SHAH ALAM - Masalah disiplin atau salah laku dalam kalangan pelajar sekolah bukan perkara baharu, namun sejak kebelakangan ini dilihat semakin meruncing dan seolah-olah tiada noktah.

Mereka bebas melakukan apa yang diingini, malah  kadang-kadang dilihat langsung tidak gentar dengan akibat yang bakal diterima.

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Pendidikan Negeri  Selangor, ponteng dikenal pasti sebagai antara lima masalah  disiplin utama yang paling banyak dilakukan pelajar sekolah, diikuti tingkah laku jenayah, buli, kesalahan vandalisme dan tingkah laku lucah.

Pengarahnya, Mohd Salleh  Mohd Kassim berkata, Selangor mencatatkan bilangan murid  antara yang paling ramai di negara ini, di mana sehingga setakat 27 Januari lalu 894, 266 murid melibatkan sekolah menengah dan rendah didaftarkan.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan bilangan  kes salah laku atau masalah disiplin, data penglibatan pelajar sekolah di Selangor masih lagi terkawal.

Menurutnya, untuk perbandingan bagi tempoh  sehingga Februari 2018 dengan tempoh sama tahun ini, pihaknya  mengesan berlaku trend penurunan dalam kes  masalah disiplin melibatkan pelajar sekolah.

Menurutnya, bilangan kes pada Februari 2018 dicatatkan  9,491 kes, namun ia menunjukkan penurunan kepada  3,319 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun masih terlalu awal  untuk dibuat perbandingan atau penanda aras memandangkan  baru sahaja memasuki bulan Februari.

"Masih berbaki 10 bulan lagi, kita ada tempoh yang panjang. Namun saya mengharapkan  tiada lagi peningkatan kes akan berlaku, " katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Mohd Salleh berkata, berdasarkan statistik bagi tempoh sama juga, pembabitan  pelajar lelaki dalam masalah disiplin dilihat lebih ketara  berbanding pelajar  perempuan.

Malah katanya, kebanyakan masalah disiplin ini juga dikesan  dilakukan oleh pelajar sekolah  menengah berbanding sekolah rendah.

Mengulas faktor utama yang menyumbang kepada  penglibatan pelajar sekolah  dengan masalah disiplin ini, Mohd Salleh berkata, terlalu banyak punca yang boleh dikaitkan.

Beliau berkata, namun faktor yang terdekat adalah disebabkan  masalah keluarga seperti berlaku  perceraian, pengaruh rakan sebaya, kurang didikan agama, lokasi tempat tinggal termasuk ekonomi keluarga.

Menurutnya, jika melihat secara terperinci lima masalah  disiplin utama yang dilakukan, umpamanya ponteng ia melibatkan lebih banyak lagi pecahan kecil seperti  ponteng kelas, ponteng sekolah, ponteng perhimpunan, ponteng aktiviti sekolah dan sebagainya.

Katanya, begitu juga dengan buli ia boleh dipecahkan kepada  buli secara fizikal, emosi serta lisan dan melihat kepada  pecahan-pecahan ini, cara atau pendekatan untuk menanganinya juga berbeza, tidak mudah dan perlu dilakukan secara bersama oleh semua pihak.

Mohd Salleh berkata,  pihaknya memandang serius perkara ini dan mengambil  inisiatif dengan melaksanakan  pelbagai program.