Rancangan sarapan sekolah yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan merupakan sekim makanan bantuan kerajaan yang disediakan secara percuma untuk semua murid sekolah. Matlamat sekim sarapan tengahari adalah demi mengelakkan kelaparan, membaiki taraf pemakanan murid, meningkatkan kerjasama dan kemesraan antara murid, meningkatkan kehadiran di sekolah dan meningkatkan prestasi murid dari segi minda dan jasmani.

Jelas bahawa peningkatan taraf pemakanan murid memberi kesan positif kepada pembelajaran mereka. Manakala makan bersama di mana semua orang dihidangkan makanan yang serupa dapat menimbulkan rasa persamaan, persaudaraan dan kerjasama antara mereka.

Pendekatan Serampang Tiga Mata

Perlu ditegaskan juga bahawa Rancangan Makan Tengahari di sekolah merupakan pendekatan serampang tiga mata yang dapat mengatasi masalah kesihatan akibat salah pemakanan.

Rancangan demikian sekaligus dapat memastikan:

  1. Jaminan makanan
  2. Keselamatan makanan
  3. Peningkatan taraf pemakanan kanak-kanak
  4. Pembasmian masalah kekurangan zat makanan, seperti tumbesaran terbantut (stunting), dan juga penyakit akibat makanan berlebihan, yang lebih dari keperluan dietari tubuh kita, seperti diabetes dan gemuk badan berlebihan (obesiti)
  5. Peningkatan kemampuan jasmani serta minda
  6. Pemupukan semangat persamaan, persaudaraan serta kerjasama.

Pendidikan pemakanan bagi murid sekolah menekankan ajaran tentang kesihatan dan pemakanan yang menyeluruh. Guru dilatih untuk menggunakan modul pendidikan pemakanan dan kesihatan untuk kempen makan dan hidup sihat.

Dasar Lingkungan Sokong Makanan Sihat di Sekolah mengikut modul Kementerian Kesihatan cuba memastikan hanya makanan sihat dihidangkan di sekolah. Hidangan sarapan sekolah berubah setiap hari dalam dua atau empat minggu, sedangkan kantin swasta hanya dibenarkan menghidangkan makanan sihat.

Pelaksanaan Sekim

Terdapat tiga pendekatan melaksanakan rancangan sarapan sekolah:

  •  Pendekatan sejagat – yang mana semua murid sekolah diberi sarapan percuma di semua sekolah tanpa sebarang syarat.
  •  Pendekatan individu – hanya beberapa murid yang dianggap layak menerima sarapan percuma, seperti anak keluarga miskin tegar, mereka yang mengalami kekurangan zat makanan seperti terbantut, kurang berat badan serius, malpemakanan (malnutrition) dan kelaparan kanak-kanak, golongan kurang upaya.

Pendekatan kawasan – pendekatan cara ini memilih kawasan di mana sebilangan besar penduduk dikira layak disediakan sarapan percuma. Ia boleh dipilih berdasarkan, misalnya, kawasan miskin di luar bandar, kawasan miskin dalam bandar, kawasan komuniti Orang Asal dan Orang Asli, kawasan pasca-bencana, kawasan orang pelarian, dsb.

Pengalaman di Jepun dan masyarakat lain menunjukkan bahawa hanya pendekatan sejagat dapat mencapai kesemua matlamat rancangan yang disenaraikan tadi.

Sebagai ekonomi yang dikatakan hampir maju dan sesuai juga dengan hasrat Wawasan 2020, Malaysia bukan hanya mampu tetapi juga wajib melaksanakan pendekatan sejagat, walaupun secara berperingkat mulai dengan pendekatan kawasan.

Pendekatan individu didapati mengkambinghitamkan murid yang mendapat dan mengasingkan mereka daripada mereka yang tidak layak, yang sudah pasti akan membawa perpecahan di kalangan orang ramai.

Program hidangan berkhasiat di sekolah (HiTS)

Semua menu hidangan HiTS dirancang oleh ahli pemakanan demi memenuhi keperluan micronutrient (vitamin dan mineral) dan 25-30% dari keperluan macronutrient (seperti karbohidrat dan protin) mereka. Maka, program HiTS menyediakan makanan berzat yang memenuhi keperluan dietari kanak-kanak di samping menanam pengetahuan dan tabiat makan yang sihat.

Kajian keberkesanan mendapati kanak-kanak yang mengikuti program HiTS mengalami pengurangan indeks jisim tubuh (BMI) secara signifikan berbanding kumpulan kawalan walaupun didapati mereka juga makan lebih di rumah. Kumpulan HiTs juga meningkatkan pencapaian kognitif dengan signifikan dibanding kumpulan kawalan, barangkali kerana makan lebih banyak dan sihat.

Program percubaan Kementerian Kesihatan di negeri Johor, negeri kos makanan yang lebih mahal kerana merupakan jiran Singapura, lebih murah dibanding dengan skim sarapan sekolah sedia ada yang dibiayai Kementerian Pendidikan. Keberkesanannya mungkin lebih baik oleh kerana melibatkan ibu-bapa dalam pengendaliannya.

Penjana Ekonomi Pertanian Baru

Memandangkan sekim sarapan sekolah dapat merupakan satu sekim yang kekal dalam persekolahan harian, maka bekalan makanan untuk sarapan itu perlulah wujud secara berterusan setiap hari.

Pertanian makanan di Malaysia sepatutnya merupakan sumber makanan utama bagi rancangan ini. Dengan demikian, sekim ini dapat meningkatkan pendapatan para petani yang membekalkan bahan makan yang berkhasiat, bersih lagi sihat seperti sayur-sayuran serta buah-buahan.

Maka, ini merupakan peluang amat baik untuk menghidupkan kembali pertanian makanan para petani dengan menyediakan bahan makan untuk penyediaan sarapan sekolah .

Di samping itu, kalau disusun dengan baik, pertumbuhan sekim ini dapat menghidupkan semula peranan koperasi serta persatuan petani, untuk membekalkan bahan makanan kepada sekolah dan bahan pertanian untuk petani, dan sekaligus meningkatkan pendapatan para petani.

Dr Wan Manan Muda, mantan profesor kesihatan umum dan pemakanan di USM, dan Dr Jomo KS, penasihat kanan di KRI, antara pengarang kajian Addressing Malnutrition in Malaysia yang dapat diperolehi dari lamanweb Khazanah Research Institute: www.krinstitute.org