagi yang ingin menyumbang melalui pembayaran kad kredit atau PayPal, ia boleh disalurkan melalui capaian berikut: https://www.hanafundme.com/product/help-500-students-in-perlis-own-a-learning-device/

3) Sumbangan peranti baru atau terpakai terus kepada kami (Anda Beli – Kami Serah)

Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kangar

Alamat: 25, Jalan Sena Indah, Taman Sena Indah, 01000 Kangar, Perlis

Nombor Telefon: 04-9762018

4) Sumbangan peranti terpakai yang boleh dibaiki atau ditambah baik spesifikasinya boleh terus diberikan kepada kami.