KEMAMAN - Petronas mempelawa pelajar lepasan sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal atau Kijal Trust School (KTS) untuk menyambung  pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) kerana ia akan membuka peluang kerjaya di syarikat gergasi itu sekurang-kurangnya sebagai juruteknik.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan  Abdullah berkata, peluang yang diberikan itu perlu direbut pelajar.

“Petronas turut membantu  meningkatkan penguasaan bahasa  Inggeris dalam kalangan pelajar supaya mereka menjadi lebih yakin apabila memasuki pasaran kerja.

“Petronas juga mempunyai penajaan untuk pelajar cemerlang  dinamakan Program Penajaan Petronas,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KTS Kali Ke- 38 di sekolah itu.

Turut hadir, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Roshali  Taha; Yang Dipertua PIBG KTS, Hassan Ali dan Pengetua KTS, Sabariah Ibrahim.

KTS merupakan salah sebuah  sekolah amanah di negara ini dan Petronas adalah penaja utama program  sekolah amanah di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menyentuh mengenai sekolah  amanah, Wan Mohd Hasnan berkata, KTS mempamerkan prestasi yang  memberangsangkan dan ia juga membuktikan komitmen  Petronas selama ini berhasil.

Pada majlis itu turut disampaikan dua kerusi roda untuk pelajar  istimewa iaitu Nik Abdul Muhaimin  Othman dan Nur Nadia Maisarah Mohd Amran.

Sementara itu, Hassan meminta  ibu bapa agar memberi komitmen padu kepada semua program yang  dijalankan KTS kerana kehadiran ibu bapa ke program  sekolah umpama tonik berharga yang mempengaruhi kemenjadian pelajar.