MARANG - "Saya tak pernah sangka dapat semua A hari ini... bagaikan mimpi!" itulah luahan Muhammad Amirul Ekhsan Mohd Zaidi, calon SPM 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling berjaya memperoleh keseluruhan 11A dalam keputusan SPM 2018 yang diumumkan hari ini.

Muhammad Amirul Ekhsan yang juga anak kedua daripada lima beradik amat bersyukur ke hadrat Illahi ketika ditemui di sekolahnya mengalirkan air mata kerana tidak percaya usahanya selama ini memberi kejayaan manis buatnya.

"Tak ada amalan khusus, saya sentiasa fokus semasa guru mengajar.. dan belajar berkumpulan ketika di luar waktu kelas. Saya juga sentiasa bertukar-tukar idea dengan rakan dan sentiasa berkongsi ilmu dengan mereka.

Muhammad Amirul Ekhsan bersama pengetua, Salleh AB Bakar.

 

"Solat awal waktu dan sentiasa berdoa juga menjadi amalan harian saya," ujarnya.

Katanya lagi dia amat berterima kasih kepada semua guru terutamanya guru mata pelajaran Matematik Tambahan, Asha Azlina Abdul Halim yang banyak menyokong.

"Jasa semua guru terlalu banyak kepada saya, Cikgu Asha Azlina pernah memberikan saya cermin mata baharu tahun lalu. Terima kasih cikgu!" ujarnya.

Muhammad Amirul Ekhsan mendapat 6A+, 3A dan 2 A-. Dia juga pernah mendapat 11 A dalam PT3 pada 2016 yang lalu.

Ibunya, Zunita Museh, 40, berkata, anaknya itu gemar menelaah pelajaran di rumah dan sikap positif itu mula ditunjukkan Muhammad Amirul Ekhsan ketika di sekolah rendah lagi dan di kelas pula anaknya itu sering memberikan tumpuan penuh.

“Alhamdulillah, usaha anak saya selama ini tidak sia-sia setelah dia mendapat keputusan 11A," katanya.

Muhammad Amirul Ekhsan adalah antara 13 pelajar yang rangkul 11A di sekolah itu.

Tahniah Muhammad Amirul Ekhsan!

Muhammad Amirul Ekhsan ketika mengambil slip peperiksaan di sekolahnya.

Muhammad Amirul Ekhsan bergambar bersama rakan dan guru.