KOTA KINABALU - Disebalik cabaran memastikan kelancaran sesi pembelajaran dalam talian terutama bagi pelajar di luar bandar dan pedalaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru-guru Sabah turut memanfaatkan tempoh ini untuk meningkatkan lagi kemahiran kependidikan.

Proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian berikutan sesi persekolahan ditutup sementara susulan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lepas menuntut guru lebih kreatif, inovatif dan proaktif, kata Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin kepada Bernama.

Beliau berkata melalui laporan harian dihantar guru di kumpulan Telegram warga pendidik Sabah,menunjukkan hasil bahan pembelajaran turut dapat mencungkil bakat serta kreativiti pelajar.

Melihat perkembangan positif itu, Mistirine berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil inisiatif mengadakan pertandingan dalam talian bagi menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti aktiviti berkenaan seterusnya melengkapkan penilaian aspek kokurikulum mereka.

"Inisiatif ini bertujuan memperkasa pembangunan diri pelajar selain membentuk mereka menjadi lebih aktif, kreatif dan berinovasi serta mempunyai sosial sihat walaupun ketika waktu PKP,” katanya sambil memaklumkan pertandingan dalam talian itu berstatus pencapaian peringkat negeri.

Mistirine berkata antara kategori dipertandingkan meliputi aspek memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris seperti nyanyian, bersajak serta berpantun; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik; serta mereka cipta poster grafik bagi program pencegahan dadah.

Beliau berkata penyertaan dibuka mulai 20 April lepas dan pelajar diberi tempoh sebulan untuk menghantar hasil kreativiti mereka secara dalam talian menerusi pautan https://bit.ly/e-BAKAT2020 sebelum atau pada 20 Mei, dan setiap pelajar yang menyertainya akan diberikan sijil.

Bagi pelajar yang tidak mempunyai akses Internet, mereka boleh menghantar penyertaan dalam bentuk rakaman dan dikirimkan kepada JPN Sabah untuk proses penilaian serta pemarkahan, katanya.

"Ini adalah alternatif memandangkan penganjuran pertandingan yang memerlukan pelajar membuat persembahan di pentas tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh sekarang,” katanya.

Selain pertandingan dalam talian, Mistirine berkata, para pelajar juga digalakkan untuk mengikuti kokurikulum lain seperti sukan dan unit beruniform, yang aktiviti berkaitan boleh dipersembahkan menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek.

"Bukan hanya memberi perhatian dalam keupayaan akademik, guru-guru di Sabah turut berusaha memberi tumpuan terhadap aspek kokurikulum kerana kedua-dua elemen ini penting dalam melahirkan pelajar seimbang, holistik dan menyeluruh,” jelasnya. - Bernama

Artikel berkaitan:

Pembukaan semula sekolah dinilai dalam tempoh empat minggu ini

Di mana ada cabaran, distulah ruang untuk bina perubahan

'Belajar dalam 'new norm'. Berkesankah?' - Guru risau murid 'batch' Covid-19

LMS sebagai pelantar norma baharu pendidikan rendah dan menengah

JAIS guna kaedah penilaian dan pentaksiran berasaskan sekolah ganti peperiksaan batal