Seramai 40 daripada 150 peserta Kem Jati Diri diserang histeria ketika mengikuti program di Bukit Setiam.

Kejadian yang berlaku pada waktu malam itu cukup menyeramkan dan menakutkan peserta yang lain.

Kai dan fasilitator yang lain cuba mendapatkan bantuan Ustaz Malik.

Ustaz Malik yang merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di sebuah sekolah, bersedia hulur bantuan bersama kawan-kawannya.

Ikuti pengalaman histeria yang selanjutkan seperti diceritakan Ustaz Malik melalui facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami.

 

 

**********

 

 

PENGHUNI BUKIT SETIAM

Pada suatu hari, semasa kami sedang membuat rawatan di pusat rawatan kami di Bangunan Martabat, kami telah didatangi oleh beberapa orang lelaki.

Dari penampilan mereka saya yakin mereka dari sebuah syarikat ‘consultant’ yang mungkin tengah mengendalikan kursus atau kem motivasi atau program-program seperti itu.

Saya tidak kenal siapakah mereka tetapi salah seorang lelaki yang bersama mereka adalah kawan lama saya yang selalu bersama saya mengikuti aktiviti-aktiviti Program Rakan Muda anjuran Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Bintulu sekitar tahun 1994 hingga 1997.

Kawan saya lantas memberi salam dan menghulurkan tangannya. Juga diikuti oleh beberapa orang rakannya yang saya lihat lebih tua daripadanya.

“Assalamualaikum Malik. Lama tak berjumpa. Apa khabar?”

“Alhamdulillah. Aku sihat. Kau pulak macamana Kai?”

“Aku Alhamdulillah. Semakin gendut. Hahaha..”

“Masih join program Jabatan Belia dan Sukan Bintulu lagi ke Kai?”

“Tak adalah. Sekarang aku bekerja dengan consultant diorang ni. Sebagai penceramah program.”

“Owh..Ada apa yang boleh aku tolong tak Kai? Aku tengok korang macam ada masalah je.”

“Macam ni Malik. Aku nak mintak tolong korang. Ada masalah sikit kat tempat kami buat program sekarang.”

“Masalah apa? Korang buat program kat mana Kai?”

“Bukit Setiam. Ada program Kem Jati Diri.”

“Jadi, apa masalahnya?”

Kai terdiam lalu memandang ke arah rakan-rakannya. Menurut Kai mereka sedang mengadakan Kem Jati Diri. Program tiga hari dua malam. Kebetulan pada malam tersebut adalah malam yang terakhir untuk program mereka.

Menurut Kai juga lebih kurang 30 orang peserta telah diganggu dan dirasuk oleh penunggu Bukit Setiam. Kesemuanya perempuan. Jadi mereka meminta kami untuk membantu mereka dalam menyelesaikan masalah ini.

“Kenapa tidak dibawa ke sini saja mereka Kai? Senang untuk kita bantu sekaligus.”

“Itulah masalahnya Malik. Kebanyakan mereka telah lari masuk ke dalam hutan. Macam mana nak cari. Suara mereka jelas terdengar di tapak perkhemahan peserta. Ada yang dapat kami cari dan kami bawa ke tapak perkhemahan. Tetapi ada lagi yang masih berada di hutan.”

 

Peserta Kem Jati Diri di serang histeria dan mula lari ke dalam hutan. (Gambar Sekadar Hiasan)

“Kamu jangan macam-macam Kai. Sekarang ni dah pukul 10 malam. Mana nak cari mereka malam-malam macam ni. Tak ada ke pasukan keselamatan bersama kamu?”

“Tak ada Malik. Kami-kami je. Urusetia, fasilitator dan penceramah cuma berjumlah 20 orang sahaja. Termasuk AJK Pertolongan Cemas. Sedangkan kesemua peserta seramai 150 orang.”

“Jap Kai. Aku bincang dengan kawan dulu.”

Selepas itu saya memanggil kawan-kawan saya untuk berkumpul dan berbincang dengan kawan-kawan saya berkenaan permasalahan ini.

Setelah lebih kurang dalam lima minit kemudian saya kembali menemui Kai yang sedang menunggu di luar bilik Pusat Rawatan kami.

“Baiklah Kai. Alhamdulillah. Aku dan kawan-kawan aku akan ikut korang pergi ke Bukit Setiam. Semoga Allah memudahkan urusan kita membantu mereka nanti.”

“Terima kasih Malik. Apa boleh kita bergerak sekarang?”

“Macam ni Kai. Kau balik dulu dengan kawan-kawan kau. Selepas kami selesai merawat pesakit di sini kami akan terus pergi ke Bukit Setiam. Nanti kau tunggu di tapak perkhemahan atau tapak program korang. Insya-Allah nanti kami akan menyusul dan kita berjumpa saja di sana nanti.”

“Baiklah Malik. Kami balik dulu. Terima kasih banyak-banyak. Assalamualaikum.”

“Waalaikum salam.”

 

Meneruskan Rawatan

Selepas itu kami meneruskan rawatan seperti biasa. Oleh kerana ramai pesakit yang telah mendapatkan rawatan sebelum itu, jadi tinggal kami merawat seorang dua sahaja lagi pesakit yang memerlukan rawatan susulan sebelum kami berangkat pergi ke Bukit Setiam.

Suatu ketika dulu saya pernah mengikuti program anjuran Briget Muda Wawasan dan Wira 1 Bintulu di bawah Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.

Banyak juga program sosial dan kemasyarakatan yang kami anjur atau ikut bersama. Juga pelbagai Program Rakan Muda anjuran Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Bintulu. Cuma semua itu tinggal kenangan sahaja.

Lebih kurang setengah jam kemudian saya dan kawan-kawan seramai lapan orang mula berangkat menuju ke Bukit Setiam.

Perjalanan ke simpang Bukit Setiam mengambil masa lebih kurang 30 minit hingga 40 minit. Tertakluk kepada keadaan jalan dan kabus. Kalau hari hujan pasti akan mengambil lebih masa untuk sampai ke sana.

Kemudian dari simpang akan masuk ke dalam dan terpaksa melalui jalan yang sempit, bengkang bengkok dan juga naik turun bukit.

Kami bergerak dengan menaiki sebuah van besar yang boleh menampung seramai 12 orang penumpang. Kebetulan ketika itu kami cuma lapan orang sahaja.

Sebelum perjalanan bermula, kami berdoa bersama-sama dan bertawakal kepada Allah serta menyerah segalanya kepada Allah.

Dan selepas itu kami mulakan perjalanan kami dengan lafaz;

“Bismillahi tawakkal ‘alallah. Laa haula wa laa quwwata illah billah..”

Selepas itu kereta kami bergerak membelah kabus malam. Sepanjang perjalanan tiada apa-apa yang menarik. Sesekali kami dihiburkan dengan rancangan radio pilihan saya sendiri iaitu Radio Klasik.

Selain itu juga saya suka mendengar lagu yang dimainkan oleh Radio Sinar FM dan THR Gegar.

Saya minat lagu-lagu 70an hingga 90an ini kerana saya membesar dengan lagu-lagu seperti ini. Apa pun juga tempo dan melodinya.

Kebetulan juga ketika itu kami dihidangkan dengan Lagu ‘Mengapa Kau Tak Pernah Jujur’ nyanyian Dian Piesesha.

Lagu ini adalah lagu kegemaran saya dan anak sulung saya, Zahra Aleesya suatu ketika dahulu sehinggakan kami kerap menyanyi bersama-sama lagu ini setelah selesai solat dan berdoa.

 

Mengapa kita saling menyiksa diri,

Sedangkan rinduku rindumu berpadu,

Mengapa kita berdua,

Tak pernah jujur mengakuinya,

Mengapa kita harus hidup tersiksa,

Sedangkan cintaku cintamu menyatu,

Jangan biarkan membara,

Api cemburu di dalam hidup ini..

 

Perjalanan pada malam itu tidak membosankan kerana kami masing-masing teruja untuk menempuhi suatu pengalaman baru. Mungkin sebelum ini kami belum lagi pernah mengalami pengalaman seperti ini.

Kalau setakat membantu merawat pesakit yang histeria dalam lingkungan 40 orang pada suatu masa mungkin kami pernah melaluinya beberapa kali.

Tetapi untuk merawat pesakit yang kerasukan di hutan sebuah bukit yang agak jauh ke dalam hutan serta pada gelap malam hari dan mempertaruhkan jiwa untuk berhadapan dengan sesuatu yang kami sendiri tidak tahu, mungkin ini kali yang pertama.

Sebab itulah tekanan ‘adrenalin’ di dalam diri membuatkan kami semakin bersemangat untuk sampai ke Bukit Setiam. Sedangkan kami sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.

Sepanjang awal perjalanan kami suasana masih lagi tenang. Setelah beberapa ketika, pada pertengahan perjalanan dingin angin mula menusuk. Kabus tipis pula mula menerawang rendah dan perlahan di atas jalan raya.

Entah kenapa perjalanan rasanya semakin jauh. Semakin lama rasanya semakin jauh. Kami yang pada mulanya bernyanyi dan bergurau sesama kami, sedikit demi sedikit mula menyepi. Sepertinya ada sesuatu yang mengganggu minda kami.

Masing-masing cuma untuk melayan perasaan masing-masing. Tetapi saya tahu. Setiap dari kami pasti menyimpan suatu perasaan risau dan gelisah.

Apatah lagi gelap malam yang mencengkam serta sinar cahaya yang ada di sebalik hutan-hutan yang kami lalui.

Seolah-olah memberi petanda kepada kami bahawa setiap detik yang berlalu, seakan-akan ada mata yang memandang kami tanpa kerdipan.

“Kawan-kawan. Apa kata kita patah balik. Aku rasa tak sedap hati sekarang.”

“Kau nak balik mana?”

“Kita patah balik. Lepas tu balik rumah. Lepas tu tidur.”

“Aii..Malik. Kenapa pulak tiba-tiba nak balik? Kau takut ke?”

“Nak kata berani aku ni memang takut. Tapi nak kata takut tu memanglah aku ni penakut.”

“Hahaha..Sudah-sudahlah tu Malik. Malu nanti kalau orang tau kau ni penakut. Hahaha..”

“Baiklah-baiklah. Tapi jangan bagitau sesiapa aku penakut tau. Kita-kita saja yang tahu.”

“Iyalah tu Malik. hahaha..

Gelak ketawa saya dan kawan-kawan sedikit sebanyak mengurangkan rasa tekanan ke atas diri kami. Sekurang-kurangnya rasa debaran yang semakin bergelojak itu dapat juga ditenangkan dengan gelak tawa dan senyuman kawan-kawan saya.

Dan untuk seketika kami kembali merasa selesa dalam perjalanan kami ini. Mungkin kami tidak memikirkan sangat apa yang berlaku pada ketika itu. Perasaan risau dan takut kami simpan ke tepi sejenak.

Kami melayan perjalanan kami sambil menikmati indahnya ciptaan Allah dengan cara bagaimana Allah menghamparkan malamnya, bagaimana Allah menghias dinding malam dengan sinar bulan dan bintang, serta menciptakan dingin malam sebagai peneman ketika hangat gelisah menyentuh jiwa.

 

Simpang Bukit Setiam

Sehinggalah apabila kereta kami mula bergerak perlahan kerana tidak sampai 1 km lagi kami akan sampai ke simpang masuk ke Bukit Setiam. Dari jarak 1 km menuju ke simpang Bukit Setiam terasa seperti amat jauh.

Untuk menghindari rasa takut serta keluhan jiwa, saya membaca ayat-ayat perlindungan. Pada ketika itu saya cuma membaca Surah Kursi sahaja.

“Allahu Laa Ilaaha Illa Huwal Hayyul Qayyum. Laa Ta’ khudzuhuu Sinatuw Wa Laa Nauum. Lahuu Maa Fissamaawaati Wa Maa Fil Ardh. Man Dzal Ladzii Yasfa’u ‘Indahuu Illaa Bi Idznihi. Ya’lamu Maa Baina Aidiihim Wa Maa Khalfahum. Wa Laa Yuhi Thuuna Bi Syai-In Min ‘Ilmihii Illaa Bi Maasyaa-A. Wasi’a Kursiyyuhussamaawaati Wal Ardha. Wa Laa Ya-Udhuu Hifzhuhumaa Wahuwal ‘Aliyyul Azhiim.”

“Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia yang Maha Kekal. Lagi terus menerus mengurus makhlukNya. Tidak pernah ngantuk dan tidak pernah tidur. KepunyaanNya apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa seizinNya? Allah mengetahui apa-apa yang ada di depan mereka dan di belakang mereka. Dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya. Dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah Al Baqarah 255)

Saya pernah ditanya oleh pesakit kami suatu ketika dulu.

“Cikgu, cikgu takut ke baca Surah Kursi ni? Ada orang kata kalau baca Surah Kursi ni jin di sekitar kita akan mengamuk kerana kita mengganggu mereka. Tak pun kerana membaca Surah Kursilah jin-jin ini akan merasa tidak selesa dan mula mendekati kita serta mengganggu kita. Juga menarik perhatian makhluk di sekeliling kita. Apa betul cikgu?”

“Mana dan apa dalil kamu? Tidak ada ayat al-Quran yang dibaca itu mengganggu jin yang ada di sekeliling. Bahkan Rasulullah sendiri tidak pernah menghadkan kita untuk membaca Surah Kursi ini kerana Rasulullah sendiri tahu yang Surah Kursif ini adalah salah satu ikhtiar bentuk perlindungan.”

“Surah Kursi ini diturunkan selepas peristiwa hijrah Rasulullah SAW dengan diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga telah menjadi gempar dan ketakutan kerana telah adanya satu tanda yang menjadi penghalang dalam perjuangan mereka. Kemudian Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (salah seorang penulis al-Quran) agar segera menulis serta menyebar Surah Kursi ini.”

“Jadi kurang cerdik betul orang yang mengajarkan bahawa jangan membaca Surah Kursi ini sekiranya terlihat dengan makhluk yang menakutkan kerana dikhuatiri gangguan yang lebih teruk akan berlaku lalu memudaratkan diri. Ini tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah. Kenapa perlu kita melarang orang lain membaca Surah Kursi sedangkan Surah Kursi ini bila mana kita tahu akan ‘Asbabun Nuzulnya’ (sebab turun ayat) ternyata surah ini adalah surah yang sangat ditakuti oleh syaitan.”

“Saya tidak nampak di mana surah ini ketika dibaca akan menarik minat jin-jin lain untuk datang atau hadir kerana merasa diganggu ketika dibaca Surah Kursi ini. Sedangkan jin dan syaitan boleh terbakar dengan izin Allah. Tidak ada ruang bagi mereka untuk datang mendekati kita dengan alasan diganggu kerana kita membaca Surah Kursi.”

“Surah Kursi dan bacaan al-Quran lainnya cuma akan menyakiti jin dan syaitan yang cuba mengganggu manusia sedangkan bacaan ini akan memberi hidayah dan petunjuk serta kekuatan kepada makhluk yang bernama jin ini sekiranya mereka mencari petunjuk yang benar dan hidayah untuk masuk Islam.”

“Jadi Surah Kursi ini tidak akan mengganggu jin-jin lain dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa lalu mereka datang untuk mendekati dan mengganggu kita?”

“Tidak. Malahan mereka akan lari ketakutan. Mana ada syaitan yang berani menghampiri orang yang membaca al-Quran dan Surah Kursi atau surah-surah yang lainnya. Tidak ada. Cuma jin yang merasa terusik dan terganggu lalu mengganggu kita adalah sekiranya kita tidak solat, tidak mengaji, tidak menjaga adab di tempat orang, menjerit sesuka hati dan sebagainya. Jadi mereka akan mencari alasan untuk mengganggu kita. Semudah itu saja.”

“Jadi, bolehlah dibaca Surah Kursi ini sekiranya kita merasa takut atau berada di tempat yang menakutkan?”

“Iya. Boleh. Kerana itulah salah satu fungsi ayat al-Quran. Memberi ketenangan dan menghilangkan gangguan jin dan syaitan. Bukan menghadirkan mereka. Bahkan jin dan syaitan ini sendiri lari ketakutan apabila dibacakan Surah Kursi kepadanya dan mereka akan hancur dan hangus terbakar apabila mereka cuba untuk mendekati orang yang membacanya.”

“Inilah antara tipu daya syaitan yang sangat dahsyat. Kerana melarang kita membacakan Surah Kursi ini. Atas alasan kita akan diganggu atau dengan sengaja mengganggu mereka. Sedangkan Surah Kursi ini salah satu fadilatnya adalah untuk mengelak dan menjauhi gangguan jin. Sehingga sehebat itu syaitan mempermainkan kita supaya jangan membaca Surah Kursi sedangkan pada ketika itu kita telah kalah pada perangkap ‘Talbis Iblis’ (Perangkap atau tipu daya Iblis Laknatulllah alaih).”

“Alhamdulillah. Terima kasih cikgu.”

“Semoga Allah melindungi kita.”

Kemudian kawan saya tadi mula memahami apa yang saya maksudkan dan sehingga sekarang dia mengamalkan Surah Kursi sebagai salah satu ikhtiar perlindungan kepada dirinya.

Dan saya juga begitu. Apabila merasa takut atau memulakan rawatan atau berada di tempat yang asing dan menakutkan, maka Surah Kursi inilah yang saya baca dan tanpa meninggalkan bacaan-bacaan al-Quran yang lain.

 

Menuju Bukit Setiam

Akhirnya kami betul-betul sampai di hadapan simpang ke Bukit Setiam. Ketika masuk ke simpang tersebut kami berhenti sejenak. Memerhati laluan jalan yang akan kami tempuhi.

Apa yang ada di hadapan kami cumalah laluan bertar yang tidak berpenghujung. Gelap dan suram. Kabus memenuhi seriap ruang jalanan. Di sebelah kiri dan kanan kami pula adalah hutan tebal yang seakan meraikan kehadiran kami.

Tapi saya tidak pasti apa yang kami rasakan pada ketika itu. Ketika memandang ke arah laluan jalan yang akan kami lalui, saya merasakan bahawa seolah-olah kami akan masuk ke dalam sebuah dunia baru. Yang asing lagi menyeramkan. Semuanya hitam dan penuh dengan misteri.

Kemudian kami memanjatkan doa bersama-sama sebelum menuju ke tapak perkhemahan peserta program yang dikatakan diserang histeria tersebut.

Selepas itu masing-masing kami membaca surah-surah dari al-Quran. Saya sendiri memulakan dengan membaca Surah As Shafaat, ayat 1-10;

“Demi (rombongan) yang berbaris bershaf-shaf, Demi (rombongan) yang mengarahkan, Demi (rombongan) yang membaca peringatan, Sungguh, Tuhanmu benar-benar Esa, Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbitnya matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit dunia (yang terdekat), dengan hiasan bintang-bintang. Dan (Kami) telah menjaganya dari setiap syaitan yang durhaka, Mereka (syaitan-syaitan itu) tidak dapat mendengar (pembicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru, Untuk mengusir mereka dan mereka akan mendapat azab yang kekal, Kecuali (syaitan) yang mencuri (satu pembicaraan); maka ia dikejar oleh bintang yang menyala.” (Surah Al Jin: 1-10)

Selepas itu kami menyambung kembali perjalanan kami. Kami mulakan perjalanan kami dengan perlahan dan berhati-hati. Di sekeliling kami cuma ada pokok-pokok yang besar sehinggakan ada juga akar-akar pokok yang besar tadi menjalar hingga ke tengah jalan.

Cuma bentuknya hampir seperti ular-ular yang besar yang melintangi jalan. Seolah-olah cuba menghalang perjalanan kami ke tapak perkhemahan. Tetapi kami redahi juga.

Memandangkan kami perlu untuk sampai ke sana secepat mungkin.

Kabus malam yang tebal agak mengganggu sedikit perjalanan kami. Laluan jalan yang kami gunakan juga semakin mengecil lebarnya.

Saya perhatikan belukar-belukar yang menyambut perjalanan kami dari arah kiri dan kanan seolah-olah memandang kami dengan langkah menunggu untuk menerkam saja.

Kami benar-benar merasa risau ketika itu. Kami berserah segalanya kepada Allah. Perjalanan kami juga seperti mula-mula tadi. Semakin lama rasanya semakin jauh. Penghujung perjalanan iaitu tapak perkhemahan masih tidak kelihatan.

 

Kabus Berbentuk Pontianak

Sesekali saya memandang ke arah belakang kereta kami. Gelap hitam yang pekat sahaja. Kabusnya juga sama. Tetapi ada beberapa keadaan tersebut yang mana kepulan-kepulan kabusnya berkumpul dan tidak bergerak.

Seolah-olah membentuk seperti pocong dan juga pontianak yang sedang berterbangan mengekori ke arah kami.

Saya cepat-cepat memandang ke hadapan. Kawan-kawan saya cuma menyanyi sambil sesekali membaca ayat-ayat al-Quran.

Perasaan dan takut saya simpan di dalam hati sambil berdoa kepada Allah agar kabus-kabus yang saya lihat seperti pocong dan pontianak tadi tidak mengekori kami.

Sehinggalah pada suatu tempat kami terpandang seperti ada sesosok pontianak yang terbang rendah betul-betul di hadapan kereta kami. Bentuknya betul-betul seperti kabus. Cuma warnanya lebih pucat seperti mayat.

Apa lagi bentuknya tidak sama seperti kabus-kabus lain. Masakan kabus itu mempunyai bentuk tangan serta kuku yang panjang dan mempunyai rambut yang mengurai serta menutup wajahnya.

Kemudian kawan saya yang memandu kereta memandang ke arah saya sambil memperlahankan kereta yang kami naiki.

“Macam mana Malik? Macam pelik juga kabus di hadapan kita ini. Apa perlu kita berhenti dulu atau kita anggar sahaja?”

“Kita berhenti saja dulu. Kita bagi kabus tu lalu dahulu.”

“Hahaha..Mana boleh kita tunggu Malik. Tu bukan kabus. Mana ada kabus macam pontianak. Kita langgar sahaja. Hahaha. Bismillahi tawakkal alallah. Laa hau la walaq quwwata illa billah..”

Kemudian kawan saya mula menekan minyak lalu memecut untuk melanggar kabus tebal yang kelihatan seperti pontianak tadi. Kami semua berserah kepada Allah. Selepas itu kawan saya terus melanggar kabus tadi.

Selepas melanggar kabus tersebut kawan saya tiba-tiba menekan brek secara mengejut. Hampir-hampir sahaja kami tersembam ke hadapan.

“Astaghfirullahal azhim..”

Kawan saya mula beristighfar.

“Kenapa kamu brek? Apa yang berlaku.”

“Kamu lihat di hadapan tu Malik.”

“Astaghfirullah..”

Ternyata jalan bertar di hadapan kami terputus. Ada sebuah lubang yang besar yang menghalang perjalanan kami.

Mungkin lubang tersebut telah digali oleh pekerja kontraktor untuk membaiki jalan atau paip.

Dan kelihatan ada jalan kecil di sebelah kanan untuk meneruskan perjalanan ke Bukit Setiam. Juga papan tanda amaran yang bertulis ‘Jalan Rosak Perlahankan kenderaan Anda’.

Alhamdulillah nasib baik kawan saya sempat menekan brek. Kalau tidak kami semua akan terjatuh ke dalam lubang besar tersebut.

Kami bersyukur kepada Allah kerana tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin ini petunjuk dan teguran dari Allah supaya lebih berhati-hati. Kemudian kami meneruskan perjalanan kami.

Sempat juga saya menoleh ke belakang. Ternyata kabus seperti pontianak tadi masih lagi bertebangan rendah. Sambil tersenyum memandang kami.

Selepas beberapa minit, dari kejauhan kami melihat seperti kelipan lampu. Semakin lama semakin jelas kelihatan. Untuk menghilangkan segala macam rasa yang terpendam, kami membaca Surah Kursi.

Agar apa yang kami lihat itu betul-betul unggun api yang dinyalakan oleh Kai dan kawan-kawannya dan bukan khayalan pandangan mata.

Alhamdulillah. Akhirnya kami sampai juga ke tapak perkhemahan yang dimaksudkan. Sebelum melangkah keluar, kami memerhati dari dalam apakah mereka ini benar-benar manusia atau tidak. Kami membaca doa perlindungan dari hadis Rasulullah.

“Bismillahillazi laa yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim.”

Maksud ayat:

“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barang siapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya (HR Abu Daud, At-Tirmizi dan Ahmad)

Alhamdulillah selepas itu kelihatan Kai dan kawan-kawannya muncul di celah-celah para peserta yang berbaris mengikut kumpulan masing-masing dan berjalan ke arah kereta kami sambil tersenyum. Kemudian barulah kami mengambil keputusan untuk turun dari kereta.

Saya perhatikan ramai peserta yang berpelukan. Ada yang menangis dan menjerit. Ada yang tidur atau mungkin pengsan. Saya sendiri tidak tahu. Tetapi suasana ketika itu agak tegang juga.

Dari kejauhan malam kami mendengar sayup-sayup suara perempuan ketawa, menangis, menjerit di dalam hutan. Itu mungkin suara peserta-peserta yang sedang kerasukan.

Kelihatan juga beberapa orang peserta perempuan yang berlari melalui semak dan belukar. Tetapi tiada seorang pun yang berani untuk mengejar dan menahan mereka.

“Assalamualaikum Malik. Macam mana perjalanan korang? Ok tak?”

“Alhamdulillah. Kalau aku dah sampai tu kira oklah perjalanan kami. Hahaha..”

“Aku lupa nak bagitau tadi. Ada lubang besar kat tengah jalan. Nasib baik korang tak terjatuh kat lubang besar tu.”

“Ada kita orang nampak tadi Kai. Boleh tahan jugak laluan nak pergi ke Bukit Setiam ni. Banyak juga pokok-pokok yang akarnya berjuntai ke tengah jalan.”

“Akar pokok? Mana ade Malik. Paling-paling pun akar dia menjalar kat tepi jalan je. Kat sini tak ada pokok ara Malik.”

Kami memandang sesama sendiri. Selepas itu kami tersenyum.

“Kenapa Malik?”

“Tak ada apa-apa Kai. Jadi, diorang ni semua peserta ke?’”

“Haah..Kat sini lebih kurang 110 orang peserta yang tinggal. Yang 40 orang lagi ada kat dalam hutan tu..”

“Mak oi Kai. Tadi kata 30 orang saja yang histeria.”

“Tu tadi Malik. Sekarang dah jadi 40 orang dah.”

“Laa..Kenapa korang tak nak masuk dulu dan tangkap atau tahan diorang dari lari kat hutan.”

“Malik, untuk urusan masuk keluar hutan atau apa-apa yang berkaitan dengan hutan ni kami memang pakarnya Insya-Allah. Tetapi kalau bab-bab histeria ni kami menyerah awal-awal. Apa lagi malam-malam macam ni.”

“Jadi kau ingat kita orang ni beranilah nak masuk hutan malam-malam?”

“Macam tulah Malik. Hahaha..Aku cuma berharap korang boleh tolong kami. Tapi Insya-Allah nanti kami akan masuk sekali.

“Baiklah. Kalau macam tu kita tak dapat nak tangguh-tangguh lagi Kai. Kita kena cari sekarang.”

 

Memulakan Pencarian

Selepas itu saya meminta Kai untuk mengumpul semua kawan-kawannya sedangkan saya juga mula mengumpul rakan-rakan untuk sama-sama berbincang dan mengatur strategi bagaimana untuk masuk ke dalam hutan tersebut dan mencari seramai 40 orang peserta yang histeria di hutan tersebut.

Selepas kami berbincang-bincang, Kai meminta izin untuk memberi taklimat kepada para peserta yang tinggal. Mungkin untuk memberi semangat dan dorongan agar tidak terus hanyut dalam ketakutan.

Pada ketika itu saya dan kawan-kawan mengambil kesempatan untuk berdiri di bahagian belakang sekali. Betul-betul di belakang barisan peserta yang berdiri menghadap Kai dan para urusetia yang lain.

Oleh kerana mata saya mula mengantuk saya tidak mendengar apa yang disampaikan oleh Kai di hadapan. Pandangan saya cuma tertumpu pada sorang peserta lelaki yang memandang ke arah bukit di belakang kami.

Kemudian peserta tersebut memandang saya.

“Ustaz, macam ada pontianak yang sedang memandang kita. Tu kat atas bukit tu.”

Saya cuba memerhati pada arah yang ditunjukkan oleh peserta tadi. Saya cuma dapat melihat sesuatu bentuk yang tidak jelas. Seperti kepulan asap atau kabus yang tebal. Berterbangan sambil memandang ke arah kami.

Wajahnya tidak kelihatan. Tetapi rambutnya kering dan mengerbang seperti seseorang yang terkena kejutan elektrik.

Tangannya sedikit mendepa ke hadapan. Kakinya tidak kelihatan dan sepertinya makhluk tersebut sedang memandang ke arah kami secara tepat.

Peserta tersebut langsung tidak takut. Dia terus memandang kabus yang betul-betul seperti pontianak tersebut. Cuma saya yang sedikit risau. Masakan saya berani kalau diperhatikan oleh kabus seperti pontianak tersebut.

Sedang saya memerhati kabus berbentuk pontianak di atas bukit tersebut, tiba-tiba peserta tadi memegang pergelangan tangan saya sambil menunjuk ke arah suatu tempat yang lain.

“Ustaz, tengok. Macam ada pontianak yang terbang menuju ke arah khemah tu.”

Saya terus mengalih pandangan saya ke arah khemah yang dimaksudkan. Pada ketika itulah saya benar-benar melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana makhluk yang dinamakan pontianak tersebut. Tetapi itu mungkin halusinasi atau imaginasi saya sahaja.

Bentuknya sama seperti apa yang kami lihat di atas bukit tadi. Berterbangan sambil tangannya mendepa ke hadapan. Kulitnya pucat dan pakaiannya berwarna putih dan kelabu. Rambutnya pula kering dan mengerbang.

Objek seperti pontianak tersebut kemudiannya bergerak mendekati unggun api yang disediakan oleh para peserta dan akhirnya objek itu hilang di tengah-tengah unggun api tersebut.

“Ustaz nampak tak?”

“Nampak. Kamu?

“Nampak ustaz. Dia siap-siap memerhatikan kita tadi.”

Bulu roma saya kembali naik. Tiba-tiba saya merasa resah. Kenapalah peserta ini bercakap yang bukan-bukan pada ketika keadaan semakin tegang. Peserta itu kemudian tersenyum memandang saya.

Saya tidak mengendahkan apa yang berlaku. Saya kemudiannya berjalan ke hadapan dan berdiri di sebelah kawan saya Kai. Selepas beberapa ketika, Kai selesai memberi taklimat kepada peserta yang lain.

