KOTA BHARU - Sejumlah 5,000 keluarga pelajar di Kelantan telah disantuni wakil guru dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di setiap jajahan melalui Program Ziarah Cakna yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tahun lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, program yang merupakan tahun kedua pelaksanaan itu, melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu dilihat mendapat respon yang positif daripada guru dan juga ibu bapa.

"Melalui program ini ia dapat meluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa serta penjaga melalui amalan ziarah guru ke rumah murid, malah ia dapat mewujudkan budaya baharu yang lebih positif demi kemenjadian murid-murid,” katanya selepas merasmikan Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini kelmarin.

Mohd Gazali juga turut menziarahi rumah pelajar yang mempunyai masalah kehadiran dan keciciran di kawasan Pasir Mas menjelaskan melalui program ini juga ia dapat mengatasi masalah keciciran dalam kalangan pelajar.

"Kesan melalui program ziarah ini sangat besar, sebab ia dapat menimbulkan rasa dihargai dan rasa kecaknaan yang dapat memberi pengaruh kepada pelajar terutamanya yang keciciran. Malah, kita dapat tangani masalah pelajar yang telah tercicir dan sebagainya.

"Usaha ini juga disambut baik oleh guru walaupun kita mengetahui hakikatnya mereka telah sibuk dengan tugas harian, namun mereka masih mencari waktu untuk meluangkan masa untuk mendalami masalah murid,” katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat...Allahuakbar

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar