KUALA TERENGGANU - Pihak sekolah kini sedang berurusan dengan ibu bapa dua pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa membabitkan polis.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian buli itu dipercayai berlaku kelmarin membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat.

Rasa tidak puas hati akibat ejek-mengejek dipercayai menjadi punca insiden kejadian buli antara dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Setiu yang rakaman videonya ditular di laman sosial Facebook sejak pagi semalam.

Aidi berkata, siasatan awal mendapati tindakan ejek-mengejek pada awalnya berlarutan sehingga membawa kepada kejadian buli.

“Kita sedia maklum mengenai kejadian buli itu selepas ia tular di Facebook sejak pagi tadi (semalam) namun setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Difahamkan, pihak sekolah sedang berurusan dengan ibu bapa dua pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa membabitkan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.

Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat memaparkan seorang pelajar menendang dan menumbuk seorang lagi pelajar di dalam kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain.

Menurut Aidi, pihaknya memandang serius kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah yang biasanya berpunca daripada isu kecil seperti ejek-mengejek yang akhirnya membawa kepada kes buli.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dan sebab itu, pelbagai program kesedaran gejala buli dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pihak sekolah dalam usaha mengekang perkara ini,” katanya.

Artikel menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya

'Daripada 10 subjek, hanya Prinsip Akaun saya pergi tuisyen' -  Nur Amalina kongsi 12 tip belajar

Luar pangsapuri, dalam kondo! Lihat apa yang guru ini lakukan pada kediamannya

Senarai 14 sekolah Pasir Gudang yang ditutup bermula hari ini hingga Khamis - 11 foto