SEJONG (Korea Selatan) - Kementerian Pendidikan Korea Selatan pada Ahad berkata peruntukan pendidikan bahasa Korea di luar negara tahun ini meningkat dua kali ganda di tengah peningkatan permintaannya sebagai bahasa kedua, berikutan populariti global K- pop dan budaya Korea yang lain, lapor Yonhap.

Pada 2021 kementerian dijangka membelanjakan 23.6 bilion won (US$20.8 juta) untuk membantu memperluas pembukaan kelas bahasa Korea di luar negara.

Peruntukkan itu hampir dua kali ganda berbanding jumlah ditetapkan tahun sebelumnya.

Kementerian menyasarkan membuka kelas bahasa Korea di 1,800 sekolah di 43 negara.

Bajet tersebut akan diperuntukkan terutamanya di negara yang mempunyai permintaan tinggi seperti di Jordan, Belgium, Ecuador, Laos dan Kemboja.

Di samping itu, kementerian turut merancang membuka kursus latihan untuk calon guru bahasa Korea di 14 negara di Asia Tenggara dan Asia Tengah, termasuk Vietnam, Malaysia, Indonesia, Rusia dan Kyrgyzstan.

Kementerian juga akan meningkatkan penghantaran guru Korea ke luar negara kepada 132 orang ke rantau tersebut - BERNAMA

Artikel menarik

8 aktiviti ringkas cara Cikgu Herryan Syah, kelas pasti ceria

Yayasan UMP terima infak 32,000 naskah buku bernilai RM200,000