Kemudian Kai memandang saya sambil tersenyum.

“Jom Malik. Kita kena bergerak cepat. Risau juga kalau mereka lama-lama kat hutan ni.”

“Kai, sepatutnya kamu dan kawan-kawan kamu bergerak awal dari tadi untuk mencari dan membawa mereka yang histeria keluar dari hutan ni. Kalau mereka berlari dan masuk ke tengah hutan, apa kamu mahu menjawab dengan keluarga mereka?”

Kai cuma tertunduk diam. Kemdian Kai memandang ke arah saya.”

“Kami sebenarnya takut Malik. Ini kali pertama kami berhadapan kes seperti ini. Kami risau kalau kami masuk ke dalam hutan tu nanti kami tak akan keluar-keluar. Kami takut Malik.”

“Ya aku juga takut. Mungkin lebih takut lagi dari kamu. Tetapi ini soal keselamatan awal peserta. Hubungi sesiapa dulu sementara menunggu kami datang. Polis ke, ambulan ke JPA ke.”

“Ya Malik. Inilah kesilapan kami.”

“Aku harap tak ada ibu bapa peserta yang akan ‘komplen’ dengan tindakan kamu semua dan menyaman kamu. Ini melibatkan keselamatan peserta di bawah jagaan kamu semua Kai.”

“Aku faham Malik. Semoga ini kali terakhir kes seperti ini berlaku.”

“Jadi sekarang macam mana Kai?”

“Ikut engkau Malik. Kami tunggu arahan je.”

“Kalau macam tu jom kita masuk hutan ni.”

“Baiklah Malik. Aku nak beri arahan sekejap kat kawan-kawan aku.”

Selepas itu kami semua berkumpul. Saya bersama kawan–kawan saya dan Kai bersama kawan-kawannya.

Mula-mula Kai memberi arahan dan taklimat kepada kami tentang apa yang diperlukan untuk masuk ke dalam hutan.

Kemudian diikuti oleh penerangan daripada saya. Saya cuma meminta kawan-kawan saya membaca ayat-ayat al-Quran untuk perlindungan diri.

Saya juga meminta salah seorang dari rakan saya dan juga beberapa orang peserta lelaki untuk terus menerus mengumandangkan azan nanti sepanjang kami berada di dalam hutan nanti.

 

Laungan Azan

Saya meminta mereka mengumandangkan azan supaya syaitan akan berusaha untuk lari dari terus-menerus mengganggu kesemua peserta yang ada. Dalam suatu hadis ada menjelaskan;

“Rasulullah SAW bersabda: Apabila azan dilaungkan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila selesai azan, dia datang semula hingga apabila dibacakan iqamah untuk solat dia akan lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah dibaca, lalu dia akan datang lagi mengganggu dan menimbulkan rasa was-was dalam diri, membisikkan kepadanya: Ingatkan itu dan ini, sesuatu yang tidak terlintas sebelum itu, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat ia solat.”(HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud dan An Nasa’ie)

Selepas azan mula berkumandang, saya mula membaca beberapa zikir.

“Bismillahi amsaina, billahil lazdi laisa minhu syai’un mumtani’ wa bi’izzatillahil lati laa turoom wa laa tudhoom, wa bisulrhonillahi lmani’ nahtajib wa asmaihil husna kulluha ‘aaizdum min syarri syayaathin alins wa aljin wa syarri kulli mu’lin wa musirri wa syarri ma yakhrujuu billail wa yamkunu binnahar ,wa yamkunu billaili wa yakhrujuu bin nahaari ,wa min syarri ma kholaqo wa zdaroa wa baroa, wa min syarri iblis wa junuudih wa min syarri kulli dabbatin anta aakhizdun binaashiatiha, inna Rabbi ‘ala syirootim mustaqiim. A’uzdu billah i bima sta’azda Musa wa Isa wa Ibrahim allazdi waffa min syarri maa kholaqo wa zdoraa wa baroa wa syarri iblis wa junuudihi wa min syarri ma yabgi.”

“Dengan nama Allah kami berada di waktu petang dengan kuasa Allah yang tidak sesuatu apa pun yang terhalang dari Nya. Dengan keperkasaan Allah yang tidak dapat diingini dan tidak dapat ditolak, dengan kekuasaan Allah yang sangat kukuh, kami berlindung. Dengan seluruh asma’ul husna, kami berlindung dari semua iblis dan dari kejahatan syaitan dari golongan manusia dan jin, dari kejahatan semua yang terang terangan dan yang sembunyi sembunyi, dari kejahatan semua yang keluar di malam hari dan yang bersembunyi di siang hari, dari kejahatan yang bersembunyi di malam hari dan keluar di siang hari. Dari kejahatan segala yang diciptakan, diadakan dan dijadikan (oleh Allah), dari kejahatan iblis dan bala tenteranya dan dari kejahatan semua yang melata yang Engkau pegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabbku diatas jalan yang lurus. Aku berlindung kepada Allah dari apa yang diminta oleh Musa, Isa, dan Ibrahim yang menepati janji, dari segala yang Dia ciptakan, diadakan dan dijadikan. Dari kejahatan Iblis dan tenteranya dan dari kejahatan apa pun yang melampui batas”.

Kemudian saya mula membaca Surah Al-Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul berulang-ulang kali.

 

Masuk Ke Hutan

Selepas itu kami mula melangkah menuju ke dalam hutan Bukit Setiam menggunakan kaki kanan. Saya berhenti sejenak dan memandang ke arah puncak bukit Setiam.

Kalau ikutkan keadaan, sekiranya melalui jalan bertar, cuma tinggal dua hingga tiga km sahaja lagi untuk sampai ke puncak bukitnya.

Hutan di hadapan kami agak tebal. Pemandangan kami juga agak tertutup dengan kabus-kabus yang tebal. Suara jeritan mangsa histeria jelas kedengaran. Bunyi jeritan mereka sangat menakutkan. Kerana jeritan mereka seperti pontianak menggilai.

Kelihatan juga pokok-pokok kecil dan belukar bergerak-gerak seperti dilanggar oleh mangsa histeria. Kelibat mereka juga kelihatan berlari ke sana dan ke mari. Agak sukar juga untuk kami memerhati pergerakan mereka.

Selepas itu kami kembali melangkah. Kali ini lebih dalam lagi. Kami benar-benar sedang memasuki sebuah hutan yang agak tebal dan tua.

Saya memandang ke arah langit. Cahaya bulan dan kerdipan bintang tidak kelihatan. Semuanya dilitupi oleh dedaun rimbun yang menghias siling hutan.

Kami cuma dibekalkan dengan empat buah lampu suluh sahaja. Untuk dibahagi kepada beberapa orang. Memang tidak cukup. Tetapi Alhamdulillah.

Bolehlah juga untuk menyuluh lubang hidung kawan-kawan saya nanti. Seram atau tidak lubang hidung mereka tertakluk kepada terang atau malap lampu suluh tersebut.

Sebelum kami masuk ke dalam hutan saya sempat meminta kepada Kai untuk menghidupkan kereta dan lampu di bahagian hadapannya dan menyuluh ke arah jalan masuk hutan yang kami lalui.

Mungkin sedikit sebanyak cahaya kereta Kai akan menerangi sedikit pemandangan kami walaupun tidak banyak yang dapat kami perhatikan dengan jelas.

Kami melangkah masuk ke dalam hutan tersebut dengan berhati-hati.

Kerana perasaan risau itu tetap akan timbul.

Kalau bukan risau diganggu oleh jin dan syaitan, kami risau kalau-kalau berhadapan dengan binatang berbisa yang melata di bumi seperti ular, lipan, kala jengking, buaya, harimau, zirafah, badak sumbu dan badak air. Itu pun kalau ada. Atau mungkin juga gangguan dari serangga yang berterbangan seperti lebah, tebuan tanah dan sebagainya.

Ketika kami telah masuk ke dalam hutan. Sekitar 50 meter dari tepi jalan raya. Kami mula berpecah. Ada yang bergerak seorang-seorang dan ada yang bergerak dalam kumpulan.

Paling ramai pun dua orang sahaja setiap kumpulan.

Saya mengambil keputusan untuk bergerak seorang diri.

Kawan-kawan saya kebetulan mempunyai pasangan masing-masing. Tiada kawan-kawan saya yang mahu menawarkan diri untuk bergerak bersama saya.

Saya tersenyum sendiri. Kerana mereka tahu saya penakut. Nanti kalau apa-apa yang berlaku, mungkin saya yang akan lari dulu meninggalkan kawan-kawan saya.

Sebab itulah rasanya kawan-kawan saya keberatan untuk berpasangan dengan saya.

Tetapi sebenarnya kawan-kawan saya taklah seperti itu. Itu perasaan saya sahaja. Ada baiknya juga saya bergerak sendiri. Paling Jauh ke dalam pun cuma beberapa langkah sahaja ke depan.

Selepas itu saya memilih untuk melalui jalan di sebelah kanan. Sedangkan kawan-kawan lain di sebelah hadapan dan sebelah kiri hutan. Saya mulakan pencarian saya dengan membaca Surah Al Jin: 1-10.

“Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam.”

“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

“Katakanlah (hai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya: sekumpulan jin telah mendengarkan (Al Quran), lalu mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan, (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorangpun dengan Tuhan kami, dan bahwasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak. Dan bahawasanya: orang yang kurang akal daripada kami dahulu selalu mengatakan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah, dan sesungguhnya kami mengira, bahawa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah. Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya mereka (jin) menyangka sebagaimana persangkaan kamu (orang-orang kafir Mekah), bahawa Allah sekali-kali tidak akan membangkitkan seorang (rasul)pun, dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.”

 

Meminta Izin

Saya teringat suatu ketika dulu saya pernah berjumpa dengan sahabat saya di suatu tempat. dia bertanya kepada saya;

“Malik betul ke kalau kita nak masuk ke dalam hutan ke, kawasan asing ke, kawasan yang tidak didiami manusia ke, atau kebun, rumah kosong dan sebagainya, kita perlu untuk mengucapkan, ”Assalamualaikum datuk nenek. Anak cucu tumpang lalu.” Apa boleh kita berkata-kata seperti itu sebagai ikhtiar kita meminta perlindungan kepada Allah?”

“Berikhtiar itu boleh tetapi jangan ada unsur-unsur syirik. Cara seperti itu adalah diharamkan. Tidak boleh untuk kita lafazkan perkataan seperti itu. Aku yakin kalau kamu terus menerus melafazkan kata-kata seperti itu maka kamu akan diganggu oleh jin-jin zalim dan syaitan-syaitan yang ada. Sebagai manusia, kita ada harga diri. Kita adalah khalifah di muka bumi ini. Bukan golongan jin, bukan syaitan dan haiwan-haiwan. Tetapi Allahlah yang jadikan kita sebagai ketua di muka bumi ini.”

“Jadi apa yang perlu kita lakukan?”

“Senang saja. Kamu sebutlah lafaz, “Wahai golongan jin. Kalau kau ada di kawasan ini, sila beralih ke tempat yang lebih selamat. Kerana aku nak lalu.” Itu sahaja lafaznya. Selepas itu tambahlah dengan Surah Kursi atau surah-surah lain.”

“Semudah itu ke Malik?”

“Ya. Semudah itu sahaja. Jadi lepas itu tak perlu lagilah nak berdatuk nenek dengan jin atau syaitan sebab kita tidak ada nenek moyang yang diciptakan dari api dan berketurunan jin atau syaitan.”

“Hahaha..Aku faham sekarang Malik. Terima kasih..”

Laungan sayup-sayup azan mula menguasai kaki Bukit Setiam. Saya kemudiannya mula bergerak dan berjalan sendirian di bahagian hutan di sebelah kanan.

Pada mulanya saya agak ragu-ragu juga kerana hutan di hadapan kami ini jika diperhatikan dengan betul-betul adalah seperti sebuah balai rong istana lama kerajaan kuno dahulu kala yang telah lama ditinggalkan.

Walaupun begitu suasananya begitu riuh rendah. Masakan tidak. Saya boleh memerhati dengan jelas beberapa orang peserta perempuan yang histeria berlari ke sana ke sini.

Ada yang menjerit, ada yang memanjat pokok, ada yang menari tarian Melayu lama, ada yang bercakap sendiri dan sebagainya.

Sedikit sebanyak perasaan sunyi dan takut itu hilang apabila saya dapat melihat peserta-peserta ini dengan jelas. Cuma saya sempat terfikir. Bagaimana untuk membantu peserta-peserta yang histeria ini.

Saya terfikir juga. Kalaulah ada sekurang-kurangnya seorang untuk membantu saya, mungkin urusan saya semakin mudah.

Dari jauh dan samar-samar cahaya, saya sempat juga melihat beberapa orang kawan saya mengejar, menangkap dan merawat beberapa orang peserta yang histeria tersebut.

Lalu mereka bawa ke luar hutan. Kemudian mereka masuk balik ke dalam hutan untuk mencari peserta yang lain pula.

Saya pula berdiri termanggu-manggu di situ dan belum lagi memulakan pencarian saya. Saya memandang di sekitar hutan tebal tersebut. Suasana meriah. Tetapi di dalam kemeriahan itu ada seramnya.

Ketika para peserta yang histeria berlari meredah hutan, bernyanyi, menari, menjerit-jerit dan sebagainya, saya lihat banyak kepulan kabus berterbangan di atas kami.

Bentuk mereka benar-benar seperti pontianak. Terbang rendah dan memerhati apa yang berlaku.

 

(Gambar Sekadar Hiasan).

Itu belum lagi kelibat seperti pontianak ini memerhati dari celah-celah pokok yang merimbun. Itu mungkin cuma bayangan mata saya sahaja. Kerana apabila kita takut, apa-apa yang kita lihat boleh saja bertukar menjadi sesuatu yang menakutkan.

Sedangkan apa yang kita lihat itu tidak ada apa-apa sebenarnya.

Bunyi anjing melolong dan bersahutan, kedengaran suara anjing tersebut seperti merintih kesedihan. Angin tiba-tiba datang bertiup agak kencang. Bunyi cengkerik dan monyet tiba-tiba bersahutan. Juga suara perempuan menggilai panjang.

Ketika itu saya merasakan kami berada di sebuah tempat yang sangat asing. Jauh dari dunia luar. Walaupun setiap yang berlaku itu kami dapat melihatnya dengan jelas. Pendengaran menjadi semakin tidak jelas seperti mula-mula tadi.

Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya serah segalanya kepada Allah. Ketika itu saya benar-benar merasakan yang saya berada di sebuah perkampungan lain. Perkampungan manusia. Tetapi mereka tidak nampak.

Itulah yang saya harapkan. Kalau mereka menampakkan diri maka saya akan melompat ketakutan. Sama ada saya berlari keluar jalan ataupun masuk ke dalam hutan. Na’udzubillahi min dzalik. Malu nanti kerana saya pula dicari oleh kawan-kawan.

Tapi itulah yang peliknya. Hutan yang gelap itu seperti tiba-tiba ramai penghuninya. Bunyi percakapan yang tidak jelas.

Bayang-bayang berbentuk manusia juga berjalan ke sana ke mari. Seolah-oleh memerhati kami dan ada juga yang tidak mengendahkan kami.

Bentuk dan wajah mereka itu jelas. Tetapi kebanyakan mereka menampakkan wajah kemarahan dan dendam. Saya tidak pasti sama ada mereka memerhati saya atau tidak.

