KOTA KINABALU - Projek menaik taraf dan membina semula 22 sekolah daif di Sabah menerusi peruntukan diluluskan RM88 juta dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, kata Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Yusof berkata daripada jumlah itu, tiga sekolah daif akan dibina dalam kadar segera selepas surat penganugerahan diberikan kepada kontraktor pada penghujung tahun ini dengan kos RM10 juta menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai di Beluran, SK Nibang, Pitas dan SK Tiong Widu di Tambunan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek sekolah Daif Fasa Pertama di sini, hari ini.

Beliau berkata pembinaan 19 lagi sekolah daif akan dimulakan pada awal tahun depan dengan peruntukan RM78 juta menggunakan kaedah konvensional.

"Kesemua 22 sekolah ini dikategorikan sebagai tidak selamat untuk diduduki. Pembinaan sekolah ini akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang diluluskan pada tahun ini,” katanya.

Yusof berkata kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf sekolah daif itu akan dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Sabah bagi memastikan infrastruktur itu disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, Yusof berkata, masih terdapat banyak sekolah daif di Sabah diketagorikan sebagai tidak selamat untuk diduduki, bagaimanapun, pembinaan sekolah terbabit akan dilaksanakan pada tahun depan atau selewat-lewatnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 secara berperingkat.

Di samping itu, sebanyak RM15 juta turut diperuntukkan bagi projek pembaikan segera melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur asas termasuk sistem pendawaian dan sistem pembentungan di semua sekolah seluruh negeri, katanya. - Bernama

Artikel menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Pematuhan Prosedur Operasi Standard Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3

Guru perlu siap sedia untuk hadapi cabaran VUCA

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal