BACHOK - Polis Kelantan sedang mengesan dua individu yang didakwa terlibat dalam kes menyerang seorang guru di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Bachok, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata kedua-dua lelaki yang berusia 40-an itu sudah dikenal pasti.

"Susulan kejadian itu polis juga menerima satu laporan polis selepas pukul 12 tengah malam tadi dan kita  sedang mengesan kedua-dua suspek di sekitar Bachok.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 kerana memukul dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Wan Khairuddin berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam di tempat meletak kenderaan tetamu di dalam kawasan sekolah itu.

Beliau berkata mangsa yang berusia 52 tahun ketika itu mahu pulang ke rumahnya selepas melakukan pemantauan di kelas Tingkatan 5 sebelum diserbu dua suspek itu.

"Berdasarkan video yang ditularkan, mangsa telah diheret dan dipegang oleh seorang lelaki dan berlaku perbalahan mulut dipercayai akibat salah faham berkaitan kes penggantungan sekolah seorang pelajar di sekolah itu.

"Polis akan melakukan siasatan lanjut dan menjangka akan menahan pihak yang terlibat tidak lama lagi," katanya.

Semalam tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sebuah video mengenai tindakan dua lelaki yang menyerbu ke dalam sekolah dan cuba mengheret seorang guru di sebuah sekolah di Bachok. - Bernama

Artikel lain:

Murid Tahun Lima, adik Tahun Satu serta ibu rentung dalam kebakaran empat rumah semalam

KPM galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

'Setiap hari datang ke sekolah, Tuanku wajib akan bawa bola' - bekas guru Al-Sultan Abdullah