KEPALA BATAS - Seorang pesara guru kerugian RM72,500 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan dadah dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 60-an itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada sebuah bank mendakwa pesara guru tersebut mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.

"Pesara guru itu menafikan dia mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebelum panggilan telefon tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis di Negeri Sembilan," katanya di sini semalam.

Katanya wanita warga emas itu kemudiannya dimaklumkan ‘pegawai polis’ itu hasil semakan kad pengenalan mangsa, beliau terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, lelaki itu meminta mangsa memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang kononnya milik pegawai mahkamah untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai.

Noorzainy berkata pesara guru itu yang ketakutan telah memindahkan semua wangnya secara berperingkat ke beberapa akaun diberikan sindiket tersebut membabitkan nilai RM72,500 dalam tempoh dua hari.

Katanya mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ itu dan kemudian menceritakan perkara tersebut kepada anak perempuannya sebelum mereka membuat laporan polis berhubung perkara itu semalam.

Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik semua akaun yang digunakan sindiket itu untuk siasatan lanjut.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. - Bernama

Artikel manarik:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

Cikgu Rosle kongsi 10 tajuk ramalan Sejarah SPM bagi tingkatan empat. Dah boleh hafal sekarang!

Murid Tahap Satu masih belum kuasai Matematik? Guru subjek ini kongsi tip untuk ibu ayah ikut