SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Sarapan Pagi (PSP) bagi murid sekolah rendah mengutamakan pendekatan 'nutrition security' nutrisi yang diperlukan dalam  proses tumbesaran dan pembentukan kognitif.

Menterinya, Dr Mazlee Malik berkata, langkah itu diambil berdasarkan laporan badan kesihatan nasional dan antarabangsa yang mendapati masalah obesiti,  pertambahan berat badan dan bone density yang rendah dalam kalangan murid-murid di negara ini.

"Selain memberi nutrisi, PSP dijalankan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan pendidikan sivik.

"Sebagai contoh, sebelum murid bersarapan, mereka perlu mengamalkan kebersihan seperti membersihkan tangan dan selepas program murid harus menghargai  dan bersyukur kerana tidak membazir makanan," katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan berkaitan cadangan KPM melaksanakan Program Sarapan Percuma yang disentuh oleh Joseph Ng Soon Siang (Adun Air Hitam, Kedah), Sabri Azit (Adun Jerai, Kedah), Tan Sri Noh Omar (Adun Tanjung Karang, Selangor), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Adun Lenggong, Perak), Abdul Latiff Abdul Rahman (Adun Kuala Kerai, Kelantan), Natrah Ismail (Adun Sekijang, Johor) dan Dr Azman Ismail (Adun Kuala Kedah, Kedah).

Dalam pada itu, Maszlee berkata aspek nilai dan adab serta disiplin diri adalah tonggak pembinaan sahsiah semua murid.

"Berdasarkan justifikasi tersebut, PSP diberi kepada semua murid sekolah rendah tanpa mengira status ekonomi keluarga, latar belakang kaum mahupun sosial.

"KPM bertanggungjawab melaksanakan PSP dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, institut pendidikan tinggi awam (IPTA) dan NGO," jelasnya.

Menurutnya, KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi memastikan pelaksanaan PSP berjalan lancar, memenuhi objektif dan dapat dilaksanakan secara berterusan.

"Pelaksanaan PSP tidak menjejaskan masa persekolahan serta digabung jalin dengan tugasan guru masa pertama persekolahan.

"Waktu makan murid akan dijadualkan secara berperingkat dan lokasi tempat makan murid akan dipelbagaikan menggunakan ruang yang ada di sekolah.

"Kaedah makan di dalam kelas bersama-sama guru merupakan satu langkah praktikal daripada segi ruang dan hubungan mesra guru murid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

‘Biarpun terpaksa duduk bawah meja, kami tetap mahu ke sekolah,’- Situasi pilu pelajar bikin sebak