KUALA LUMPUR - Agenda negara bagi merapatkan jurang antara murid aliran perdana dan murid berkeperluan khas (MBK) dengan memberikan hak pendidikan sama rata melalui dasar pendidikan yang inklusif, menerusi Program Pendidikan Inklusif (PPI) nyata mencipta kejayaan tersendiri menerusi perkembangan murid terlibat.

Pelaksanaan PPI selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,  dilihat mampu meningkatkan akses pendidikan bagi MBK agar mampu bersaing dengan murid lain dalam kelas sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.

Ianya juga menjadi platform bagi memastikan hasrat kerajaan itu bukan sekadar direalisasikan malah berterusan dengan jayanya. Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, di sini, merupakan salah satu sekolah yang menawarkan PPI, dan ianya bukan baharu, bahkan telah berlangsung sejak 22 tahun lalu.

Guru-guru yang ditugaskan untuk mendidik dan memantau  perkembangan murid istimewa di sekolah itu juga tidak jemu mempelbagaikan pendekatan bagi memastikan murid terlibat dapat memahami pembelajaran dengan lebih berkesan.

Bahkan, keberkesanan itu dapat dibuktikan melihat  kepada perkembangan murid apabila kebanyakan mereka berjaya dipulihkan, khususnya membabitkan MBK disleksia, yang mampu membawa diri mereka bergaul bersama pelajar arus perdana di peringkat sekolah menengah, tanpa sebarang masalah.

Tiada diskriminasi Guru yang terlibat dalam sesi  pembelajaran melibatkan MBK, memainkan peranan penting memastikan murid berkenaan tidak merasa wujud perbezaan dengan rakan-rakan sebaya di kelas arus perdana.

Guru Besar, SK Taman Maluri,Rokiah Ahmad, berkata,  MBK yang terlibat dalam PPI merupakan golongan yang berkeupayaan tinggi justeru dengan pergaulan bersama rakan sebaya yang normal, mampu meningkatkan  keyakinan diri MBK.

"Di sini tidak berlaku diskriminasi. Dengan PPI, murid  tidak merasa rendah diri apabila bergaul dengan murid biasa. Guru  terlibat juga perlu lebih memahami situasi melibatkan murid khas ini,"katanya.

Tambahnya, kini, terdapat sejumlah 29 MBK sekolah ini berada  dalam PPI, di mana 19 daripadanya merupakan murid insklusif separa (program disleksia) dan selebihnya adalah inklusif penuh di mana mereka ini mengikuti kurikulum standard kebangsaan seperti murid lain.

"Dari segi pencapaian, ianya amat memberangsangkan apabila  pada tahun lalu, seramai tujuh murid terlibat dalam PPI ini  mengambil UPSR dan kesemuanya lulus. Bahkan terdapat seorang murid yang pernah berhenti
mengikuti kelas pada darjah tiga, terus mengikuti kelas darjah enam, berjaya memperolehi 3B,"katanya.

Optimis capai sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) optimis dalam merealisasikan sasaran berkaitan PPI, iaitu 75 peratus MBK berada dalam  program berkenaan menjelang akhir tahun 2025, menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan PPI di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan pada peringkat pra-sekolah, rendah, menengah dan lepas menengah.

Guru mata pelajaran membantu MBK dalam kelas, dan tidak mengasingkan kelompok murid agar tiada jurang komunikasi antara mereka.

 

 

PPKI merupakan program yang dilaksanakan di sekolah harian biasa namun mempunyai kelas berasingan dan diajar oleh guru pendidikan  khas, berbeza dengan PPI, di mana murid MBK yang berkefungsian tinggi belajar bersama-sama dengan murid lain.

Sehingga tahun lalu, seramai  72,715 direkodkan sebagai MBK di seluruh negara dan 16,899 MBK mengikuti PPI di 4,869 sekolah  sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding 2014 yang hanya 10,700 MBK mengikuti PPI di 2,798 sekolah.

Ia juga bermakna, KPM telah mencapai 23.24 peratus MBK berada dalam program berkenaan sehingga Disember 2015.  Ketua Unit Perancangan Mikro Bahagian Pendidikan Khas, Susilah Ahmad berkata, penting untuk masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak istimewa untuk memahami fungsi PPKI dan PPI.

Ujar beliau, PPKI menjadi medan persediaan kepada murid  untuk memasuki kelas perdana pada masa akan datang melihat kepada potensi yang ada pada MBK. 

"MBK akan belajar untuk menyesuaikan diri dengan murid biasa dan juga sebaliknya. Program ini akan memberi peluang kepada murid untuk bertolenrasi dengan kepelbagaian keupayaan manusia. 

Bagi memastikan penyertaan MBK dalam PPI dapat ditingkatkan, KPM juga mempunyai rancangan untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.