Saya berdoa agar mereka tidak melihat saya. Jadi saya juga buat-buat tidak tahu akan kehadiran mereka.

Tiba-tiba saya terkejut apabila saya mendengar suara memberi salam. Saya melompat lalu memeluk sebatang pokok yang ada di situ.

Berjumpa Seseorang

“Assalamualikum.”

“Waalaikumsalam. Kamu siapa? Manusia atau hantu. Kalau hantu aku nak lari ni.”

“Hahaha..Aku penduduk asal di sinilah. Rumah aku juga ada di sini. Kenapa perlu takut. Aku juga seperti kamu. Hamba Allah.”

“Kalau macam tu cuba kamu baca Surah Kursi berulang-ulang kali.”

Lelaki itu kemudiannya membaca Surah Kursi. Berulang-ulang kali. Seperti apa yang saya minta. Menurut pendengaran saya bacaannya betul dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya.

“Alhamdulillah. Akhirnya ada juga teman. Kenapa kau boleh ada kat sini?”

“Dah memang kampung aku. Nak buat macamana. Kamu kenal ke dengan orang yang menjerit-jerit semua ni?”

“Aku tak kenal tapi kawan aku minta tolong untuk rawat mereka yang histeria. Mereka peserta kursus. Jadi aku dan kawan-kawan aku berusaha nak tolong mereka. Mungkin jin-jin di kawasan ini sengaja untuk mengganggu mereka. Jangan sampai Allah turunkan bala kepada jin-jin yang mengganggu ni sudahlah.”

“Kau kena ingat jugak. Makhluk lain tak akan ganggu kita kalau kita tak ganggu mereka.”

“Maksud kamu?”

“Maksudnya kalau masuk ke tempat orang biar beradab. Jangan mengganggu ketenteraman orang lain. Aku yakin mereka yang kerasukan ini telah membuat masalah di sini. Jadi makhluk-makhluk lain mula mengganggu mereka.”

“Apa itu tidak zalim? Kaum jin ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Jadi kenapa perlu untuk berada di tempat manusia berkumpul?”

 

Punca Gangguan

“Jadi, kalau kau tahu bahawa di sebuah tempat yang terasing itu ada makhluk lain, kenapa tidak dapat untuk lebih beradap?

Sepertimana kita masuk ke dalam rumah orang. Tidak nampak bukan bermaksud tidak ada. Cuma kalau masuk ke tempat orang tu ada adab yang perlu dijaga. Bukan perlu untuk meminta izin. Kerana seluruh dunia dan seisinya adalah milik Allah.”

“Cukuplah dengan menjaga adab. Tidak perlu untuk menjerit-jerit. Bercampur lelaki perempuan. Aurat tidak dijaga ketika bersama bukan mahram, masuk waktu solat tidak perlu untuk berteriak-teriak, bernyanyi sesuka hati. Tidak ada penghuni rumah yang suka kita melakukan perkara sebegitu di tempat mereka.”

“Owh begitu. Jadi inilah puncanya mengapa mereka diganggu?”

“Ya. Insya-Allah aku yakin gangguan mereka ni sekejap sahaja. Lepas ni mereka semua akan pulih seperti biasa.”

“Macamana kamu tahu.”

“Hahaha..Kerana kamu juga tahu.”

Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala saya. saya tidak tahu apa yang dia maksudkan sebenarnya. Kemudian saya memandang ke arah kawan-kawan saya yang masih lagi sibuk untuk membantu peserta yang histeria.

Bunyi jeritan, tangisan dan ketawa mula berkurangan. Para peserta yang berlari ke sana sini juga sudah tidak kelihatan. Suasana sudah tidak seperti tadi. Saya yakin ramai di antara mereka yang telah di bawa keluar hutan untuk dirawat.

Suasana hutan juga tidak seperti tadi. Tidak semeriah sebelumnya. Bayangan manusia juga mula hilang satu persatu. Desiran angin juga tidak serancak tadi.

Kemudian saya memandang lelaki tadi. Lelaki itu cuma tersenyum dan kembali bersuara.

“Lepas ini kamu keluarlah. Kawan-kawan kamu menanti kamu. Insya-Allah sekejap lagi mereka semua akan sembuh seperti sedia kala. Cuma ingatkan mereka kembali tentang adab apabila berada di tempat orang. Nasib baik penduduk di sini cuma untuk memberi mereka sedikit teguran sahaja. Kalau tidak, sudah pasti penghuni di sini akan ikut kesemua peserta ini balik ke rumah.”

“Baiklah. Lepas ini kamu pun baliklah ke rumah. Aku tidak tahu di sini ada manusia yang tinggal. Kamu tinggal di mana?”

“Di sini juga. Di kawasan air terjun. Ramai orang yang selalu mandi di situ.”

“Baiklah. Kamu hati-hati semasa balik nanti. Aku risau kamu juga akan diganggu oleh makhluk di sekitar sini.”

“Kamu jangan risau. Aku sudah biasa dengan keadaan di sekeliling aku.”

Selepas itu saya melihat cahaya terang menyinari wajah saya. Ternyata kawan-kawan saya datang untuk mencari saya. Mereka menggunakan lampu suluh yang dibekalkan oleh Kai untuk menyuluh saya.

“Di sini rupanya kau Malik. Jom kita pergi ke jalan. Alhamdulillah. Semua peserta yang histeria telah kami kumpul bersama. Sekitar 40 orang kesemuanya. Dengan izin Allah selepas dirawat mereka kembali pulih seperti sedia kala.”

“Baiklah kalau begitu. Sekejap lagi aku akan keluar.”

“Tadi masa kami masuk ke hutan mencari kamu, kami lihat kamu bercerita dengan seseorang. Kamu bercerita dengan siapa Malik?”

“Tak adalah. Tadi aku bersama seseorang. Dia tinggal di kawasan ini. Katanya dia tinggal bersama penduduk kampung yang lain.”

“Biar betul Malik? Mana ada orang tinggal di hutan seperti ini.”

"Ya. Aku faham. Tak payahlah kita bercerita tentang hal itu lagi. Asalkan semuanya selamat sudahlah.”

 

Rahsia

“Malik..Malik..Kamu sentiasa berahsia dengan kami. Hahaha..Kami keluar dulu. Hati-hati Malik.”

“Baiklah. Jangan lupa kumpulkan kesemua peserta dan beri nasihat dan kata-kata semangat untuk mereka. Katakan semuanya sudah selesai dengan izin Allah.”

“Insya-Allah..”

Kawan-kawan saya kemudiannya keluar meninggalkan saya. Jarak kedudukan saya dari jalan bertar juga tidak jauh. Sekitar sepuluh batang pokok sahaja.

Selepas itu saya kembali memandang lelaki tadi.

“Apakah mereka tidak nampak kamu?”

Lelaki itu kembali tersenyum dan memandang saya. Wajahnya pucat tetapi kelihatan berseri. Dari mulutnya cuma terdengar lafaz Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaha ilallah waalahu akbar. Berulang-ulang kali.

“Apakah mereka tidak nampak kamu?”

Saya ulangi soalan saya buat kali yang kedua.

Saya memandang ke arah lelaki tersebut.

“Kamu siapa sebenarnya?”

Dia cuma tersenyum. Kemudian dia menghulurkan kedua belah tangannya. Saya ingatkan dia ingin bersalam dengan saya. Rupanya dia cuma mahu menunjukkan tangannya kepada saya. Tangannya berbentuknya seperti kaki rusa tetapi berbulu lebat.

Saya mula menjadi tidak keruan. Saya tidak tahu yang saya sedang berhadapan dengan sebenar-benar manusia atau jin. Kalau jin sekalipun saya sendiri tidak perasan sebenarnya. Itu semua urusan Allah. Bagi saya dia tetap seorang manusia.

Saya cuba berusaha untuk tersenyum. Tetapi di dalam hati saya penuh dengan ketakutan yang mencengkam. Kemudian dia meminta saya untuk berpusing ke belakang. Dari arah belakang saya, saya lihat seperti ada cahaya.

Baru saya ingat. Itulah jalan kami masuk tadi. Lalu saya mengambil keputusan untuk berjalan sepantas yang boleh dengan mengikuti jalan tersebut dan cuma berbekalkan sinar lampu kereta yang mengarah pada hutan tempat kami berdiri.

Apabila saya semakin hampir ke arah jalan bertar, sekitar empat lima batang pokok lagi untuk sampai ke luar. Saya berhenti sebentar dan menoleh ke belakang. Lelaki itu sudah tiada lagi.

Yang ada cuma sebuah pokok tua yang telah tumbang. Saya cepat-cepat berlari melangkah keluar dari hutan tersebut.

Saya teringat akan suatu hadis dari Rasulullah;

Dari Ubay bin Ka’ab R.A, Sesungguhnya ia memiliki rak yang berisi kurma, (namun) setiap malam kurmanya semakin berkurang, Maka suatu malam ia berjaga-jaga, tiba-tiba datanglah sesosok makhluk binatang yang berbentuk anak manusia yang telah baligh, maka makhluk tersebut mengucapkan salam kepada Ubay (Assalamu alaikum),

Lalu Ubay menjawab salamnya (Wa’alaikum salam). Maka Ubay bertanya kepada makhluk tersebut: Siapa anda? Jin Atau Manusia? Maka makhluk tersebut menjawab: Aku bukan manusia, akan tetapi jin. Lalu Ubay bertanya lagi (dengan keberaniannya): Cuba hulurkan tanganmu?,

Maka ketika di perlihatkan tangannya tiba-tiba tangannya menyerupai tangan anjing dan bulu tangannya seperti bulu anjing. Lalu Ubay berkata lagi; Seperti inikah bentuk jin? Lalu jin menjawab; Sungguh anda telah mengetahui jin, bahwasanya masih ada jin-jin yang lebih buruk (rupa) dariku.

Lalu Ubay berkata lagi: Apa yang membuat anda datang ke mari? Maka jin itu menjawab: Telah sampai (berita) kepadaku bahwasanya engkau adalah orang yang suka bersedekah, maka dari itu aku datang ke sini untuk mendapatkan bahagian dari sedekahmu.

Lalu Ubay bertanya lagi; Lalu apa yang dapat saya lakukan untuk menyelamatkan saya dari (gangguan)mu? Lalu jin itu menjawab; Ada sebuah ayat yang terdapat pada surat Al Baqarah (Allahu la ilaha illa huwal hayyul Qayyum), barang siapa yang membaca ayat (kursi) ini ketika waktu petang;

Maka ia akan terjaga dari (gangguan) kami sampai waktu pagi, dan barang siapa yang membaca ayat ini di waktu pagi, maka ia akan terjaga dari kami sampai waktu petang. Maka ketika pagi hari, Ubay mendatangi Rasulullah S.A.W, Dia menceritakan kepada rasulullah tentang kejadian yang dialaminya di waktu malam sebelumnya.

Maka Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda; makhluk yang keji itu berkata benar, padahal ia pendusta.

(Shahih HR Thabrani, dll. Disahihkan oleh Al Albani dalam Kitab Shahih Targhib wa tarhib (662) dan As-Shahihah (3245).

Sesampainya di jalan bertar, saya lihat kawan-kaan saya berusaha untuk merawat dan menenteramkan keadaan.

Sedangkan saya sendiri masih lagi berdiri kaku. Mengenang kembali apa yang telah terjadi tadi.

Kemudian saya serahkan semua urusan merawat dan membantu pesakit yang histeria tadi kepada kawan-kawan saya. Alhamdulillah tidak sampai satu jam, kesemua peserta yang histeria kembali pulih seperti biasa.

Selepas selesai urusan, kawan-kawan saya datang berjumpa dengan saya. Begitu juga dengan Kai.

 

Balik

“Ustaz, Alhamdulillah dengan izin Allah kesemua peserta yang histeria telah sedar dan sembuh. Peserta yang lain pula kami telah beri nasihat dan menjelaskan apa yang perlu dilakukan agar kawanan jin tidak akan mengganggu mereka. Sekarang urusan kita telah selesai ustaz. Kalau tidak ada apa-apa rasanya bolehlah kita balik. Sekarang pun dah lewat ustaz. Esok ramai di antara kita yang perlu untuk turun bekerja.”

“Baiklah. Bagitau kawan-kawan lain untuk berkemas. Sekejap lagi kita akan balik. Kai, Insya-Allah kalau tak ada apa-apa lagi kami nak minta izin balik.”

“Ok Malik. Tapi sebelum tu apa yang perlu kami lakukan kepada kesemua peserta ni?”

“Terserah kamu Kai. Nak teruskan boleh. Nak balik pun boleh. Cuma hati-hati. Keselamatan peserta adalah tanggungjawab kamu semua. Yang penting beri mereka kata-kata semangat. Jangan suruh mereka untuk melayan perasaan dan sebagainya.”

“Aku faham Malik. Terima kasih banyak banyak. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa baik korang semua.”

“Tak apalah Kai. Biar Allah yang balas nanti. Kami balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Hati-hati Malik.”

Selepas bersalaman kami pun mula meninggalkan tapak berkumpul kesemua para peserta di atas jalan tar tersebut. Selepas enjin kereta dihidupkan, kami mula meninggalkan Bukit Setiam.

Perjalanan balik ke Bintulu mengambil masa satu jam. Kerana kami sengaja bergerak secara perlahan demi keselamatan kami masing-masing. Lagipun kabus semakin menebal dan menutup pandangan kami.

Di dalam kereta saya cuma terdiam sahaja. Kawan-kawan pula rancak bercerita mengenai pengalaman masing-masing. Sesekali mereka juga ketawa bersama-sama apabila mengenangkan peristiwa lucu.

Saya cuba untuk menutup mata. Saya teringat kembali apa yang berlaku semasa di Bukit Setiam tadi. Sebenarnya di sana tidak ada perkampungan manusia tetapi yang ada adalah perkampungan jin.

Patutlah peserta kursus berkenaan ramai yang histeria. Mungkin ada di antara peserta-peserta yang kerasukan ini mengganggu ketenteraman mereka dengan cara-cara tertentu.

Akhirnya saya terlelap. Wajah lelaki tadi masih terbayang di wajah saya. Semuanya itu saya serahkan kepada Allah kerana semua ini Allah jadikan tidak sia-sia.

Sekarang saya sudah lupa bagaimana wajah lelaki tersebut. Saya sentiasa berdoa kepada Alah agar jangan mengalami pengalaman seperti ini lagi. Walaupun pengalaman ini sangat-sangat bererti kepada saya.

Sekarang ini Bukit Setiam masih segagah dulu. Cuma sekarang ramai juga orang ke sana. Kerana khabarnya ada ‘projek’ yang sedang dilaksanakan di tempat tersebut.

Kalau saya ada merawat pesakit di Daerah Tatau, maka saya akan melintasi kawasan simpang Bukit Setiam ini. Jadi fikiran saya akan kembali mengimbau sejarah suatu ketika dulu.

Merawat peserta yang histeria di dalam hutan pada malam hari.

Jadi cukuplah sekali sahaja. Biarlah selepas ini kawan saya pula yang mengalaminya. Kerana mereka lebih berani dari saya.

Kung pow juga takut..

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya ibu sakit biasa, tapi makin lama makin teruk..ini kata Ustaz Malik tentang sakit mak pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Perempuan tua di Jalan Nyabau, Bintulu..Ustaz Malik ikhtiar rawat pesakit meracau akibat kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah seram di sebuah sekolah di Bintulu..Siapa Cikgu Amin yang sebenarnya..