PELABUHAN KLANG - Bertempat di Kompleks Rakan Muda Sementa, 40 pelajar tingkatan lima pencapaian sederhana memanfaatkan peluang dengan menyertai Program Kristal, Perkampungan Ilmu SMK Dato’ Hamzah, Pelabuhan Klang pada 28 sehingga 30 Jun lalu.

Program anjuran Unit Kurikulum SMK Dato Hamzah, dengan kerjasama PIBG sekolah itu turut disertai oleh 14 orang guru dan juga pelajar tingkatan lima yang terdiri daripada pelajar Melayu, 30 orang, pelajar Cina enam orang dan juga pelajar India, empat orang.

Pelajar ketika diberikan penerangan dan pendedahan berkenaan cara menjawab soalan dengan betul.

Penyelaras program yang juga guru subjek Bahasa Inggeris, Cikgu Kanga Devi Kangayatkarasu berkata, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik menjawab soalan dan juga cara berkesan belajar dalam suasana yang kondusif.

Katanya, menerusi program tersebut bukan sahaja dapat melahirkan keyakinan dalam diri pelajar ketika berhadapan dengan peperiksaan.

Malah, mereka juga tidak lagi berasa segan dan rendah diri, memandangkan semua peserta yang terlibat itu adalah dari tahap pencapaian yang sama.

“Program yang diselitkan dengan aktiviti riadah dan kerohanian, selaras dengan falsafah Pendidikan Negara ini disambut baik oleh semua pelajar.

Cikgu Kanga Devi Kangayatkarasu bersama Pengetua, Cikgu Sahrudin Kasman.

“Kebanyakannya, bijak berdikari, dan tidak membebani ibu-bapa masing-masing. Malah, pelajar Melayu yang mengikuti program ini turut menggunakan duit raya mereka untuk membayar yuran penyertaan sebanyak RM30,”jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar memberikan reaksi yang positif, tidak kurang juga ada yang turut berkongsi pengalaman.

“Menerusi program yang dianjurkan, sebahagian pelajar telah berikrar untuk belajar dengan lebih gigih, serta rajin mengulangkaji pelajaran.

“Malah, salah seorang pelajar turut berkongsi pengalaman bersama saya. Abangnya juga berubah sikap setelah menyertai program ini pada tahun lepas. Sebelum ini abangnya itu tidak pernah lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Namun, pada SPM lalu, abangnya berjaya mendapat keputusan yang baik,”jelasnya.

Slot Geografi bersama En Ramani Muthusamy.

Pengetua sekolah itu, Cikgu Sahrudin Kasman dalam ucapan  perasmiannya turut menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan program yang dianjurkan.

Menurut beliau, pada tahun 2017, semua murid yang menyertai program tersebut telah lulus SPM, dan hampir 3/4 daripadanya telah pun berjaya melanjutkan pelajaran ke politeknik dan juga UiTM.

“Diharapkan program ini menjadi suntikan untuk pelajar berjaya dalam SPM. Ambil iktibar, terus berusaha, dan jangan berputus asa untuk cemerlang dalam SPM,”katanya.