DUNIA pendidikan mengalami perubahan sejajar dengan keperluan revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Dalam era pendidikan moden, implementasi kemahiran abad ke-21 dipengaruhi oleh pendekatan guru dalam amalan pedagoginya.

Perubahan pendekatan pemusatan guru kepada pemusatan murid memberikan autoriti kepada murid untuk meneroka pelbagai maklumat.

Pada hari ini maklumat bersifat global dan murid-murid menerima banyak maklumat.

Situasi tersebut menyebabkan murid  terkeliru dan memerlukan pemandu terhadap pengetahuan tersebut.

Secara tidak langsung, peranan guru berubah daripada sebagai penyedia pengetahuan kepada fasilitator atau pemudahcaraan untuk memandu proses penerokaan pengetahuan murid.  

Pelaksanaan pendidikan digital merupakan salah satu elemen dalam pembelajaran abad ke 21 iaitu kemahiran maklumat, media dan teknologi. Ia sejajar dengan anjakan ketujuh PPPM 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran di mana guru-guru akan mengajar murid-murid melibatkan penggunaan internet (Cheng, 2006; Fee, 2005).

Ia membolehkan guru-guru menyampaikan maklumat secara penggunakan teknologi elektronik untuk tujuan pengajaran (Keith, 1996).

Sepanjang tempoh gelombang satu dan dua, guru-guru telah diberikan pelbagai kursus dalam melaksanakan pembelajaran digital di sekolah khususnya melalui penggunaan pelantar pembelajaran maya Frog (2012-2019) dan Google Classroom (2019 – kini) yang bertujuan untuk meningkatkan kompetensi guru.

Kompetensi guru dalam pembelajaran digital serta peluang murid yang merupakan warga digital akan memberikan kesan positif terhadap pembelajaran apabila ICT dilaksanakan (Badia et. al., 2014).

Walau bagaimanapun, pelbagai kekangan yang dihadapi oleh guru menyebabkan ICT kurang digunakan dalam sesi PdPc mereka (Tezci,2009). Kekangan seperti talian internet, kurang peranti serta kompetensi guru adalah perkara yang menjadi isu dalam banyak kajian.

Walau bagaimanapun, guru perlu melaksanakan pembelajaran digital secara kerap ketika di sekolah  serta melakukan kajian kendiri terhadap penggunaan ICT.

Hal ini kerana guru akan berhadapan dengan gelombang ketiga (2021-2025) dalam anjakan tersebut di mana penggunaan ICT diinovasi serta digunapakai merentas pelbagai bidang.

'Practice makes perfect' adalah ungkapan yang sesuai digunakan untuk melatih kemahiran ICT dalam pembelajaran murid. Penggunaan peranti digital dan aplikasi secara kerap bertujuan untuk memastikan mereka menguasai penggunaannya.

Kita mengambil situasi penggunaan Google Clasroom, murid yang kerap menggunakan lebih mudah untuk memahami antaramuka dan cara akses. Ia perlu dilaksana dan diamal ketika sesi persekolahan kerana talian internet dan peralatan digital telah disediakan oleh pihak KPM kepada sekolah (KPM,2013).

Kurang penggunaan e-pembelajaran menyebabkan kesan pada masa akan datang. Pada ketika tempoh PKP ini, sudah pasti masih ada murid-murid dan guru-guru yang mempunyai masalah dalam akses kepada pelantar maya. Perkara berkaitan teknikal akan menyebabkan kurang motivasi murid untuk belajar.

Oleh yang demikian, sebagai guru pada era pendidikan moden, kita perlu mempertingkatkan diri dengan kemahiran metodologi sistematik dan teknologi sedia ada.

Dalam keghairahan mengimplementasi teknologi, kita perlu memahami fungsi, keperluan dan pengintegrasian untuk menyediakan sebuah proses pembelajaran yang bukan sahaja berasaskan meningkatkan pencapaian semata-mata, malahan membangunkan kemahiran dan potensi diri murid.

Kita juga perlu berpandangan jauh dalam pendidikan digital, di mana terdapat ruang inovasi yang boleh digunakan untuk pelbagai bidang seperti pendidikan khas. Sesungguhnya peluang pendidikan digital bukan sahaja untuk pelajar normal, tetapi ia terbuka kepada murid berkeperluan khas.

Walau bagaimanapun, ia perlu dimulakan dari awal secara rutin, supaya proses pembelajaran murid lebih lancar dan bermakna. Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.

Bibliografi

1.K. Cheng, A Research Study on Students’ Level of Acceptance in Applying E -Learning for Business Courses – A Case Study on a Technical College in Taiwan. Journal of American Academy of Business. 2006, Volume 8. Number 2. pp: 265-270.

2. K.H. Fee, Delivering E-Learning: A Complete Strategy for Design Application and Assessment, 2005, London and Philadelphea:Kogan Page.

3. S.Z. Keith, "Self-assessment materials for use in portfolios", Primus, June 1996, 6(2), 178-192. http://dx.doi.org/10.1080/10511979608965822

4. Badia,   A.,   Meneses,   J.,   Sigales,   C.,   &   Fabregues,   S.   (2014).   Factors   affecting   school   teachers' perceptions  of  the  instructional  benefits  of  digital  technology. Procedia -Social  and  Behavioral Sciences, 141, 357-362.

5. Tezci, E. (2009). Teachers’ effect on ICT use in education: the Turkey sample. Procedia  Social  and Behavioral Sciences, 1, 1285 - 1294.

6. Malaysia, K. P. (2013). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025. Online)(www. moe. gov. my).

Oleh:

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam,

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Pasir Gudang, Johor.

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba